BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS »

Tuesday, October 01, 2013

Catatan Dr : Kecil tapi Besar, Besar tapi Kecil

Dari mana harus saya mula berkongsi rasa.. Walaupun baru sebulan, pelbagai cerita mewarnai hidup saya di hospital. Ada yang gembira, ada yang menghimpit jiwa.

Senyum..

Kecil di mata sesetengah pihak tapi perkara besar untuk saya. Sebuah senyuman besar nilainya. Seorang doktor kelihatan menyerabutkan tanpa senyuman di mukanya baik ketika berinteraksi bersama pesakit, rakan sekerja, dan pihak atas, tidak kira pakar mahupun senior ho dan mo. Ketika saya menjadi pesakit, apa yang meringankan sakit saya adalah senyuman daripada doktor yang merawat. Ketika saya bergelar pegawai perubatan, senyuman rakanlah meringankan keserabutan tugasan. Oh besarnya nilai sebuah senyuman.

Keruhnya muka jururawat, rakan sekerja, MO dan pakar sungguh tidak menyenangkan. Apatah lagi di mata pesakit (^_^) Maka senyumlah, tidak kira apa jua keadaan. Saya akan cuba tersenyum biarpun berhadapan dengan mereka yang tawar daripada senyuman.

Kecilnya..

Ketika berhadapan dengan pesakit, kita sebagai doktor di lihat sebagai sumber harapan. Besarnya peranan dan kita diberi kuasa besar untuk merawat. Kita diberi pengharapan oleh pesakit dan keluarganya untuk merawat selagi terdaya. Adakala mereka lupa, kita hamba dan hanya Allah penentunya. Amanah dipikul tanpa bicara, si doktor tidak wajar besar diri, harus selalu tautkan hati kerana kuasa menyembuh hanya pada Sang Illahi. Manusia yang bergelar doktor ini boleh sahaja melakukan kesalahan walaupun target perawatan adalah yang terbaik untuk pesakit dan jauhi dari sebarang kesalahan yang boleh membahayakan pesakit. Allah.. Allah sangat berat peranan ini. Siapalah kita untuk bangga diri, sedangkan kita hamba yang hina dan sangat kecil di sisiNya. Tanpa Allah siapalah kita...

Masa..

Masa oh masa. 24 jam terasa cepat berlalu. Bagi orang yang tiada kepentingan dalam hidupnya, selalu masa yang ada akan dibazirkan. Kelihatan masa itu unsur kecil baginya. Bagi yang punya komitmen pula, masa sangatlah berharga. Mereka akan berkira-kira untuk menggunakan masa dengan sebaiknya.

Sepanjang di hospital, masa sangat mencemburui. Lambakan kerja membuatkan kami di wad tidak senang duduk. Bermimpilah kalau mahu goyang kaki di hospital. Walaupun waktu bekerja bermula dari jam 7 pagi hingga 8 malam, tiada istilah tepat waktu untuk pulang ke rumah. Hinggakan sering sahaja saya merasakan bahawa jasad sahaja di hospital, namun hati saya kerap di rumah mengenangkan anak kecil yang kurang meluangkan masa dengan bundanya. Hati saya mudah sebak sekiranya saya lewat pulang. Saya berkira-kira tentang masa kerana masih ada yang memerlukan saya di rumah selain di hospital. Di hospital masih ada rakan setugas yang boleh meneruskan tapi di rumah hanya ada seorang bunda dan papa. Tiada pengganti yang sama untuk tugas ibubapa. Mungkin ada yang berkata, itu lumrah kerjaya seorang doktor, terpaksa berkorban meninggalkan keluarga tapi mereka mungkin lupa sistem itu dihasilkan oleh manusia dan kita mampu mengubahnya. Pasti ada keseimbangan untuk cemerlang dalam dunia keluarga dan kerjaya.

Empati..

" Terima kasihlah Dr rawat saya. Kalau Dr ada suami dan anak mesti terpaksa tinggalkan mereka untuk rawat saya. Besar pengorbanan Dr, " berkata Pakcik A sambil tersenyum kelegaan dan matanya sayup dengan air mata selepas bergelut dengan kesakitan.

Air mata saya mula bergenangan mendengar kalimah itu. Beliau beruntung, kerana anak-anaknya begitu prihatin. Mungkin  dia juga mementingkan keluarga lantas berbicara seperti itu. Pantas saya membalas, " Sama-sama Pakcik. Alhamdulillah, ada suami dan anak sekarang. Yang penting doakan kebaikan untuk kami, Allah dengar doa orang sakit ni."

Sebelum ini pensyarah di Mesir selalu juga menasihatkan kami supaya meletakkan elemen empati dalam merawat pesakit, namun kali ini saya berhadapan dengan pesakit yang empati pada kerjaya Dr. Terharu dibuatnya...

Tali pergantungan

Hamba ini perlu pada Yang Maha Esa supaya terus kuat menghadapi segalanya. Sibuknya urusan bekerja tidak wajar membuatkan kita lupa kuasa Allah Yang Maha Esa. Terasa jiwa saya dihimpit rasa bersalah kerana keterbatasan saya membaca Al-Quran dan sentiasa berkejar-kejar ketika melakukan solah. Dulu saya bebas membaca Al-Quran terutama selepas setiap waktu solah. Selepas solah masih boleh berwirid dan berdoa panjang. Kini, saya terbatas. Allah, sungguh saya rindu untuk meluangkan masa bersama Allah lebih lama. TanpaNya sungguh lemah jiwa ini.

Di hospital juga ramai pesakit yang beralasan untuk menunaikan solah. Kadangkala, saya bingung dengan sikap orang kita. Ketika sakitlah masa untuk dekat dengan Allah, kerana hanya Allah Yang Maha segalanya. Saya impikan institusi hospital nanti mesra ibadah, bukan sahaja di kalangan pesakit, tapi dikalangan perawat juga. Kita sibuk mahu merawat pesakit dengan rawatan terbaik hingga ketika berlaku kesilapan, kita mula menuding jari pada rakan setugas dan anak buah tapi kita lupa hanya Allah yang mampu menyembuhkan. Saya risau, boleh sahaja keberkatan dalam menjalankan tugas dicabut kerana hubungan kita dengan Allah tidak mapan. Allah.. Allah.. ampunilah hambamu ini.

Sungguh dunia ini banyak perkara seolah-olah kelihatan kecil tapi besar nilainya. Yang besar pula sebenarnya kecil nilainya. Hanya kita kadangkala masih samar-samar dalam menilainya. Semoga Allah sentiasa memberi petunjuk pada kita.

Sunday, August 25, 2013

Catatan Dr : Bermulalah alam kerjaya..

Sekali lagi saya berubah fasa kehidupan. Yang ditunggu akhirnya tiba. Selesai fasa bergelar pelajar, kini tiba masanya menjadi penjawat awam.

Sebagai memenuhi syarat perkhidmatan di perkhidmatan awam, kami perlu menghadiri Program transformasi Minda (PTM). Alhamdulillah selesai berkursus selama 5 hari di Hotel Crystal Crown Harbour View Klang dari 19-23 Ogos. Nuha pun diterbangkan pertama kali ke Selangor. Rasa janggal musafir tanpa suami ketika Nuha ada. Pastilah lebih seronok kalau Papanya ada. 

Rakan seperjuangan, berbeza kaum dan juga hospital.

Alhamdulillah dengan izin Allah, Ummi dan adik-adik berjaya melatih Nuha menggunakan botol susu ketika mengasuhnya. Bukan mudah rupanya mengawal emosi ketika berjauhan dengan anak. Risau memanjang. Alhamdulillah sokongan daripada suami dan keluarga membuatkan saya lebih tenang.

Nuha asyik bercerita.. Terpesona Bunda dengan gelagatnya. Mana tak berat hati ini..
Selesai sahaja PTM, hati ini tak sabar bertemu Nuha dan Papanya. Namun hati juga sudah mula berdebar tapi masih dapat dikawal. Sebaik sahaja pulang, Teruja melihat Nuha masih gembira dan baik baik sahaja di bawah jagaan Ummi dan adik-adik. Besar sungguh jasa mereka. 'Terima kasih. Sungguh Along sayang kalian.' Malam 23hb itu juga saya dan Nuha terbang ke Terengganu. Walaupun masih tidak puas bermanja dengan Ummi, tak sabar juga mahu bertemu 'separuh diri saya' di Marang. Alangkah terkejutnya saya apabila kepulangan saya di sambut oleh sejambak bunga. Terharu dan gembira tak terkata. 'Jazakallahu kheir Abu Nuha. You are so adorable.'

Hari ini pula saya selesai mendaftarkan diri di hospital dan Alhamdulillah masih berpeluang untuk pulang lebih awal. Inilah juga pertama kali Nuha bersama pengasuh. Nuha pun sudah pandai bawa diri memandang ketika PTM, Nuha sudah dijaga oleh keluarga saya. Mulai minggu depan jadual akan lebih padat. Apapun minggu ini kami akan sibuk menyesuaikan diri dengan sistem kerja yang sememangnya sangat baru dengan kami. Doakan semuanya berjalan lancar dan saya mudah 'adapt' dengan alam kerjaya ini. 

Wednesday, August 14, 2013

Aidilfitri 1434H

Assalamualaikum wbt.

Salam Aidilfitri dan maaf zahir batin Sinar ucapkan kepada semua. Alhamdulillah sudah 7 Syawal. Pantas masa berlalu. Pastinya setiap kali tiba Syawal, sambutannya berbeza. Tahun ini, Allah izinkan saya bersama orang baru lagi. Kalau tahun lepas bersama suami buat pertama kali, tahun ini pula hadir cahaya mata kami berdua. Alhamdulillah Syawal yang indah dengan kehadiran Nuha. Sudah 2 bulan usianya. Doakan Nuha menjadi anak solehah, sihat dan membesar dengan sulaman keimanan. (^_^)

Tahun ini juga saya dapat beraya dengan Ibu, Abah, Ummi, Lek dan adik-beradik serta keluarga belah Ummi. Uniknya tahun ini, keluarga sebelah Ummi mengadakan family day di Peladang Setiu Agro Resort pada raya ketiga dan keempat. Sangat teruja kerana ini pertama kali diadakan dan pelbagai aktiviti menarik dijalankan. Perkumpulan ini bukan sekadar beraya, bahkan sanak saudara mampu meluangkan masa bersama dalam aktiviti yang jarang kami lakukan bersama. Acara sukaneka pastinya menambat hati anak-anak kecil dan tak kurang juga orang dewasa. Acara sukan untuk suami isteri pun ada seperti sambutan kasih sayang dan berkayak. Boleh tahan juga Ummi dan Lek beraksi dalam beberapa acara. Suami juga rupanya pandai berkayak. 


Pada waktu malam pula diadakan barbeque, penyampaian hadiah dan cabutan bertuah. Apabila dikenangkan, terliur pula saya. Makanan memang lazat hingga menjilat jari. Alhamdulillah masing-masing beroleh hadiah walaupun bermain bukanlah untuk menang. Dalam acara cabutan bertuah, tidak sangka rezeki saya, suami dan Nuha. Alhamdulillah.. Bertuah dengan izin Allah. 

Alhamdulillah, raya ini berharga kerana dapat meluangkan masa dengan keluarga tersayang. Masa yang ada ini dihargai.

Dalam bergembira terasa sedih pula apabila mendapat khabar Mesir kian berdarah, hati mana tidak resah. Allah.. Allah.. Syawal mereka diuji, sungguh mereka insan terpilih. InsyaAllah mereka yang syahid itu beroleh kemenangan besar di sisi Allah.

Setiap manusia akan diuji.  Syawal ini bulan penerusan ibadah dan ujian akan bermula. Kita di Malaysia ada ujian tersendiri.Walaupun Ramadhan sudah berlalu, namun proses yang dilalui diharapkan masih berbekas di hati kita dan terus dilaksanakan. Selamat beramal dan teruskan berdoa untuk ummat Islam di serata dunia.

Tuesday, July 09, 2013

Catatan Bunda : Syukur, Sebulan Yang Berharga!


Sebulan sudah berlalu..

Hari ini 30 Syaaban bersamaan 9 Julai. Genaplah sebulan usia puteri kesayangan kami. Baru sebulan juga kami suami isteri bergelar Papa dan Bunda. Sungguh masih banyak yang perlu kami pelajari. 

Mujahadah, itulah sebaik-baik kalimah untuk dihadam sepanjang sebulan dan untuk masa hadapan. Memahami si kecil yang hanya mampu mengeluarkan bunyi, menangis bukanlah mudah. Namun memerhati gelagatnya itu cukup indah. Melihat tubuhnya yang kecil itu indah. Sungguh indah ciptaan Allah. Dari sehari ke sehari wajahnya berubah-ubah. Tubuhnya pula semakin kemas berisi. Rezeki untuk si kecil ini sentiasa ada. Subhanallah wa Alhamdulillah, Allah sebaik-baik pemelihara dan pemberi nikmat. Syukur padaNya.



Sebulan bakal bertamu..

Bercerita kisah sebulan, usai Maghrib sahaja sudah 1 Ramadhan. Maka hadirlah bulan yang penuh barakah untuk ummat Islam beribadah. Sebulan yang juga menuntut mujahadah, mendidik sabar dan meningkatkan iman. Banyak kelebihan di bulan Ramadhan yang tiada di bulan lain. 


Sudah pasti Ramadhan kali ini amat berbeza untuk saya, apatah lagi  sudah bergelar ibu. Kalau diizinkan berpuasa, wajib difikir stamina diri untuk si kecil yang pastinya tidak berpuasa (^_^) Nuha agak demand, maklumlah mahu membesar, fitrah si kecil yang tiada dosa dan sangatlah naif.

Ramadhan dan Syawal kali ini mungkin yang terakhir mampu saya nikmati dengan senikmatnya walaupun kali ini tak mampu berterawikh di masjid kerana Nuha perlu diberi lebih perhatian. Entah bagaimana la Ramadhan saya tahun hadapan kalau masih panjang umur. Maklumlah kerja nanti tak menentu dan sungguh hetic. Sudah pasti kenikmatan menghidupkan malam tidak seperti dulu.

Apabila sebut Ramadhan, terbayang Ramadhan lalu. Itulah Ramadhan kali terakhir saya di Mesir. Sempat menjelajah beberapa masjid di sekitar Kaherah. Damai sungguh.. Kehangatannya lebih terasa berbanding Malaysia. Mengenangkan keadaan Mesir sekarang, pastinya sahabat-sahabat di Mesir tidak sebebas tahun-tahun sebelum ini untuk menjelajah masjid. Sedih saya mengenangkannya. Namun itulah jihad buat mereka yang benar. Yang pasti, kita kena panjatkan doa yang berterusan untuk saudara kita di Mesir, Syria, Palestin dan negara tertindas. Manfaatkan keberkatan di bulan yang mulia ini. Mesti!

Di samping itu juga, doakan saya sekeluarga diberi pengampunan dan terus dalam rahmatnya.

Saturday, June 29, 2013

Catatan Bunda : Putri pertama Papa dan Bunda

Alhamdulillah thumma Alhamdulillah...


Tanggal 9 Jun 2013, dengan izinNya  Sinar selamat melahirkan seorang puteri seberat 2.79kg di Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu. Alhamdulillah kami berdua sihat dan saya masih dalam tempoh berpantang.

Namanya punya harapan dan makna

Di awal perkahwinan kami sudah berangan-angan untuk memiliki anak. Jadi sudah kami pasang niat untuk  perbaiki diri untuk menjadi ibubapa mithali kerana kami sendiri tidak pasti bila rezeki ini tiba. Persediaan perlu ada. Di samping itu juga, hak anak adalah diberi nama yang baik. Kami cuba mencari beberapa nama yang sesuai untuk anak lelaki dan perempuan. Persediaan awal la kononnya. Apabila bercerita soal anak, kami suami isteri pasti bergurau senda dan cuba mereka nama untuk mereka. Indah..

Alhamdulillah, nama Nuha Sakeenah memikit hati kami untuk anak perempuan pertama. Maka anak kami diberi nama Putri Nuha Sakeenah Binti Ahmad Fahmi. (^_^) InsyaAllah ini doa untuknya juga.




Selesai saja mengumumkan namanya tempoh hari, ramai yang mengamati nama ini. Kata seorang kawan, 

Putri - Indonesia
Nuha - Mesir
Sakeenah - Malaysia

Tergelak saya dibuatnya. Ada juga benarnya. 3 negara yang membekas di jiwa saya dan suami tersayang. Namun saya lebih memberi penekanan pada maksud di sebaliknya. Saya sendiri menginginkan ketenangan dalam dunia ini, lalu Sakeenah jadi pilihan. Saya doakan anak saya ini dilimpahkan ketenangan dalam hidup untuk terus merasai cinta Pencipta dirinya, dibuka ruang untuk menjadi hamba Allah yang solehah dan taat padaNya. Besar pengharapan saya, anak ini cerdik, pintar, cerdas untuk membantu Islam di masa hadapan, lalu Nuha jadi pilihan. Putri pula sudah semestinya kerana anak inilah ibarat puteri kami, punya keistimewaan di hati saya dan suami. Selain itu juga Bandung, Indonesia sememangnya mempunyai kenangan untuk kami ingati sepanjang perkahwinan.
 
Sakit bersalin itu muhasabah


Dulu saya tertanya-tanya, sakit bersalin itu bagaimana, keluar darah tu banyak mana, pecah air ketuban tu macam mana? Walaupun graduan perubatan, terasa 'blurr' bila kita sendiri akan mengalaminya. Saya pernah lontarkan soalan pada Ummi saya, Ummi cuba terangkan ikut pengalamannya sambil tergelak kecil dengan telatah saya. Hehe, malu sebenarnya saya mahu bertanya.

Saya alami sakit bersalin sejak maghrib 8 jun, namun kesakitan itu masih mampu saya tahan. Sejam sekali perut saya menegang dan mula sakit belakang. Keliru juga saya tapi terdetik di hati, 'Macam esok je ni bersalin, sebab sakit ni dah regular,'Sempatlah saya menunggu suami pulang, menemaninya makan dan berkongsi rasa di hati. Saya tidur dan terjaga semula pukul 1.45 pagi. Pusing kiri, pusing kanan, kejap berdiri, kejap duduk. Tidak selesa dan tiba-tiba rasa mahu ke tandas, kononnya mahu melunaskan hajat kecil. Terkejut juga sudah ada show(keluar darah). Suami pula sudah tidak lena tidur namun beliau sentiasa memainkan peranan untuk menenangkan saya. Maklumlah anak pertama ambil masa 12-14 jam untuk laluan/jalan bayi terbuka penuh. Kami bercadang untuk bertolak ke hospital selepas sarapan pagi :) Penting untuk saya simpan tenaga dan saya tak terperangkap terlalu lama di wad. Hanya Allah tempat berserah dan Dia sebaik-baik perancang.


Kira-kira pukul 9, saya diiringi jururawat bertugas bersama ambulans ke hospital. Suami pula menaiki kereta, mengekori kami dari belakang. Pertama kali naik ambulans, terasa lucunya sebagai pesakit. Serik juga rasanya. Apapun harus biasa kerana selepas ini perlu bertugas menemani pesakit pula.

Selesai mendaftar dan diperiksa pun sudah tengahari, Sinar di tempatkan di wad 1EF dahulu. Sempatlah Sinar makan tengah hari. Selesai sahaja makan, siap-siap untuk solah zohor. Sedang menunggu waktu solah sambil sembang dengan suami dan pesakit sebelah katil, terasa 'contraction' makin kuat lalu saya berdiri. Tiba-tiba gussshhh... Air ketuban pula pecah. Basah terus lantai. Apa lagi.. Suami terus memanggil jururawat, saya ditolak dengan kerusi roda ke bilik pemeriksaan. Oh, sungguhlah pemeriksaan itu sakit juga. Katanya jalan sudah separuh, maka saya ditolak ke bilik bersalin. Bermulalah penantian di sana.

Banyak sungguh masa saya bermuhasabah sepanjang saya alami sakit ini. Sungguh, saya teringat keperitan dan jerih perih Ummi saya ketika saat ini.  Melihat suami tetap setia di sisi saya, teringat saya pada Lek. Saya berdoa Allah ampunkan dosa-dosa saya pada Ummi dan Lek. Terasa banyak juga hak mereka yang tidak tertunai. 

Sedih dalam gembira

Alhamdulillah, kakitangan hospital cukup mesra dan sebolehnya memberi khidmat terbaik pada  hemat saya. Lega juga hati saya kerana saya ditemani suami dan diuruskan oleh beberapa doktor yang masih sempat berkongsi pandangan dengan saya di bilik bersalin ketika saya sedang menahan sakit. Tahan punya tahan, saya ditawarkan epidural anesthesia untuk menahan sakit. Apapun sakit itu masih terasa. Apabila contraction sudah makin kuat dan jalan sudah terbuka. Bermulalah perjuangan untuk Allah izinkan si kecil melihat dunia. 



Saya selamat melahirkan seorang puteri pukul 6.58 petang. Gembira tak terkata selepas berhempas-pulas meneran. Lega sungguh bila anak yang suci itu diletakkan di dada si ibu ini sebaik sahaja keluar ke dunia. Bonding... ikatan yang tak tergambar damainya hati ini. Saya lihat matanya sudah terbuka tapi suaranya belum kedengaran. Sebaik 'suction' terdengar suara esakannya. Allah.. Allah.. Terharu saya. Alhamdulillah puteri kami dilahirkan normal. Gembira sungguh saya dibuatnya. Alhamdulillah...

Sebaik sahaja diperiksa usai bersalin, saya dikatakan memiliki luka yang banyak. Kalau dalam rekod akan ditulis begini 'SVD episiotomy with 3rd degree tear'. Sungguhlah saya sendiri tahu apa kesannya memiliki luka hingga sebegitu rupa. Sedih.. tapi saya cuba kawal perasaan ini. Barangkali inilah ujian untuk saya setelah Allah mudahkan urusan mengandung hingga melahirkan anak. Saya ditolak ke dewan bedah pula untuk dijahit luka-luka yang ada. Pukul 11 malam baru selesai dan saya ditempatkan di wad 1b pula. Apapun saya bersyukur, kami semua selamat. (^_^) Alhamdulillah ada suami yang menguruskan saya dan Nuha. Hati saya kuat melihat suami 




Alhamdulillah, sudah 20 hari

Hari ini juga ulangtahun kelahiran Tok Lek saya :) Selamat Hari Lahir..

Hari ini sudah genap umur Nuha 20 hari dan 20 hari jugalah saya berpantang. Yang kami perlukan doa-doa kalian untuk kami terus sihat dan saya sembuh seperti sediakala malah lebih bertenaga. Doakan ya. Tiada yang mustahil dengan kuasa Allah kan :) Saya sendiri berharap, untuk kelahiran seterusnya saya boleh melahirkan secara biasa lagi dan dipermudahkan urusan juga.

Thursday, June 06, 2013

Catatan Bunda: 39 Minggu- Bila-bila sahaja bergelar Bunda. Ya Allah bantulah dan mudahkanlah!

Alhamdulillah Hari Khamis hadir lagi. Syukur masih dapat menghirup udara segar hari ini bersama suami tercinta. Alhamdulillah beliau off, adalah peneman kita kan baby.

Seperti biasa, diari kehamilan dibelek. Ada nota ringkas di sediakan mengikut minggu kandungan. Nota minggu 39-40;

'Bayi anda sudah bersedia untuk dilahirkan. Bayi sudah kelihatan sangat comel sekarang disebabkan lemak yang terbentuk di bawah kulitnya. Lapisan lemak yang terbentuk ini penting untuk mengawal suhu badannya selepas dia lahir.

Kulit bayi anda sangat halus dan lembut. Berat bayi adalah sekitar 2.7kg-3.2kg dengan panjang sekitar 50cm. Tahniah diucapkan! Pada saat ini, bila-bila masa sahaja anda akan bergelar seorang ibu!'

Subhanallah.. Bila-bila sahaja bayi akan melihat dunia. Gementar juga ni. Sudah rasa sakit tapi tidaklah sekerap mana. Keliru juga dibuatnya kerana masih mampu tolerate kesakitan ini.

Doakan ya semuanya selamat, lancar dan kami sihat. Maafkan salah silap saya sepanjang kalian membaca blog ini. Maaf juga khusus pada suami tercinta, Ummi Lek, Ibu Abah, adik-adik tersayang, keluarga, sahabat-sahabat, pendidik dan rakan yang mengenali diri ini. Mohon halal semuanya. Terima kasih juga atas nasihat dan doa kalian selama ini. Apapun doa kalian masih diperlukan (^_^)

Tuesday, June 04, 2013

Catatan Dr : Perjalanan Panggilan Cinta (Kerja Ibadahku)


Alhamdulillah thumma Alhamdulillah.

Setelah lama menanti, Alhamdulillah hari ini sudah dapat surat panggilan untuk mula bertugas sebagai pegawai perubatan gred UD41. Tersenyum saya sendiri..

.....................................................

Sungguh urusan demi urusan selepas selesai imtihan itu panjang juga. Pada awalnya saya perlu pendapatkan surat sokongan pengajian beserta credit hour, transkrip peperiksaan dan surat pengesahan tamat pengajian daripada pihak universiti untuk memohon jawatan di laman SPA. Kemudian wajib melapor diri pada JPA, MMC dan KKM. Setelah itu berbekalkan Sijil Perakuan Sementara Perubatan dari MMC bermulalah gelaran Dr di hadapan nama setiap pemilik sijil ini. Allah.. Allah.. Berat sungguh rasanya. Alhamdulillah 14 Mac saya memiliki sijil ini. Selagi tidak terjun ke bidang praktikal, status Dr itu tidak benar-benar meninggalkan kesan mendalam buat saya. Tanggungjawab belum digalas dan belum terjun ke medan sebenar.

surat, sijil dan resit untuk urusan kerja

Menanti dan menanti, akhirnya panggilan telefon dari SPA diterima untuk ditemuduga pada 10 April 2013. 



Alhamdulillah lulus dan surat tawaran jawatan dari SPA pula tiba pada 2 Mei dan hari ini pula terima surat pengesahan jawatan dari Kementerian untuk mula bertugas pada 10 Jun dengan mengikuti Program Tranformasi Minda. 



Sungguh berbunga hati ini kerana saya dipanggil, walaupun sebenarnya saya perlu membuat penangguhan untuk berkhidmat kerana saya dijangka bersalin pada 13 Jun. Saya masih gembira walaupun tidak dapat pergi kerana saya tahu Allah benar-benar merancang apa yang terbaik untuk hambanya. Apatah lagi saya masih akan berubah ke fasa baru kehidupan walaupun bukan alam kerjaya. InsyaAllah alam kerjaya itu bakal saya tempoh sebaik sahaja stabil, berstamina dan dengan niat serta semangat yang jelas dan berkobar-kobar.

Doakan saya ya semua! Jazakumullahu kheiran kathira (^_^)

Thursday, May 30, 2013

Catatan Bunda : 38 minggu.. Sabar menantimu


Siku sana, siku sini, pukul sana, pukul sini, tendang sana, tendang sini.. Itulah rencah si kecil yang masih dalam kandungan. Interaksi sihat antara si anak yang masih dalam rahim dengan Bundanya.

Alhamdulillah hari ini genap 38 minggu. Kandungan sudah matang. Hanya menunggu hari untuk si kecil soleh wa musleh ini melihat dunia. Gembira itu semestinya kerana mahu melihat muka insan yang suci dari dosa ini. Terselit kerisauan untuk si kecil menghadapi dunia yang sememangnya banyak cabaran untuk menghidupkan iman. Untuk itu, saya dan suami wajib menjadikan diri kami ibubapa yang soleh dan rabbani untuk dijadikan ikutan dan zuriat kami diberkatiNya. Bertepatan dengan pengisian usrah hari ini tentang keperluan menjadi insan rabbani karangan Dr Majdi Hilaly. Ada 7 semuanya mengapa perlunya menjadi insan Rabbani. 

  1. Untuk mewujudkan kebahagiaan
  2. Untuk mendapatkan perlindungan Allah
  3. Menjamin masa depan anak
  4. Keselarasan dengan fitrah
  5. Mengembalikan ilmu yang hilang
  6. Mendapat pertolongan Allah
  7. Dekat di sisi Allah di akhirat
Saya tersenyum kerana sememangnya kita tak pernah rugi apabila kita mendekati Allah. Aura kebaikan akan terpancar pada orang sekeliling kita. Itulah hikmah menjadi orang Rabbani. Menjadi insan soleh setidaknya memberi tempias pada zuriat dan keluarga kita. Saya sentiasa berharap dan berdoa, Allah tidak pernah lepas mendidik kami sekeluarga untuk terus berada dalam jagaan, rahmat dan pengampunanNya.

38 minggu sudah berlalu.. Akan hadir satu detik mengubah status kami berdua menjadi ayah dan ibu. Alhamdulillah Dia berikan kesabaran untuk menantimu. Moga bertambah juga keberkatan, kesejahteraan, kecintaan dan kesabaran dalam rumahtangga yang telah kami bina. Doakan kebaikan sentiasa mengiringi kami (^_^) Terima kasih atas doa-doa yang tidak putus kalian titipkan. 

Friday, May 10, 2013

Suri Rumah vs Wanita Bekerjaya

Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani..

Assalamualaikum wbt buat semua khususnya buat para Muslimah yang dihormati lagi di kasihi..

Lihat sahaja tajuk entri kali ini, fokusnya lebih kepada wanita. Kenapa? Kerana wanita sungguh berharga. Mereka perlu dipelihara kejiwaannya, pembangunan rohani, ruhi dan jasmaninya.

Wanita berupaya

Rata-rata wanita hari ini tidak kurang hebatnya di persada dunia. Sudah ramai yang bergelar Profesor, Doktor, Jurutera, Saintis, Atlet negara mahupun peniaga tersohor di seantero dunia. Hinggakan ada kelab wanita yang memperjuangkan hak wanita apatah lagi dalam penglibatan mereka dalam bidang terbuka. Namun istilah suri rumah kurang dipopularkan, bahkan wanita sendiri lebih cenderung memperkasakan diri di bidang akademik tanpa meneliti aspek rumahtangga dan keperluannya. Kemegahan peribadi kini lebih fokus pada nilai akademik, kerjaya dan harta yang mampu dimiliki. Namun kita seringkali terlepas pandang kata-kata orang tua walaupun sinis kedengaran tapi ada hikmah yang perlu diteliti, 'belajar tinggi-tinggi akhirnya ke ceruk dapur jua.' Sudah itu kaca mata Melayu kita (^_^) Kita rai tapi tidak pula meremehkan kepentingan akademik di abad ini. Ibu yang pintar, pantas mendidik anak lebih jauh lagi kerana dialah guru pertama anak-anaknya.



Lelaki dan wanita kedua-duanya ada peranannya tersendiri. Kewujudan Medina dan Mecca atau Mars dan Venus ini tujuannya saling melengkapi. Namun, ada sesuatu yang wanita perlu terokai dan kebanyakan mereka mempunyai kelebihan yang tidak diberi pada lelaki. Banyak kajian mengatakan wanita kuat bermain emosi, kerjanya lebih teliti dan mampu melakukan banyak pekerjaan dalam satu masa (multitasking). Di situ sahaja Allah beri keupayaan untuk mereka mengandung dan melahirkan. Suatu cabaran yang tidak pernah sama di kalangan wanita dan lelaki tidak pernah merasai. Walaupun ditegah itu ini, akhirnya perempuan juga yang perlu melaksanakan tugasan di rumah mahupun tempat kerja. Tinggallah pesanan, nasihat sekadarnya, wanita kuatkan jiwa laksanakan juga tugasannya.

Suri rumah bidadari rumahnya

Entah mengapa, saya rasa suri rumah itu ibarat sang bidadari. Mungkin kerana dirinya taat setia pada rumah yang dihuni. Berkhidmat tidak kira waktu untuk keselesaan suami dan anak-anak yang dikasihi. Jiwanya ikhlas untuk berkhidmat tanpa gaji. Penatnya kalah orang bekerjaya dan bergaji tinggi. Peluhnya mencurah-curah menjemur pakaian di siang hari. Kadangkala, pergerakannya sudah melebihi 1 kilometer separuh hari. Memasak dengan penuh perisa dan rempah cinta buatan sendiri. Senang kita memerhati tapi hati yang melalui bagaimanalah...Kadangkala tidak dirai namun hatinya tekad berbakti. Namun apabila dirai oleh sang suami, cinta hatinya, penatnya hilang, kasih bersemi, taat suami hingga ke mati (^_^) Subhanallah..  Indah. 

Tambahan pula suri rumahlah antara wanita terpelihara dari fitnah luar serta gangguan lelaki. Kecantikannya, dandanannya hanya untuk suami. Indah... Kalau seoptimis inilah suri rumah yakin diri, pasti beliaulah bidadari bukan di syurga nanti malah sejak di dunia lagi.

Rai mereka, bukan meremehkan,


Apabila suri rumah sudah percaya diri, kini ujian bakal dihadapi dari dunia luar yang tidak pernah akan sunyi mengocak jiwanya yang kadangkala sunyi. Seharusnya insan sekeliling menaikkan martabat mereka kerana mereka sudah bersusah payah untuk menjadikan 'Rumahku syurgaku hingga  syurgamu jua wahai suami.' Inilah cabaran mereka, kadangkala kerja di rumah di pandang remeh. Sedangkan kalau rumah tidak bersapu, bersepah, pakaian tidak dilipat, pinggan mangkuk tidak dibasuh yang salahnya nanti siapa. Wanita juga. Lebih tepat si isteri, si ibu ataupun si nenek. Terbakar jiwa mereka sekiranya merekalah 100% penyebab ketidakkemasan rumah. Di mana peranan suami, ayah dan datuk? Sejukkanlah jiwa mereka..

Ringan-ringankanlah kerja mereka seperti mana Rasulullah saw kita yang tercinta membantu isteri-isterinya dalam urusan rumahtangga. Namun di sisi sang suri rumah tangga, seperti mana Rasulullah saw pernah berpesan pada anaknya Fatimah yang tercinta, perbanyakkan tasbih, tahmid, takbir sebagai sumber kekuatan dalaman. Dunia dalaman menentu dunia luaran bukan. Kuat dalaman, pasti ujian apapun kita mampu hadapinya.


Kalimah suri rumah jika dituturkan sahaja rasa tidak bergaya dan tidak cool pada sesetengah telinga. Membuatkan diri suri rumah kadangkala goyah dan mahu menukar rasa. Ada yang berpendapat, mereka hanya terperangkap di dalam rumah dan tidak mengetahui isu semasa. Maka suri rumah dianggap ala golongan kelas ketiga. Namun ketahuilah dengan dunia tanpa sempadan dan ruang terbuka dek internet yang berpanjangan, isu semasa dan ilmu dunia hanya dihujung jari untuk diteroka. Kadangla mereka lebih mempunyai masa untuk menganalisa apa yang ada dari kita yang mungkin bekerjaya, lagak orang tahu segalanya tapi hanya pandai berkata-kata. (^_<)


Cabaran wanita bekerjaya.

Tidak lama lagi dengan izinNya saya pula melangkah ke alam serba asing ini. Ada kelebihan dan kekurangan yang perlu difikirkan, dibincangkan dan diatasi bersama suami tercinta. Inilah cabaran dan bukan masalah yang perlu dibesarkan. Hehe, enak sedikit menyebut cabaran dari masalah terus negatif sahaja tanggapan minda kita.

Cabarannya pasti ada, kerana waktu banyak dihabiskan di tempat kerja sudah pasti urusan rumahtangga terbatas untuk dilaksanakan. Perhatian terhadap suami dan anak-anak tidak seperti sang suri rumah mampu berikan. Urusan mengemas rumah, makan-minum, pakaian juga tidak boleh dibiarkan sahaja walaupun sibuk bekerjaya.

Bekerjaya tapi rumah tidak dilupa.

'Seenak-enak'  saya di rumah ketika ini, paling tidak mahu rumah yang kemas, selesa dan sedap mata memandang. Maklumlah rumah itu tempat kita mencari damai dan suami juga setelah penat bekerja sudah pasti mahu lekas pulang jika rumah itu ibarat syurga bukan? Sejak bujang, memang kita sendiri serabut kepala kalau bilik yang kita huni tidak sedap dipandang mata, tetamu hadir pun segan kita dibuatnya dan kalau mahu belajar pasti tidak tentu arah juga.

Maka apabila sudah bekerjaya, rumah juga perlu diusahakan untuk sekemas yang boleh. Susun atur rumah yang ringkas, perabot yang tidak keterlaluan, barang-barang sekadarnya sahaja dan stor yang tersusun insyaAllah membantu. 

Untuk mengekalkan kekemasan, ada yang mengambil inisiatif dengan mengajikan pembantu rumah dan tak kurang juga yang hanya menggunakan khidmat pengemas rumah di hujung minggu. Kalau mahu berdikari, memang kita perlu ada sistem mengemas rumah sendiri, sediakan bakul baju yang sudah dipakai, tempat jemur baju di dalam rumah, jadual memasak, jadual menseterika baju. Padat.. padat (^_^) Harus superduper dalam urusan rumahtangga. Segalanya mungkin jika ada 'support system' yang baik.

Wah.. Panjang pula. Maafkan saya andai tulisan saya ini berjela-jela. Begitulah jadinya apabila mencoret ikut kehendak hati dan rasa. Moga Allah ampunkan kekurangan saya dan menguatkan saya menjadi isteri, bakal ibu dan dalam kerjaya. (^_^)

Thursday, May 09, 2013

Catatan Bunda : 35 minggu usiamu...


Alhamdulillah thumma Alhamdulillah..

Syukur pada Allah pemberi segala nikmat dan kurnia. Hari Khamis tiba lagi. (^_^) Sungguh ceria menyambutnya. Seperti kebiasaan, hari ini pasti ramai yang berpuasa. Namun hari ini saya rehat sebentar kerana peristiwa semalam. Pada yang berpuasa, selit-selitkanlah doa untuk Sinar dan bayi. InsyaAllah makbul doa kalian.

Hari Khamis juga bermakna hari genapnya usia minggu kandungan. Kini 35 minggu sudah usianya. Kesemua sistem tubuhnya sudah terbentuk sempurna, walaupun paru-paru masih belum matang sepenuhnya, insyaAllah keadaannya baik-baik sahaja. Bayi saya juga sudah pandai berinteraksi dengan suara-suara yang dikenali, terutamanya saya dan suami. Pasti sahaja bayi kami akan bergerak dengan suka hati. Selain itu juga, apabila saya menghampiri objek panas contohnya ketika meng 'iron' baju dan  saya talakan lampu ke perut, pasti bayi kami akan bergerak juga :) Tidak selesa barangkali dan Alhamdulillah petanda derianya sensitif dan berfungsi dengan baik.

Kalau sudah 35 minggu, kira-kira dalam 3-5 minggu sahaja lagi bayi ini akan melihat dunia. Doakan beliau keluar dengan selamat  pada waktu yang sudah Allah tetapkan. Gementar juga.

Justeru persiapan perlu saya lakukan seadanya untuk menyambut bayi kami yang pertama.

Kelengkapan ke hospital

Selagi masih punya tenaga, saya harus menggunakan masa yang ada sebaiknya. Alhamdulillah, beg saya dan bayi sudah dalam proses. Keluarga dan kawan-kawan juga turut menyumbang untuk menyambut kelahirannya. Ada yang memberi baju, swaddling blanket, kain barut, tilam, bantal dan bermacam-macam lagi.



Alhamdulillah bakal dimanfaatkan. Senarai sudah saya lakukan untuk bawa kelengkapan di hospital nanti. Antara barang yang perlu saya siapkan ialah,
  1. 3 pasang baju bayi (sudah)
  2. 2 swaddling blanket bercorak dan 1 kain bedung putih buatan Ummi (sudah)
  3. Tuala badan dan muka (sudah)
  4. Diapers
  5. 1 kain barut perut bayi buatan Ummi (sudah)
  6. Cotton wool (sudah)
  7. Baby wipers (sudah)
  8. Minyak yuyi atau seangkatan dengannya (sudah)
  9. Set mandian Johnson's (sudah)
  10. Penyikat rambut bayi (sudah)
  11. Nasal aspirator (sudah)
  12. 2 set stokin kaki dan tangan bayi (sudah)
Kelengkapan saya pula ialah,
  1. 2 pasang baju berbutang depan (50%)
  2. 2 helai tudung (50%)
  3. Pakaian dalam sesuai untuk menyusu (sudah)
  4. Tuala mandi
  5. Tuala wanita
  6. 2 helai Kain batik (sudah)
  7. 2 helai stokin kaki (50%)
  8. Selipar dan kasut
  9. Kelengkapan kendiri (Bedak, pewangi, penyikat rambut)
  10. Syampoo dan sabun
  11. Ubat dan minyak urut
  12. Makanan (Roti dan biskut)
  13. Minuman (Air zam-zam) dan termos panas
Debaran si ibu mengandung ada dua.

Pertama, siapa tak berdebarkan? Lagi-lagi perkara yang pertama kali bakal kita hadapi.. Apatah lagi inilah pertama kali saya mengandung dan bakal melahirkan. Pelbagai cerita dan pengalaman yang telah saya dengar. Apapun, saya doakan Allah ringankan sakit saya, pimpin saya untuk ingatiNya, terus kuat dan bertenaga, mampu menjaga mulut dan akhlak serta terus menerus zikrullah walaupun sakitnya hanya Allah dan ibu itu saja yang merasa dan selamat semuanya. Ameen..

Debaran kedua pula adalah tentang urusan kerja, Alhamdulillah surat pelantikan sudah pun dalam genggaman. Sedang menanti surat panggilan untuk bekerja pula. Sempat atau tidak? Boleh tangguh atau tidak? Masih persoalan. Kemungkinan besar, bayi ini keluar melihat dunia dahulu, berehatlah Sinar jawabnya buat sementara waktu. Wallahu'alam. Hanya Allah yang tahu, jika terpaksa kerja dalam waktu terdekat, Allah sahaja mampu menguatkan saya dan pelihara kami berdua. Bagus juga, kalau mahu beranak, saya sudah berada di tempat sepatutnya. Disebabkan saya anemia (kod hijau), beranak di klinik kesihatan dan rumah memang tidak dibenarkan. Hospital memang menjadi pilihan untuk saya yang berkod hijau di buku rekod ibu hamil.

Saya doa semuanya selamat dan pastinya Allah sudah aturkan penyusunan yang terbaik.

Monday, May 06, 2013

Pasca PRU13 : 3 rasa dalam diri


Gembira, Sedih, Risau.. Mungkin itulah yang kita rasai di pagi ini dan untuk saya sudah pasti 3 rasa yang sedang bermain dalam diri..

Beberapa hari yang lalu ibarat persiapan Hari Raya, jalan sesak di kampung mahupun bandar tercinta. Seronok tak terkata. Yang tua hingga yang muda, jelas keterujaan mereka. Bendera berkibar tidak kira parti mana. Hijau, biru, putih dan merah semua ada. Meriah sungguh Malaysia tercinta.

Semalam berlalu sudah pilihanraya. Akhirnya keputusan sudah tersedia, kerajaan lama terus kekal tersedia. Maka, 5 tahun entah apa cabarannya. Kemajuan dan  pembangunan yang bagaimana mahu dibawa? Semua menjadi tanda tanya. Pastinya keimanan, ketakwaan wajib ditingkatkan untuk tempuh ujian daripadaNya.

Gembira kerana ini kalilah usaha tidak sia-sia, ada peningkatan untuk kita raikan walaupun kerajaan lama terus kekal di posisi sama. Ini kalilah juga untuk kita terus lipatgandakan usaha. Allah mahu kita muhasabah dan terus bekerja. Perbetulkan niat berpolitik, dakwah dan bersilaturahim tak kira bangsa dan agama. Allah beri peluang untuk kita kaji kelemahan dan perbaikinya, mungkin ada hak Allah, Rasul yang belum kita jelas tentangnya, hak keluarga yang belum kita sedari dan hak masyarakat yang belum kita lunasi. Perbaiki dan perbaiki. Tentu Allah menolong setiap langkah kita perbaiki diri. Yakin perubahan itu ada walaupun selambat kura-kura menuju destinasi, hakikatnya kura-kura menang kerana dia terus usaha atasi kelemahan diri dan jernih hati.

Sedih kerana diri masih banyak kelemahan dan tidak pasti masihkah diri berpeluang merasai PRU 14 nanti. Menjadi pengundi buat pertama kali, sungguh itulah yang didambakan hati. 5 tahun nanti pastinya sudah tertulis apa yang terjadi. Sedih ini insyaAllah bakal diubati sekiranya Allah terus mendidik diri menjadi insan yang lebih bertakwa dan tidak takut mati malah sedia melakukan perubahan untuk Islam kekal di bumi. 'Ya Allah pilihlah kami menjadi insan yang Engkau redhai.' Ameen..

Entah kenapa Risau sungguh dengan janji-janji yang ditaburi, tidak kira di pihak kerajaan mahupun yang dikatakan pembangkang kini. Janji senang dituturi tapi sukar ditepati, apatah lagi senang dimanipulasi oleh manusia yang lemah dan cinta duniawi. Moga Allah sedarkan pemimpin yang dipilih rakyat agar lebih takut dengan azab melantun bicara tanpa memikir isinya kerana neraka itu jelas bukan membakar kulit tapi hingga ke isi malah tulang sekali. Selamat berkhidmat dengan hati yang suci. Amanah itu jangan para YB khianati, nanti kelak azab menanti.

Majulah.. majulah.. langkah tak pernah berhenti. Positif itu ubat.. kerana Allah sentiasa mendidik diri bahawasanya Dia Maha Berkuasa atas segalanya yang belum kita miliki.

Thursday, April 11, 2013

Catatan Bunda : 31 minggu usiamu


Alhamdulillah thumma Alhamdulillah...

Hari ini genaplah kandungan 31 minggu. Keluarga dan mereka di sekeliling sudah mula menegur kandungan yang kian membesar. Yang dulunya tidak perasan Sinar mengandung, kini sudah mula perasan. Biasalah, tak lama lagi akan menginjak 8 bulan usia kandungan. Sekejap pula rasanya masa berlalu. Apapun diri ini sentiasa doakan bayi sihat dan selamat dilahirkan.

Makin lama, makin aktif 'si kecil comel' ini. Alhamdulillah.. Agaknya beliau tidak sabar mahu berjalan, tadabbur dan beramal di dunia yang Allah cipta. Ralit juga melihat 'si kecil' bergerak dan menendang. Subhanallah.. menabjubkan perasaan ini, tambah lagi apabila Papanya ada di sisi. Bertambah aktif jadinya.

Semalam selesai temuduga di Pusat Temuduga SPA di Jalan Cenderasari, Kuala Lumpur. Alhamdulillah lulus. Rasa lucu juga pergi temuduga dalam keadaan mengandung ini. Orang lain 'slim', kita pula boyot kata orang kebanyakan. Whatever.. :) Yang penting bayi sihat dan membesar dengan baik. Itupun tidaklah seboyot orang lain kata Jururawat. Hehe.. Ye ye je kan.. Jururawat pun lega semenjak dua minggu ini, hemoglobin saya sudah normal (11gm%) dan berat badan pun meningkat dengan baik. Kalau tidak, pasti akan ada sahaja nasihat demi nasihat. Risau mereka. Alhamdulillah, berkat doa dan sokongan suami dan keluarga tercinta dengan sikap ambil berat mereka, saya bertambah sihat dan bertenaga. Sinar doakan, keadaan akan lebih baik, terus sihat hingga ke akhirnya

Hari ini pula, Ummi saya bersemangat menjahit kain bedung dan barut perut untuk baby. Untungkan kalau pandai menjahit boleh tinggalkan kenangan untuk orang tersayang... InsyaAllah, kenalah siapkan barang sedikit demi sedikit untuk menyambut bayi.


Nampaknya kena perbaharui senarai barang untuk menyambut kedatangannya. (^_^) Doakan kami ya..

Saturday, March 09, 2013

Cerita 11 Hari Kepulangan

Seminggu pantas berlalu. 11 hari juga rupanya saya sudah berada di tanahair tercinta.

Mereka permata hatiku

Pertama kali keluar dari pintu ketibaan, wajah-wajah yang saya kenali terus menerpa dalam pandangan, Abang, Lek dan Ummi sedang melambai. Oh alangkah indahnya saat itu. Walaupun bukan satu rombongan keluarga yang datang, sambutan dari mereka bertiga cukup hangat buat saya. Terasa sungguh kepulangan saya selepas berhempas pulas 6 tahun setengah disambut ceria.

Roti canai Pok Man

Kalau bercerita bab makan, Roti Canai antara makanan yang cukup glamour di bumi Malaysia. Semenjak saya menjejaki Marang, tempat suami saya dibesarkan, cukuplah Roti Canai Kedai Pak Man membuatkan saya terpanggil untuk ke sana semula. Sungguh sedap! Tak percaya? singgahlah kedai beliau..

Doktor oh Doktor

Sejak pulang, mereka di sekelilling sudah mula memanggil diri dengan panggilan 'Doktor'. Rasa asing pula. Sedangkan di Mesir, professor dan pesakit selalu memanggil kami Ya Duktur, Ya Dukturah... Tapi kali ini, panggilan itu sangat berat bagi saya. Setidaknya panggilan itu mengingatkan saya akan amanah yang sepatutnya saya pikul. Doakan ya, fasa itu saya tempuh dengan penuh bertanggungjawab dan berdedikasi.

Penting Buku Rekod Kesihatan Ibu

5 Mac 2013 - Ketika ini saya sudah pun 6 bulan mengandungkan 'si comel soleh/solehah' dan sudah lambat untuk saya membuka buku rekod kesihatan ibu dan melakukan pemeriksaan kesihatan ibu dan bayi di Malaysia. 'Buku Pink' adalah antara gelaran glamour untuk buku rekod tersebut, ibarat pasport si ibu untuk melakukan pemeriksaan susulan. Gementarnya saya sekiranya dimarahi oleh jururawat mahupun doktor bertugas. Alhamdulillah segalanya lancar dan mereka melayani saya dengan baik sekali. Rezeki anak rasanya.

Pertama kali saya mengisi buku rekod kesihatan ibu dengan ruang pekerjaan sebagai doktor/pegawai perubatan. Huhu sungguh rasa mahu memadamnya semula kerana belum bertugas. Ketika berurusan dan pemeriksaan kesihatan bertambah lagi insan yang memanggil saya dengan gelaran tersebut walaupun mereka itu juga doktor dan jururawat, hingga saya tersipu malu. Harap sangat itu sebagai doa dan buah keyakinan untuk menghadapi masa hadapan.

Suami mula bertugas

Alhamdulillah, semalam suami baru pulang dari program transformasi minda. Beliau bakal bertugas di Hospital Sultanah Nur Zahirah. InsyaAllah esok bakal melaporkan diri di hospital berkenaan. Sekejap sungguh masa berlalu.Ketika beliau sedang berkursus saya pula pulang ke Besut bertemu Wan dan Tok Ki. :) Gembira sungguh mereka. Sebaik sahaja suami pulang, terasa masa sangat singkat dan amat berharga untuk saya. Maklumlah selepas ini beliau pasti sibuk bekerja. Sejak semalam dan hari ini banyak kami meluangkan masa bersama dan menyelesaikan beberapa perkara memandangkan kenduri menyambut menantu bakal menjelma tidak lama lagi.

Kalau difikirkan semula, 11 hari yang berlalu ini banyak perkara yang telah dan sedang dilakukan. (^_^) Tak putus saya mendoakan masa yang saya ada ini diberkati. 


Tuesday, February 26, 2013

Pasca Konvokesyen : Hari Terakhir di Mesir

Tergiang-giang Pakcik Makcik Mesir melaungkan 'Ahlan.. Ahlan..' Sekarang terpaksa mengucapkan Selamat tinggal.. Ilalliqa'.. tapi tak mampu nak mengucapkan. InsyaAllah kalimah ini lebih sesuai.. Jumpa lagi!



Alhamdulillah.. Setelah beberapa hari mengemas barang-barang, Allah beri juga ruang untuk mencoret di sini sepatah dua kata sebelum berangkat pulang (back for good). InsyaAllah malam ini saya bersama kumpulan pertama graduan tajaan JPA akan berlepas melalui Terminal 3 Lapangan Terbang Antarabangsa Kaherah pada pukul 11.40 malam.

Justeru di kesempatan ini, saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih pada keluarga, guru, sahabat dan kenalan khususnya di Mesir yang tidak pernah putus mendoakan saya dan hadir untuk menceriakan dalam hidup saya di sini. Maaf saya ucapkan andai ada kekurangan, kesilapan yang saya lakukan sepanjang kita berkenalan. Mohon halalkan makan minum serta apa sahaja yang kalian pernah berikan. Saya doakan Allah memberkati kalian semuanya dan kumpulkan kita sekali lagi.. InsyaAllah kalau tidak di dunia, di syurga firdaus sana.

Memang sebak rasa hati mahu meninggalkan bumi penuh kenangan. Bumi yang banyak mengajar erti kehidupan. Wallahu'alam, Allah sebaik-baik perancangan. Kalau di takdirkan ke Malaysia semula, ke Malaysia lah saya. Doakan saya terus diberi kekuatan untuk meneruskan fasa kehidupan seterusnya di Malaysia kerana semuanya hanya permulaan. 

Saya tahu ada yang menunggu di Malaysia nanti.. Allah Allah.. Di Mesir ada kasih, di Malaysia ada sayang.. Jadi, bagaimanakah harus hati ini merasa..?

Wednesday, February 20, 2013

Kembara Mesir : Jelajah Mesir Bersama Keluarga (Feb 2013)

Kedatangan mereka sememangnya diharapkan dan dinanti apatah lagi Lek dan Ummi dahulu pernah datang ke Mesir ketika revolusi tanpa sempat menjelajah ardul kinanah ini. Mula merangka perjalanan mereka ketika sedang menghadapi peperiksaan. Saat ini semua berjalan lancar walaupun ada beberapa perkara yang tidak kami ingini berlaku. Bagi saya itu kebiasaan kerana bumi Mesir memang bumi menguji kesabaran. Namun kemanisan itu tetap ada walaupun ada kenangan pahitnya.

Ketibaan keluarga menemani debaran keputusan


Seawal 5 Februari, adik saya tiba dari Turki. Sementara keluarga yang lain belum datang, kami meluangkan masa bersama berjalan ke sana sini. Maklumlah sudah lama juga tak jalan dengan adikku nan seorang ini. Jauh dia belajar ke Turki.


Kemudian disusuli oleh kedua ibu bapa dan mertua saya pada 8 Februari. Alhamdulillah, Ummi, Lek dan Dekna menginap di rumah saya, manakala keluarga mertua tinggal di Manial, berdekatan rumah saya juga.



Dahab dan Sinai kami harungi (9-10 Feb 2013)

Dalam perjalanan ke Sinai, kami singgah di Kubu Israel, Uyun Musa dan Hamam Firaun. Setiap tempat punya kisah dan sirah tersendiri.







Perjalanan ke Sinai sungguh luar biasa dan mengambil masa. Ada sahaja ujian sebelum kami tiba di Sinai dan Dahab. Kami terpaksa mengharungi sekatan jalanraya yang terpaksa dilakukan oleh Badan Keamanan Mesir berikutan serangan bersenjata oleh pihak Badawi yang masih tidak berpuas hati dengan pemerintah. Disebabkan itu, kami terpaksa mengambil jalan jauh melalui Sharm El-Sheikh untuk ke Sinai. Akhirnya kami memilih untuk berehat di Dahab terlebih dahulu. Kami bermalam di  New Sphinx Resort. Pada pukul 1 lebih pagi keluarga bertolak ke Sinai untuk mendaki Jabal Musa.


Sementara mereka mendaki, saya pula membelah-belah di awal pagi. Alhamdulillah banyak kedai yang sudah beroperasi di Dahab. Namun kemeriahan Dahab tidak seperti dahulu.



Macam-macam cerita dan pengalaman mereka kongsikan selepas selesai mendaki. Lucu juga ya. Ada juga yang serik naik Jabal Musa.


Sekejap sahaja mereka berehat di Dahab. Sebaik sahaja mereka menuruni Jabal Musa mereka terus bergerak semula ke Dahab. Kemudian kami berkemas dan bertolak pulang ke Kaherah. Alhamdulillah pemandu van dan pemandu pelancong sangat mesra, baik dan menyenangkan hati kami. Perjalanan yang panjang dirasakan unik dan mengundang tawa bila dikenangkan.

Jalan-jalan di Kaherah (11 Feb 2013)

Pastinya kalau berjalan di Kaherah, Pyramid menjadi tumpuan. Walaupun itu tinggalan Firaun, Pyramid sudah menjadi simbolik Mesir. Kami juga menziarahi Masjid Imam Syafie, Makam Imam Syafie, Makam Imam Waqie', Kubu Salahuddin dan Masjid Sultan Muhammad Ali Pasha.



Iskandariah (12-13 Feb 2013)

Dari Kaherah kami menuju ke Iskandariah pula. Sekaligus ingin bertemu dengan adik ipar yang masih belajar di sana. Allah izin, kedatangan kami ke Iskandariah pada 12 Feb jatuh pada tarikh ulangtahun kelahiran Abah. Maka, saya dan adik ipar telah berpakat untuk meraikan secara kecil-kecilan. Alhamdulillah blueberry cheese cake menjadi rezeki kami. Malam harinya kami membeli-belah di Mashiyyah.


Keesokannya barulah kami memulakan lawatan demi lawatan. Pagi 13 Feb kami bersarapan di Hotel Sea View dan bergerak ke Montazah, Bibliotheca Alexandrina, Makam Abu Abbas Al-Morsi, Kubu Qaitbay, Makam Nabi Daniel, Makam Luqmanul Hakim dan sekadar menjamu mata dari luar melihat Roman theather



Alhamdulillah selesai jelajah beberapa tempat penting di Mesir, kemudian Allah izin keluarga dapat menghadiri Majlis Konvokesyen saya pula.

Setiap pertemuan pasti ada perakhiran.. Abah, Ibu dan Inah pulang ke Malaysia pada 5 Feb 2013 manakala Dekna pada pagi 17 Feb sementara Ummi dan Lek pada 17 Feb malam.


Jazakumullahu kheiran kathira pada Ummi, Lek, Ibu, Abah, Dekna dan Inah kerana memeriahkan hari-hari terakhir saya di Mesir ini. InsyaAllah jumpa di Malaysia pula. Maassalamah!

Friday, February 15, 2013

Coretan Hamba : Keputusan akhir MBBCh & Konvokesyen


Alhamdulillah thumma Alhamdulillah..

Debaran peperiksaan sudah dilalui
Debaran menanti keputusan akhir pengajian pun sudah dilalui.
Alhamdulillah, khabar gembira Allah beri.
Saya tamat pengajian di sini. MBBCh dimiliki.

Dirai dengan rasa syukur yang tidak terhingga.
Saya doakan ini sebagai permulaan yang baik buat  angkatan Gen6 khususnya..


Jazakumullahu kheiran kepada suami, Dr Ahmad Fahmi Sulaiman, Lek, Ummi, Abah, Ibu, Wan, Tokki, Mak Tok, Pakcik Makcik, adik-beradik; Solehin dan isteri, Hanisah, Husna, Insyirah, Intan Liyana, Fatin, Salwa,  ipar-duai, biras, keluarga besar, pendidik dari sekolah rendah hingga sekarang, sahabat-sahabat, kenalan yang mendoakan dan khusus buat kalian yang sering membaca blog dan facebook serta kalian yang mendoakan saya. (^_^)


Doakan kami semua..

Doa-doa kalian menyumbang kepada kejayaan hari ini. Dengan kekurangan yang ada, tanpa rahmatNya, tanpa berkatNya, saya tidak mampu menghadapi hari-hari lalu. Alhamdulillah segala kekuatan daripadaNYa. Terima kasih semua!

~الحمد لله على كل نعمة~

Debaran sehari sebelum Konvokesyen, terjawab dengan rahmatNya (13 Feb 2013)

Sehari sebelum Konvokesyen barulah keputusan kami diumumkan. Debarannya tak mampu digambarkan. Tak terkata saat menerima berita itu. Yang pasti saat keputusan sudah diketahui oleh rakan-rakan saya, saya masih dalam perjalanan pulang dari Iskandariah ke Kaherah bersama keluarga tersayang. Ditakdirkan pula telefon tiada bateri, menyebabkan rakan serumah tidak berjaya menghubungi saya. Alhamdulillah ada power bank Walid, maka sempatlah online sebentar dengan telefon yang sedang nyawa-nyawa ikan. 

Debaran itu tak terkata saat melihat status seorang demi seorang rakan sekelas melafazkan kalimah Alhamdulillah di status facebook masing-masing. Saya pula masih belum mengetahui keputusan saya. Fuhh, debar sungguh hingga Ummi menenangkan dan meyakinkan saya, ' Ummi tahu Along berjaya.' Memang positif sungguh Ummi terhadap anaknya. Walid pula menambah, ' InsyaAllah, Along cemerlang tu. Along dah usaha. Baby pun tolong juga'. Tersenyum saya. Dari lubuk paling dalam, saya mendoakan Allah bersama doa dan sangkaan kedua ibu-bapa saya.

Sebaik sahaja keputusan saya dimaklumkan oleh rakan, sebak sungguh saya dibuatnya. Benar kata Ummi dan Lek. Saya sampaikan berita itu pada Ummi, Lek terlebih dahulu. Mereka sangat gembira. Melihat mereka gembira, saya tersenyum.. Alhamdulillah Allah beri saya peluang untuk buat mereka gembira. Saya tahu, besar harapan mereka melihat anak mereka berjaya dan menaiki pentas menerima ijazah setelah berjuang sekian lama.

Pangkat dan gelaran itu suatu permulaan bahkan amanah.

Alhamdulillah thumma Alhamdulillah. Allah lebih tahu apa yang terbaik buat hambaNya. Pangkat Jaid Jiddan hadiah buat saya di Tahun 6 dan itu jugalah pangkat keseluruhan sepanjang pengajian Perubatan Umum di sini. Alhamdulillah, sepanjang 6 tahun setengah saya berjaya dalam semua peperiksaan. Tiada daya melainkan ini semua daripada Allah Yang Maha Mengasihani. Kerdil rasa diri.

Mendapat gelaran Doktor memang kelihatan gah di mata orang namun pada yang mengalas terasa sungguh beratnya amanah. Berhadapan dengan nyawa manusia bukan suatu mainan dan bukanlah suatu yang mudah. Pada Allah sahaja tempat bergantung harap. Didoakan perjalanan selepas ini penuh rahmah, barakah dan petunjuk daripadaNya.

Hari Konvokesyen, Hari berkongsi gembira (14 Feb 2013)


Beruntung rasanya, Allah beri peluang pada Ummi, Lek, Dekna, Ibu, Abah, Milah dan Inah untuk meraikan Hari Konvokesyen saya di Mesir. (^_^) Jazakumullahu kheiran pada Kak Una, Huda, Alimah, Syamila, Akma, Azfar, Asma, kawan-kawan seuniversiti, semesir dan adik-adik yang hadir di majlis ini. Syukran juga  pada keluarga, sahabat dan adik-adik kerana memberi bunga, coklat, buku dan pelbagai lagi hadiah. Saya suka semuanya. Jutaan terima kasih pada AJK pelaksana yang bertungkus-lumus menjayakan majlis. Alhamdulillah usaha yang baik kerana ini Majlis Graduasi Pertama buat Mahasiswa Malaysia Universiti Kaherah.


Doakan saya. Perjalanan saya baru bermula..

Monday, February 04, 2013

Perkahwinan : Warna-warni Tahun Pertama. Raikannya dengan Alhamdulillah!


Alhamdulillah thumma Alhamdulillah..

Segala puji pada Yang Maha Tinggi

Sekali lagi Allah beri kurniaan demi kurnian untuk menjadi tamu di hari barunya. Hari ini 4 Februari 2013. Maka genap sudah setahun usia perkahwinan kami ikut tahun Masihi.

"1 tahun jika diukur dari tarikh ikatan, 3 bulan jika diukur dari sebenar-benar pengertian.

Suburkanlah, eratkanlah, perkuatkanlah Ya Allah."

4 Februari 2012 - Kami sah sebagai suami isteri.



Terharu membaca catatan suami di Facebooknya. Jauh di lubuk hati meng'amin'kan setiap bait tulisannya. Setahun kedengaran lama. Tapi untuk saya yang merasai perkahwinan jarak jauh, terasa baru beberapa bulan menginjak ke alam perkahwinan. Namun setahun ini cukup mengajar saya pelbagai perkara.  Warna-warni perkahwinan itu ada, apatah lagi jasad terpisah oleh dua benua. Ya, hanya Allah tempat kami berdoa, bergantung dan berharap. Hanya dengan izinNya perkahwinan kami terus utuh, diberkati dan kami diberi kekuatan dari semasa ke semasa.

Sungguh, saya masih terasa aura Pengantin Baru. Masih terasa hangatnya cinta. Terkadang malu juga apabila masih ada yang mengucapkan 'Selamat Pengantin Baru'. Justeru, (^_^) Saya doakan Allah sentiasa memberi rasa cinta hari demi hari hingga kami ke Jannah nanti. Apatah lagi kini saya sudah berbadan dua. Keajaiban daripada Allah Yang Maha Kuasa. Alhamdulillah.. Setapak melangkah, rumahtangga kini dihiasai dengan cinta, tanggungjawab dan amanah daripadaNya.

Belajar Mencintai dan Dicintai

Ketahuilah tahun pertama penuh debaran yang tidak mampu dilakarkan dengan kata atau bicara. Bernikah dengan seorang pemuda yang kita tidak kenal perwatakannya membuatkan hati tertanya-tanya,

"Betulkah diri bersedia? Siapakah dia sebenarnya? Mampukah menyayanginya?"

Itulah yang sendiri berlegar di minda. Tapi sampai bila harus melarikan diri dari tuntutan ini. Harus tempuh dengan hati yang sedar dan celik iman di dada. Lalui baru tahu realitinya. Peningkatan diri akan dikecapi apabila kita melalui fasa-fasa baru yang kita selama ini kita risaukan dan bimbangi. Masa itu sendiri perubahan. Perubahan akan hadir dalam diri kita dan mereka di sekeliling kita tanpa kita pinta. Cara kita mengharungi masa dan berhadapan dengan perubahan itu menghasilkan natijah yang berbeza. Kenalilah perubahan ini sebagai cabaran bukan masalah yang memberatkan untuk meningkatkan darjat di sisi Allah Yang Maha Esa.

Dunia lelaki selalu berlingkar sekitar rasional, kritikal dan penyelesaian masalah, manakala wanita lebih cenderung mengutamakan emosi, kehendak dan menyuarakan masalah dari mencari penyelesaiannya. Banyak lagi perbezaan dalam citarasa. Dalam banyak perbezaan ini, kedua-duanya cuba menyesuaikan diri dan meraikan persamaan yang ada. Apa yang penting, wujudkan sikap terbuka, positif dan menghargai si dia seadanya. InsyaAllah banyak perbezaan itu adalah peluang melengkapkan diri untuk menghadapi hari muka.

Itulah cinta, meletakkan perbezaan sebagai peluang dan ruang untuk kita memperkuatkan. Mencari titik kesamaan untuk terus menyuburkan sebuah institusi kecil, nukleus terpenting dalam ummah Islam yang kita harapkan.

Bagaimana menyubur cinta? Lelaki tetap lelaki. Kalau dahulu kita ajnabi, kita tidak boleh berutusan manja dan berhias berlebihan di depannya. Kini dia sudah bergelar suami. Menatap wajahnya, bergurau manja dengannya, bersolek dan berhias di depannya satu ibadah. Itulah juga antara pemikat jiwa kelakiannya. Ketahuilah, walaupun kita aktivis, daieyah, dia bukanlah ikhwah yang harus kita layan sama rata seperti abang, adik dan ikhwah di luar sana. Lelaki itu harus dilayan mesra dan manja. Jauh dilubuk hatinya, masih anak kecil untuk dibelai oleh si isteri yang setia.

Si isteri pula tidak kurangnya. Dia bukanlah emakmu untuk selalu dituruti tanpa banyak bicara, kakakmu untuk ditakuti, bukan adikmu untuk diarah itu ini. Paling tidak, dia mahu seorang suami yang selalu berbicara, bertanya khabarnya, mengambil berat akan dirinya dan menghormati dirinya sebagai manusia. Dengan hanya bertanya khabar dan siulan kata cinta daripada suami membuatkan si isteri tersenyum saban hari. Pastinya tanpa arahan si isteri akan melakukan tugasnya dengan senang hati. Jadilah dia superwife dan supermom yang membuatkan si suami makin jatuh hati. Allah.. Allah.. "Ya Allah, jadikan Sinar Islami, isteri yang menyenangkan hati." Ameen.

Tips bercinta

Ada beberapa hal yang harus kita perhatikan dan dijadikan ramuan dalam rumahtangga terutama di awal perkahwinan. Hasil tulisan Saudara Cahyadi Takariawan dalam bukunya Di Jalan Dakwah Aku Menikah, molek rasanya saya kongsikan mengikut bahasa dan pemahaman saya. Alhamdulillah, catatan di bawah ini telah dan sedang kami praktikkan dalam rumahtangga kami. Perkara yang wajar pasangan praktikkan :

1. Wujudkan keterbukaan (musharahah) dan hidupkan komunikasi dengan pasangan (musyawarah)
2. Jadilah yang terlebih dahulu memahami pasangan, bukan minta difahami dan jadilah yang terawal dalam segala segi.
3. Tidak mengabaikan hal yang dirasakan kecil.
4. Saling mengalah untuk kebaikan bersama dan berlumba meminta maaf.
5. Hubungkan semua perkara dengan Allah.

InsyaAllah, dalam apa jua hal kehidupan, kita harus positif dan bersangka baik terhadap Allah dan manusia . Kalau dalam perkahwinan pastinya bersangka baik dengan pasangan. (^_^) Allah itu Pencipta dan Pemilik hati manusia. Suami dan isteri itu pula manusia yang perlu bergantung pada pencipta mereka. Hubungan dengan Allah wajib dijaga untuk kelangsungan rumahtangga bahagia.

Sekian sahaja, selamat bercinta dan menemui cinta kalian. Doakan kami bahagia dunia dan akhirat.  Jazakallahu kheiran buat suami tercinta dan Jazakumullahu kheiran kathira semua terutama keluarga yang tidak putus mendoakan kami bahagia. Uhibbukum fillah.