Buku adalah sebaik-baik teman di kala kita kesunyian. Kita mungkin tertawa, terdiam dan bahkan air mata mampu mengalir. Justeru Sinar tidak melepaskan peluang untuk membeli beberapa buah buku pada cuti yang lepas sebagai teman dan bekalan sepanjang perjalanan kehidupan. Keterujaan melihat pelbagai jenis buku menyebabkan Sinar rambang mata. "Berbaloi!" kata anak muda. Biar wang yang ada dioptimumkan ke arah mencari redha-Nya. Membeli bukanlah sekadar menjadi hiasan di rak buku tapi menjadi santapan ruhani di kala hati gersang dengan siraman tarbawi. Maka pada kali ini, Sinar ingin berkongsi sebuah buku yang harus dimiliki oleh pemuda-pemudi yang masih teraba-raba mencari identiti dan tidak lupa buat rijal dan srikandi yang ingin perkasa diri. Jujurnya Sinar cukup tersentuh dengan kalam-kalam yang ditulis oleh Dr Aidh Abdullah Al-Qarni di dalam buku ini. Maklumlah buku La Tahzan terlebih dahulu menambat hati kepada tulisan-tulisan beliau. Memang ini yang Sinar perlukan saat itu. 'Booster dose' untuk menyuntik kembali diri dalam keadaan sedar agar tidak beramal hanya kerana semangat.
Inilah ekspresi cinta seorang ulama kepada pemuda
Kitakah pemuda itu...?
Menyekat diri daripada melakukan maksiat dan larangan Allah itu memerlukan mujahadah. Maka bersabarlah untuk terus berjuang kerana di situ Allah janjikan kemanisan di pengakhiran.
Sesungguhnya permasalahan generasi muda dewasa ini sangat banyak. Tidak terbilang dek jari sebenarnya. Namun semua ini tidak dapat diselesaikan melainkan melalui proses tarbiyah ataupun proses mendidik hati dan nurani. Sembilan permasalahan yang harus kita renung-renungkan dan kita perlu cipta perubahan adalah :
- Lemahnya iman
- Kurang bersungguh-sungguh
- Waktu tidak dimanfaatkan dan suka buang masa
- Tergesa-gesa dalam tindakan
- Tutur kata yang kasar
- Dosa sebagai penghalang
- mengasingkan diri daripada masyarakat
- Muslimah enggan berdakwah
- Cetek ilmu pengetahuan
Mendedahkan permasalahan tanpa usaha penyelesaian adalah sia-sia. Ayuh analisis diri. Kita jadi aset untuk membangunkan ummah. Buat muslimah, peranan wanita amat besar dalam institusi dakwah. Masakan lahirnya peribadi seperti Khansa', Asma Bin Abu Bakar, Nusaibah dan para sahibah yang lain dalam rentetan perjuangan andai kita tidak diperlukan. Maka tiada lampu merah buat kaum Adam mahupun Hawa dalam perjuangan mencari redha Allah. Risalah Islam harus disebarkan.
Pemuda itu seharusnya sentiasa berwaspada dan membina keyakinan diri. Persoalkan diri dengan peranan pada ummah. Layakkah generasi Islam diperolok-olokkan. Risalah Islam dihina-hinakan. Sosok Junjungan Nabi Muhammad yang kita cintakan dipermain-mainkan. Sungguh tidak adil andai kita berdiam diri.Bila mana sensitiviti kita hilang maka persoalkan kembali ditahap manakah status iman?
Umar bin Khattab berkata, " Sesungguhnya aku melihat seorang lelaki yang tidak melakukan aktiviti duniawai dan tidak juga beramal untuk akhirat, maka orang seperti ini akan jatuh dari pandanganku (tidak berharga bagiku).
Dunia, di sinilah kita membenih cinta, kita membaja impian agar tercapai cita-cita yang ingin dilakarkan. Cukup meninggalkan kesan ajakan Dr Aidh kepada generasi harapan Islam bagi diri ini.
Amal itu untuk membantu kita di akhirat kelak. Dunia menjadi ladang agar hasil tuaian boleh dinikmati di negeri abadi. Inilah masanya meningkatkan keimanan dan ketakwaan. Sesungguhnya Allah tidak akan mensia-siakan insan yang menjaga ketakwaan pada-Nya. Rasulullah pernah berwasiat kepada salah seorang sahabat, Abdullah Bin Abbas namanya,
"Peliharalah Allah, nescaya Allah akan memeliharamu"
InsyaAllah, cukup sekadar ini yang dapat Sinar kongsikan. Moga ada kebaikan untuk kita bersama. Bangkitlah ! Bangkitlah, wahai pemuda-pemudi harapan Islam! Sama-sama muhasabah dan teruskan melangkah. Wallahu'alam.
NB
- Doakan agar dipermudahkan exam Forensic pada minggu ini.
- Moga berita gembira yang diketahui pada hari ini akan diberkati Allah hingga ke akhirat nanti.
0 comments:
Post a Comment