BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS »

Sunday, November 15, 2009

Melahirkan faham...

Hari ini daku melangkah semula ke Markaz Arabi (Pusat Tuisyen Bahasa Arab) ingin merancang perjalanan kelas Bahasa Arab seterusnya. Maka sempatlah kami menumpang barang ketika dengan adik-adik tahun tiga.

"Cuba antum i'rab kalimah ini"

"Macam mana nak i'rab, tak paham pun makna ayat ni," Mula tergaru-garu kepala yang tidak gatal. Kelihatan teman-teman lain juga sedang berusaha mengi'rab kalimah ini. Jawapan kami semua hampir sama.




Namun ustaz dgn bangga datang ke meja..dan memangkah jawapan kami dengan PEN MERAH...
Terkejut...salah tang mana...???

"Antum paham tak makna kalimah ni?" tanya ustaz. Mengeleng kami dibuatnya.

"Dah tu kenapa pi i'rab?" senyum je ustaz, " Ni bukannya bahasa Arab, bukan bahasa, hanya menyamai bahasa arab. tak da makna pun." Aduh terkena.

Benarlah tadi juga baru ustaz kata,"Belajar Nahu kena menggunakan aqal bukan ikut bentuk ayat bulat-bulat. Nanti kamu akan mudah terperangkap."

Justeru, yang penting, faham makna ayat baru boleh i'rab. Bahasa Arab lain. Unik !! Dan begitu juga Islam. Islam adalah agama bahkan cara hidup yang unik dan menyeluruh. Tanpa kefahaman dalam Islam takkan lahirnya penghayatan yang menyeluruh. Aqal diperlukan untuk memahami setiap subjek kehidupan. Manusia juga unik ! Maka perlu kepada pemahaman jiwa manusia itu sendiri.


Peripentingnya kefahaman

Tanpa ilmu tanpa kefahaman inilah saham untuk menjatuhkan jatidiri dan tatacara manusia dalam kehidupan. Cerita di atas mengingatkan diri akan peripentingnya faham dalam apa jua perkara agar kita tidak bertindak membabi buta. Kita perlu faham agar kita boleh mengatur langkah. Tidak sekadar mengikut logik kepala. Nahas jawabnya. Tidak tahu, perlunya bertanya. Tidak tahu perlu rujuk mereka yang arif dan panduan lengkap lagi sempurna.

Maka tidak akan jadi Islam anutan dan Islam warisan. Jika ini berlaku dari sinilah kehancuran akan bermula. Kita solat, kita bayar zakat, kita puasa tapi semuanya dijalankan dalam keadaan terbiasa, dalam keadaan mak ayah kita pernah lakukan. Maka konsep solat mampu mencegah kemungkaran dan mengajak kebaikan tidak teraplikasi dengan sebaiknya, kerana ada pemisahan dalam kita beribadah dan merasai kebersamaan dengan Allah (Muraqabatullah). Jadilah manusia yang solat tapi bercouple pun hangat juga. Kerana tidak benar-benar faham apa yang Islam bawa. Islam itu bukan ikut-ikutan tapi lahir daripada kefahaman dan penghayatan. Itulah beza mereka yang mengenali Islam berdasarkan kajian, lalu faham dan hayati dari kita yang keluar lihat bumi sudah melihat ajaran Islam dalam keluarga.




Tak salah sebenarnya dilahirkan dalam keluarga Islam. Itu satu peluang keemasan. Namun ramai ketika ini telah melupakan tarbiyah Islamiyah atau proses didikan Islam dalam keluarga. Lupa membangkitkan kesedaran sebenar dalam beribadah dan tujuan hidup di muka bumi. Usaha kearah faham itu perlu sepertimana yang digariskan oleh Imam Hasan Al-Banna dalam Risalah taalim tentang FAHAM

"Dan katakanlah (wahai Muhammad): Bekerjalah kamu (akan segala yang diperintahkan), maka Allah dan RasulNya serta orang-orang yang beriman akan melihat apa yang kamu kerjakan; dan kamu akan dikembalikan kepada (Allah) Yang Mengetahui perkara-perkara yang ghaib dan yang nyata, kemudian Dia menerangkan kepada kamu apa yang kamu telah kerjakan."
(Al-Taubah: 105)

"Dan bahawa sesungguhnya inilah jalan-Ku (agama Islam) yang betul lurus, maka hendaklah kamu menurutnya; dan janganlah kamu menurut jalan-jalan (yang lain dari Islam), kerana jalan-jalan (yang lain itu) mencerai-beraikan kamu dari jalan Allah. Dengan yang demikian itulah Allah perintahkan kamu, supaya kamu bertaqwa. (Al-An‘am: 153)

Memahami subjek bernama manusia

Dalam melayari bahtera kehidupan, tidak dapat tidak kita akan berlegar di sekitar permasalahan dan subjek bernama manusia. Manusia itu ibarat mangga setiap satunya ada kunci tersendiri. Ingin menyentuh hati perlu ada kunci untuk membuka hatinya. Lihatlah manusia dengan pandangan kasih sayang. Maka kita tidak akan putus asa menghadapi kerenah manusia. Kita berlapang dada dan kekuatan ini mohon pada Allah diberikan pada kita.


"Barangsiapa memandang saudaranya dengan pandangan penuh kasih sayang, maka Allah akan mengampuni dosa-dosanya"

Indah bukan! Dalam mengenali subjek bernama manusia kita harus bersabar. Allah menciptakan manusia dengan pelbagai naluri dan fitrahnya tersendiri. Fitrahnya ingin kebaikan maka Allah sediakan satu manhaj kehidupan. Fitrah manusia tidak boleh bersendiri maka dijadikan satu kelompok manusia dan setiap satunya diciptakan berpasang-pasangan. Hidup itu ujian. Manusia kadangkala terperangkap antara fitrah dan keinginan nafsu yang membara. Disinilah gunanya peringatan dan sahabat-sahabat lain sebagai pelengkap kehidupan. Kita sentiasa perlukan peringatan dan sokongan IMAN.

"Bersabarlah kalian bersama-sama dengan orang yang menyeru Rabbnya di pagi dan senja hari dengan mengharapkan redha Allah, janganlah kedua mata kalian berpaling daripada mereka kerana mengharapkan perhiasan dunia ini dan janganlah kalian mengikuti orang yang hatinya kami telah lalaikan dari mengingati kami,serta menuruti hawa nafsunya dan adalah keadaan itu melampaui batas"
(Al-Kahfi: 28)

Carilah teman-teman yang mengajak kepada kebaikan kerana dengan izin Allah berupaya mengubat hati di kala lara. Mereka menguatkan kita dengan kalam Allah ketika kita lemah. Mengingatkan kita akan janji-janji Allah. Mengingatkan kita akan keperluan rasional berbanding emotional. Masakan kita ingin menjauh dengan sahabat sebegini kerana Allah bersama orang-orang yang bersaudara.

Kefahaman yang dicari

Moga kesabaran Allah kurniakan dalam memahami apa itu kehidupan. Akhirul kalam, hakikatnya kefahaman itu milik Allah juga. Pada-Nya kita pohon agar lahirnya faham dalam menterjemah dan menghayati kehidupan.

"Ya Allah jauhilah kami dari kebingungan dan kurniakan kami dengan cahaya ilmu dan kefahaman"...Ameen...

2 comments:

Ummi Siti said...

Salam, alhamdullilah,

Bab kefahaman ini amat ptg utk setiap orang islam yang nak ambil islam yg tulin ini yg tiada percampuran antara yg benar dan salah, kerana kefahaman ini merupakan adalah titik tolak yang melahirkan ibadah yg soheh dan melahirkan akhlak yg mantap.

Wallahu'alam.

sinar_islami said...

Syukran Ummi atas nilai tambahnya..
Faham inilah noktah bidayah atau permulaan untuk kita mengorak langkah..Moga Allah berkati ummi sllu...dan moga trs ditambah kefahaman oleh-Nya..