BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS »

Thursday, February 25, 2010

Al-Amin, Kerinduan Ummah


Saat ini...Hati benar-benar dilanda rindu...
Layakkah diri ini bertemu dengan kekasih Allah ini...
Hatta diberi peluang untuk bertemu baginda...
Apakah seharusnya aku katakan...?
Aku cuba mengubat kerinduan ini dengan alunan
.:The Chosen One :.
~^~
Selawat dan Salam Buat Junjungan tercinta




.:THE CHOSEN ONE:.

In a time of darkness and greed
It is your light that we need
You came to teach us how to live
محمد يا رسول الله

You were so caring and kind
your soul was full of light
You are the best of mankind
محمد خير خلق الله

صلّوا على رسول الله
الحبيب المصطفى
Peace be upon The Messenger
The Chosen One

From luxury you turned away
And all night you would pray
Truthful in every word you say
محمد يا رسول الله

Your face was brighter than the sun
Your beauty equaled by non
You are Allah Chosen One
محمد خير خلق الله

صلّوا على رسول الله
الحبيب المصطفى
Peace be upon The Messenger
The Chosen One

I'll try to follow your way
And do my best to live my life
as you taught me
I pray to be close to you
On that day and see you smile
When you see me

صلّوا على رسول الله
الحبيب المصطفى
Peace be upon The Messenger
The Chosen One

صلّوا على رسول الله
Oh
Peace be upon.. Oh
The Chosen One
~^~

Baginda yang terpilih
Baginda yang kita rindukan
Baginda yang kita kasihkan


Tapi sejauh mana kita laksanakan apa yang baginda sampaikan?

Sia-sia jika kerinduan tapi hidup tidak seperti yang Rasulullah mahukan

Moga Allah bimbing hati-hati kita dan mengampunkan dosa-dosa lalu.

Wednesday, February 24, 2010

Jodoh itu ketentuan Illahi

Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah dan Maha Penyayang


Hari yang berlalu pergi, terlalu berharga buat diri


Hari berganti hari. Siang malam silih berganti. Hatta musim berlalu pergi. Itulah sunnah alam ini. Justeru, kesyukuran dipanjatkan ke hadrat Illahi kerana masih diberi peluang menambah bekal sebelum dijemput ke ‘daerah abadi’. Sekejap sungguh masa berlalu. Moga Allah menilai setiap detik dengan belas kasihan-Nya.


Pelbagai berita, pelbagai cerita kami di sini. Rata- rata isu yang hangat diperkatakan di bumi Mesir, kalau tidak kualiti graduan mesir, tidak lain tidak bukan pastinya isu nikah, isu jodoh dan seangkatan dengannya. Maklumlah “Nikah connecting people”. Sudah dewasa rupanya anak ummi & walid, anak ibu & abah, anak emak & ayah dan anak mama & papa ini. Kalau dulu pemikirannya hanya belajar. Sekarang sudah tambah satu folder untuk difikirkan.


Sesungguhnya niat dan titik tolak setiap insan pada marhalah ini amat murni dan sangat suci jika setiap satunya tahu tanggungjawab yang bakal digalas. Melebarkan sayap dan mengembang zuriat buat Islam tercinta memerlukan manusia yang pantang menyerah pada keadaan dan ujian. Apatah lagi dalam mendefinasikan cinta dan melaksanakan mahligai ini. Terdetik pula hendak mencoret kata mengenai isu ini sebelum dilambakkan kenangan indah keluarga kami.


Adanya ikatan, maka bermulalah cinta.


Hari ini, tema dan persoalan cinta kian popular di kalangan masyarakat kita. Tak kira muda ataupun tua. Cinta atau bercinta bukanlah satu kesalahan, tetapi silapnya apabila seseorang itu mengunakan anugerah ini bukan untuk mengembangkan potensi diri mencari keredhaan Allah, sebaliknya melayani hawa nafsu yang disogokkan oleh musuh-musuh Allah. Telenovela demi telenovela cinta menghiasi hidup kita. Kita juga sudah dikelirukan dengan konsep cinta. Alhamdulillah baru-baru ini kebanyakkan blog sudah mengupas “Apa itu cinta sebenar?”. Setidaknya kita sudah mendefinasikan dengan apa yang Islam mahu.


Konsep cinta menurut perspektif Islam adalah cinta kita kepada Allah iaitu mahabatullah iaitu kita menjalankan perintah Allah dan meninggalkan larangan-Nya. Cinta terbahagi kepada dua iaitu cinta makhluk kepada Pencipta dan cinta makhluk sesama makhluk atau dalam erti kata lain cinta sesama manusia. Bahkan cinta sesama manusia itu juga banyak tahapan dan semestinya harus disandarkan kepada Allah. Cinta antara bani adam dan hawa seharusnya diurus dengan kaca mata syarak. Apa yang Allah cipta tiada satu pun yang sia-sia.


Dan segala sesuatu Kami ciptakan berpasang-pasangan supaya kamu mengingat kebesaran Allah.


(Surah Az-Zariyat : 49)


Mari kita renungi sebentar ayat 1 Surah An-Nisa’ untuk mengingatkan diri akan hakikat penciptaan diri dan kelangsungan manusia di muka bumi


“Wahai manusia, bertakwalah kepada Rabb kalian yang telah menciptakan kalian dari jiwa yang satu, dan Dia menciptakan daripadanya pasangannya, dan memperkembang-biakkan dari mereka berdua laki-laki dan perempuan yang banyak. Maka bertakwalah kepada Allah yang beserta-Nya kalian saling meminta satu sama lain, dan juga saling mengikat dalam kasih sayang. Sesungguhnya Allah Maha Mengawasi kalian.


Maka kelangsungan manusia di muka bumi dirai. Sangat dirai oleh Islam dengan menganjurkan pernikahan. Cinta itu diikat dengan ikatan yang sah dan hanya disuburkan selepas ikatan terbina dan tiada noktah untuk dihidupkan.


Fitrah harus diurus, bukan dibiar ikut arus


Isu ini ibarat isu semasa yang tidak pernah surut. Duduk sahaja pasti ada cerita.


“Anti tahu, cuti summer nanti ada lagi yang nak bina masjid”


“Oh, ye ke! Bagus la macam tu. Kalau Allah dah mudahkan. Yang baik itu wajarlah disegerakan.”


InsyaAllah ini perkembangan sihat. Ini semua fitrah. Meningkat dewasa bermakna pertukaran marhalah. Apa yang baik mestilah diurus dengan cara yang baik. Bukanlah memilih couple tanpa batasan, bukanlah memilih ‘dating’ tanpa mahram sebagai jalan. Hakikatnya bukanlah memilih sesuatu yang tidak syar’ie sebagai ‘greenlight’ memenuhi sunnah nabi.


Perkahwinan itu sunnah. Perkahwinan itu indah. Maka jangan dinodai dengan sesuatu yang keji dan jangan pula dibiar nafsu yang mengapalai. Namun realiti hari ini ramai sungguh mereka yang terlanjur sebelum pernikahan. Apabila disoroti laman-laman ustaz yang disegani, pelbagai persoalan praperkahwinan diberikan. Ada yang sudah pun berzina sebelum perkahwinan. Na’uzubillah. Moga Allah lindung Muslimin di jalan cinta para pejuang. Bahkan ini peringatan buat kita, sebarang hubungan sebelum perkahwinan hatta tempoh bertunang bukanlah greenlight untuk berdua-duaan. Masih belum ikatan sah. Jauhilah!!!


“Maka sesiapa yang membiarkan ikatan pertunangan dan era mudanya dicemarinya dengan 'ringan-ringan dan zina', ia membenihkan penyakit yang serius dalam hati. Tanpa taubat yang sebenar, Allah SWT akan membiakkan lagi peluang dan ruangnya untuk menjadi orang yang celaka, dan mendapat keluarga yang bakal runtuh, kecoh dan hancur. Kelaurga yang amat berpotensi melahirkan suami yang bermain kayu tiga, isteri bercinta dan zina dengan rakan sekerja, anak yang menjadi penzina muda di sekolah dan lain-lain bencana keluarga yang pastinya diakhiri dengan penceraian dan penderitaan anak-anak. Matinya si ibu bapa ini kelak, mungkin diiringi dengan celaan atau sorakan oleh anak-anak peninggalannya.” (1) UZAR


Maka, beringatlah wahai diriku dan teman-temanku.


Merisik – antara cara mengurus cinta


Jika benar Sang Adam yakin si gadis untuk dirinya, usahlah teragak-agak. Segeralah. Gunakanlah jalan selamat lagi diredhai Allah. Dalam urusan jodoh laksanakanlah sebagaimana yang syarak anjurkan dengan jalan istkharah dan berbincang. Jika sudah serasi ambillah langkah yang diizinkan Allah iaitu berkhitbah (bertunang) dan saling setia pada janji yang dibina. Jika pinangan anda ditolak usah kecewa kerana untuk mendapatkan sesuatu yang istimewa sudah pasti jalannya berliku dan penuh cabaran. Usah malu dan putus asa teruskan berusaha. Jodohmu pasti ada.


“Sesungguhnya di antara keberkatan wanita ialah kemudahan peminangannya dan kemudahan maharnya.”


(HR Ahmad)


Buat si gadis pula, ambillah masa untuk berfikir sedalamnya. Jika ditolak kerana alasan tidak bersedia. Maka tidakkah terfikir olehmu apa gunanya fatrah bertunang. Bukankah itu platform untuk anda bersiapkan diri? Kaum Adam pasti tidak mengemari jawapan anda, jika hanya berkata “Saya belum bersedia!”


Bertunang fatrah emas dan cemas


Jika sudah mengambil keputusan, sudah terubat segala kerisauan dan tertanam kukuh sebuah keyakinan maka laksanakanlah khitbah. Perlaksanaan khitbah dalam Islam ada pelbagai cara sebagaimana dicontohi dalam sirah (2)*


  1. Khitbah melalui keluarga si gadis
  2. Khitbah dengan menyampaikan secara langsung kepada si gadis bukan walinya
  3. Khitbah si gadis kepada lelaki soleh melalui orang tua atau kerabat atau dirinya sendiri
  4. Khitbah secara sindiran semasa iddah


Justeru, gunalah saluran-saluran yang ada (keluarga, orang tengah dan baitmuslim). Wanita punya maruah dan sifat malu dan lelaki pula selaku penjemput anda juga ada harga diri dan sikap ‘kelakian sejati’. Menjemput wanita biarlah kena cara.


Khitbah. Inilah tempoh emas untuk keduanya mengenali hati budi masing-masing, berkongsilah apa yang dirasakan mustahak.


Inilah juga tempoh cemas, kerana banyak persiapan dan persediaan yang keduanya perlu lakukan. Dan tempoh ini jugalah pelbagai cubaan dan dugaan biasanya bertamu. Tempoh itu sesungguhnya amat menguji. InsyaAllah jika kita memahami tujuan tertubuhnya sebuah ikatan rasmi, Allah akan permudahkan.


Harapanku, harapanmu jua


Harapan Sinar, semoga Allah ukirkan takdir yang terindah untuk semua. Buat yang selalu berkongsi cerita, moga Allah mudahkan perjalananmu. Buat yang masih gelisah akan jodoh tak kunjung tiba, nasihatku bersabarlah. Allah masih memberi peluang untuk kita memanfaatkan masa muda ini dengan mengapai cita-cita seindah pelangi. Akhirul kalam, sama-sama mendidik diri supaya mampu memberi komitmen yang sebaiknya jika melangkah ke alam baru. Usah dirisau jika tiada, kerana Allah tahu apa yang terbaik untukmu. Jika jodohmu tidak di dunia, di syurga sana pasti ada.


*(1) Ustaz Zaharuddin


*(2) Fatimah Syarha dalam artikel Seruan Buat Si Belangkas


Hari-hari bahagia adindaku tersayang : Solehin dan Malissa disatukan. Barakallahulakuma…


.: Alhamdulillah selamat diijabkabul :.


.: Debaran melafazkan "Aku Terima Nikahnya":.


.: Sabar Menanti :.


.:Tersarunglah sudah:.



.:Hijau Oh Hijau, Pasni Ungu ke?:.


.:Merpati Hijau, Dua Sehati:.

Bertambah satu anak Ummi & Lek

tapi kekurangan tiga dalam gambar ini (^_^)

Sekarang anak Ummi & Lek sudah 9 orang

.: Moga kita semua disayangi Allah :.

Friday, February 19, 2010

Hanya Tiga, Tapi Itulah Selamanya

Sedar tidak sedar sudah ke penghujung musim cuti rupanya. Alhamdulillah masa yang berlalu diisi dengan pelbagai aktiviti dan pertemuan yang menyuburkan iman dan ukhwah. Setidaknya terubat kerinduan di hati. Walaubagaimanapun, kerinduan pada tanah air, masih kekal bahkan kian ketara. Tambahan pula walid sudah bertanya fasal kepulangan pada musim panas nanti. Nampaknya ada juga insan yang menunggu kepulangan Along ni(^_^)

Bercakap tentang rindu, teringat akan sebuah kerinduan. Rindu yang sepatutnya dimiliki oleh setiap Muslim Mukmin. Perjalanan hidup bertambah indah apabila Allah selaku 'Pemilik hati dan nyawa' ini mengingatkan diri akan 3 persoalan yang sering diulang-ulangkan. Inginkan syurga, perlunya usaha. Usaha untuk memahami risalah yang Rasulullah bawa. Sesungguhnya, mahligai di dalam syurga itu dibina oleh tangan-tangan kita sendiri. Inilah sepatutnya yang menjadi kerinduan kita semua. Allah selayaknya kita rindu dan terus rindu.

Hanya Tiga


3 persoalan yang membangkitkan ruh dan menghangatkan kerinduan. Bagi Sinar inilah yang sepatutnya terus mekar dalam ingatan buat penyubur iman.


Dari mana kita datang?

“Wahai umat manusia, sekiranya kamu menaruh syak (ragu-ragu) tentang kebangkitan makhluk (hidup semula pada hari kiamat), maka (perhatilah kepada tingkatan kejadian manusia) kerana sebenarnya Kami telah menciptakan kamu dari tanah, kemudian dari setitik air benih, kemudian dari sebuku darah beku, kemudian dari seketul daging yang disempurnakan kejadiannya dan yang tidak disempurnakan; (Kami jadikan secara yang demikian) kerana Kami hendak menerangkan kepada kamu (kekuasaan Kami); dan Kami pula menetapkan dalam kandungan rahim (ibu yang mengandung itu) apa yang Kami rancangkan hingga ke suatu masa yang ditentukan lahirnya; kemudian Kami mengeluarkan kamu berupa kanak-kanak; kemudian (kamu dipelihara) hingga sampai ke peringkat umur dewasa; dan (dalam pada itu) ada di antara kamu yang dimatikan (semasa kecil atau semasa dewasa) dan ada pula yang dilanjutkan umurnya ke peringkat tua nyanyuk sehingga ia tidak mengetahui lagi akan sesuatu yang telah diketahuinya dahulu. Dan (ingatlah satu bukti lagi); Engkau melihat bumi itu kering, kemudian apabila Kami menurunkan hujan menimpanya, bergeraklah tanahnya (dengan tumbuh-tumbuhan yang merecup tumbuh), dan gembur membusutlah ia, serta ia pula menumbuhkan berjenis-jenis tanaman yang indah permai.”

(Surah Al-Hajj : 5)

kenapa kita didatangkan?

Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka beribadat kepadaKu.

(Surah Azzariyat : 56)

Ke manakah kesudahan kita?

“Sesungguhnya kepada Rabb (Allah) kesudahan (segala perkara); Dan bahawa sesungguhnya. Dialah yang menyebabkan (seseorang itu bergembira) tertawa, dan menyebabkan (seseorang itu berdukacita) menangis; Dan sesungguhnya, Dialah yang mematikan dan menghidupkan”

(Surah An-Najm : 42-44)

Justeru kepada Allah, selayaknya kita menyandarkan segala sesuatu. Hiduplah dengan merasai pengawasan Allah.

TamSyi : mengembaralah !


Permusafiran (TamSyi) ke bumi Mansurah bersama teman seperjuangan masih segar dalam ingatan. Walaupun masanya singkat tapi kesannya mendalam. Setiap langkah dan masa yang digunakan ada terselit peringatan. 3 persoalan asas bagi seorang manusia sentiasa diperingatkan.



Berehat sebentar
Inilah jalan kita...takmil wa istikmal itu perlu


Alhamdulillah, disamping menambah kefahaman, dapat juga memupuk ukhwah bersama teman-teman. Walaupun ada yang baru berkenalan terasa sudah lama kita dipertemukan. Moga ukhwah yang terjalin ini mendapat keredhaan Allah.

.:Moga terus thabat:.


Seminar PERUBATAN Mesir Kali Ke-3 : Profesionalisme


Sekembalinya dari Mansurah, Seminar pula menanti. Seminar kali ketiga ini merupakan kejayaan besar buat Persatuan Pelajar-pelajar Perubatan Malaysia-Mesir (PERUBATAN) dan turut diakui oleh ramai peserta serta mendapat pujian daripada Prof Dr Abdul Latiff, Prof Dr Mohamed Hatta dan Prof Madya Dr Amaluddin selaku pengisi slot. Justeru syabas Sinar ucapkan kepada Jawatankuasa pelaksana diatas titik peluh antum semua.



Apabila direnungkan dan muhasabah semula cuti yang berlalu, terasa ajaib sungguh nombor tiga pada cuti kali ini. Sesungguhnya kasih sayang Allah itu sangat menakjubkan kerana Dia tidak putus mengingatkan diri akan 3 persoalan ini. Hatta ingin menjadi manusia yang profesinal, 3 persoalan ini jugalah yang akan membentuk karisma dalam diri individu muslim. Inilah milestone untuk kita mengorak lebih jauh.

Dari mana kita datang?

Kenapa kita didatangkan?

Ke manakah kesudahan kita?

Dengan menghayati 3 persoalan ini, InsyaAllah kita akan cuba menjadi apa yang Allah sarankan. Pastinya Allah mahu kita menjadi insan yang profesional dan cermat dalam setiap tindakan. Apa itu professional? Inilah kombinasi tenaga mahir, beretika dan bersyaksiyah (attitude). Cukuplah sebenarnya kita merasai bahwasanya kita ini milik Allah dan segalanya adalah pinjaman Allah. Justeru kita akan hidup dalam jiwa hamba dan berasa ‘izzah dengan status khalifah yang Allah taklifkan. Akhirnya kita akan sentiasa profesional dalam setiap gerak kerja dan kita akan berusaha menjadikan orang lain turut menerima acuan yang sama.



Seminar ini sebenarnya berjaya mengetuk pintu hati dan minda. Sungguh banyak kelemahan diri yang perlu dibaiki. Maklumlah masih banyak perkara yang Sinar tidak tahu dan kurang mahir. Namun tidak bermakna perlu Sinar mahupun kalian berputus ada. Usaha perlu ditingkatkan. belajar dan terus belajar. Untuk menjadi generasi yang berada di barisan terkehadapan (frontliners) perlu mujahadah dan jiddiyah yang tinggi. Kalau tidak, usah diimpi ummah Islam beroleh kejayaan dan mendominasi semula dunia yang kian tenat ini. Akhirul kalam, doakan Sinar. Moga cuti yang terisi ini beroleh barakah daripada Allah. Moga tiada yang sia-sia.

Sunday, February 14, 2010

Sinai Explorer 2010 Part 3

Hari Ketiga 11 februari 2010


Suasana pagi di Dahab nyaman sekali. Udaranya segar. Paginya damai dan sunyi daripada kesibukan. Kedai pun masih belum beroperasi. Sunyi tapi inilah saat kami menikmati keindahan alam di sini.

Kami berjalan di persisiran pantai menikmati damainya pagi. Allah izin, ketika kami sedang menyeberangi jambatan, kami dipertemukan dengan seorang warga Kanada. Beliau menyatakan kegembiraan melihat sekumpulan anak gadis bertudung litup dan berbudi bahasa. Katanya dia berasa gembira melihat kaum muslimin yang bersopan-santun begini. Katanya lagi, bangsa eropah sendiri kekadang dingin dan tidak ramah dalam erti kata lain ada yang sombong dengannya. Ini pantulan dari pengalaman beliau, katanya apabila melancong dan terserempak dengan beberapa warga Eropah lain, setiap kali diajak berbual, mereka bersikap acuh tidak acuh. Lain pula dengan bangsa Asia. Kita ramah, mudah membantu dan merai tetamu. Sebenarnya itu satu kelebihan. Terpulang kepada kita mengambil peluang. Moga keindahan yang dilihat beliau itu mampu membuka hatinya untuk mengenal Islam dengan lebih jauh. Alhamdulillah, pertemuan yang tidak kami rancang, namun cukup meninggalkan memori indah. Kemudian, sebaik sahaja bertemu beliau kami meneruskan pencarian aktiviti untuk mengisi masa.



Keberadaan kami di Dahab diisi dengan aktiviti yang menarik. Sempat juga kami berkuda dan ada juga yang ingin mencuba quad bike. Peluang hanya datang sekali. Peluang yang ada digenggam sebaik mungkin.


Selepas puas menjelajah kawasan Dahab dengan menunggang kuda, kami bergegas pulang ke hotel untuk ‘check out’ dan meneruskan perjalanan menziarahi kubu salahuddin sebelum pulang ke Kaherah.

Kubu Salahuddin



Dari jauh lagi apabila terlihat kubu salahuddin yang terbina di atas sebuah pulau, hati terdetik kagum. Hati seakan-akan tertarik dengan kewujudan kubu itu ditengah-tengah perairan. Sesuatu yang unik Sinar rasakan. Justeru untuk menjejakkan kaki ke kubu itu, kami perlu menaiki bot. Kubu ini telah dibina oleh tentera pimpinan Salahuddin Al-Ayubi untuk menghadapi tentera Salib. Kedudukan kubu ini sangat strategik kerana berada ditengah-tengah sempadan Palestina, Jordan dan Arab Saudi. Ini memudahkan tentara mengawal keamanan negara dan menangkis sebarang ancaman dari negara luar.


Tidak dapat tidak, peluang untuk menikmati panaorama yang cukup indah digunakan sebaik mungkin. Sinar banyak menghabiskan masa di salah satu tembok utama kubu tersebut bersama dua lagi rakan. Di situ kami bertukar cerita, bertukar rasa, bernasyid bersama dan apa yang membuatkan dada ini sebak, saat yang singkat itu mengingatkan kami bertiga mengingati Allah. Alunan zikir sayup sayup kami alunkan bersama. Terima kasih kepada teman setembok. Moga Allah berkati saat itu. Walaupun pertama kali menjejak kaki, tapi terasa akrab dengan tempat ini. Dari jauh dapat kulihat bendera kesatuan arab di Aqabah, Jordan. Terus dihambat rindu yang bersangatan di bumi Urdun yang harmoni itu. Mahu sahaja diseberangi perairan itu tapi itu mustahil kerana waktu amat cemburu.

.:Di sini kami meluah dan berbicara:.

.:merenung dalam jiwa hamba:.


Hati sungguh berat mahu meninggalkan kubu itu. Selamat tinggal kuucapkan. Lalu bot meninggalkan kubu dalam kenangan yang cukup indah sebelum kepulangan ke kota Kaherah.

.:berakhir sudah Sinai explorer 2010:.



.:Selamat tinggal:.


Alhamdulillah, perjalanan 3 hari 2 malam ini meninggalkan kesan yang mendalam. Walaupun terasa singkat tapi apa yang ingin Sinar cari, sudah pun Sinar temui. Benarlah kembara itu punya hikmah yang tinggi.

Sinai Explorer 2010 Part 2

Hari Kedua 10 Februari 2010

Suasana Semenanjung Sinai masih sunyi ditelan pekatnya malam, sungguh nyaman untuk beradu tetapi hanya sempat melelapkan mata sejam dengan selena-lenanya. Alhamdulillah tidurku berkualiti, menjana tenaga untuk mendaki. Pukul 11.30 malam (9 februari) kami diminta berkumpul. Namun ditukar semula kepada 11.45 malam ekoran bas akan akan bertolak ke kaki gunung hanya pada pukul 12.30 malam (10 februari). Namun seperti biasa, masa teranjak hinggalah pukul 1.00 pagi baru bergerak ke kawasan yang ingin dituju.

Bangun... Adik-adik bangun...

Malam masih muda...

Menunggu...

Bersemangat!!!

Melihat adik-adik yang bersemangat untuk mendaki, termotivasi juga diri ini. Hati ini sememangnya teruja untuk mendaki dan menawan Gunung Thursina atau Jabal Musa. Pesanan rakan-rakan, agar hati sentiasa dibasahi dengan zikrullah tersemat di minda. Detikan hati yang tidak baik, lebih baik dicampak jauh sebelum pendakian bermula. Justeru takbir, tahmid dan tahlil meniti dibibir, menemani setiap langkah mengharungi gelapnya malam. Bertemankan lampu suluh dan teman-teman yang lain, seakan ada daya tolak untuk meneruskan perjalanan walaupun terasa penat yang bersangatan. Batu yang kupijak inilah yang menjadi pijakan Nabi Musa ketika mencari sinar islami.

Tahukah kalian Gunung Thursina atau Jabal Musa ini setinggi 2280 meter dari paras laut. Walaupun kelihatan rendah berbanding Gunung Kinabalu, hakikatnya ia tetap mencabar apatah lagi kesejukan yang membeku. Dan di sinilah Nabi Musa bermunajat kepada Allah Taala selama 40 hari sepertimana yang termaktub dalam Al-Quran dalam Surah Al-A’raf ayat 143 hingga 147. Kita sama-sama membongkar kisah dalam lembaran suci Al-Quran itu.

Jabal Musa ; Menuju Puncak, Gemilang Cahaya

Lebih kurang 3 jam perjalanan, akhirnya kami sampai di puncak. Sejuk tak terkata menyebabkan bathoniyah (selimut tebal) kami sewa. Itupun tidak dapat menghangatkan tubuh yang mengigil kesejukan. Hebat sungguh penangan di atas bukit ini. Tapi udara yang dihirup cukup aman dan segar sekali. Subhanallah, wal hamdulillah wa lailahaillallah wallahuakbar. Kepenatan di atas bukit dibalas dengan zikir. Bersyukur diberi khudrat hingga ke puncak.


Alhamdulillah...Selamat sampai


Kami menunggu sehingga masuk waktu subuh dan seterusnya menanti matahari terbit yang dikatakan cukup indah dilihat dari puncak.

Sememangnya penanti itu sangat menakjubkan, melihat matahari terbit secara berfasa, dari cahaya merah muncul hingga ke bulatan matahari terbentuk sepenuhnya. Subhanallah memang penciptaan Allah itu Maha Indah. Tiada tandingan.



Kedengaran Nama-nama Allah dinasyidkan...


Selesai melihat matahari terbit, peserta berkumpul untuk sesi tazkirah yang bertajuk “ A walk to Sinai seeking for the Highest.” Sinar diberi taklifan untuk menyampaikan tazkirah di pagi hari tersebut. Jika diteliti ‘The Highest’ itu ada terselit makna yang cukup besar. Kita bukan sekadar jalan-jalan, tapi kita berjalan mencari Allah Yang Maha Berkuasa, Yang Maha Tinggi. Jejak Sinai bukan sebarang jejak. Jejak kita mencari redha Illahi. Jika tidak diselaraskan niat untuk beribadah kepada Allah, maka sia-sialah pendakian 2280 meter ini. Setiap perbuatan mestilah kerana Allah, setiap percakapan mestilah kerana Allah, setiap deruan nafas mestilah kerana Allah. Barulah akan dimuliakan disisi Allah Taala. Tidakkah itu yang kita semua inginkan? Di mana pun bumi kita pijak Allah itu sangat dekat. Di puncak inilah kita manfaatkan peluang bermunajat dan berdoa kepada Allah seperti mana yang dilakukan oleh Nabi Musa dalam kembara mencari redha Allah.

“Dan apabila hamba-hambaku bertanya kepadamu tentang Aku, maka jawablah bahawasanya Aku adalah dekat. Aku makbulkan permohonan orang yang berdoa apabila ia memohon kepada-Ku, maka hendaklah mereka itu memenuhi (segala perintah)-Ku dan hendaklah mereka beriman kepada-Ku agar mereka selalu dalam kebenaran”

(Al-Baqarah : 186)

.:Seeking for The Highest:.

Salam Perjuangan daripada kami peserta Sinai Explorer 2010


Sungguh, pagi itu benar-benar meniup nafas baru dalam diri. Berbekalkan ayat Al-Quran yang Sinar bacakan dan kongsikan itu dan memandangkan ayat itu ayat kegemaran Sinar juga, moga kita benar-benar merasai pengawasan Allah. Moga Allah terus dan terus memberi hidayah dan petunjuk untuk menyuluh kehidupan ini. Seterusnya sesi taklimat bersama timbalan pengarah program, saudari Ramisah Aini pula mengambil alih tentatif sebelum kami semua menuruni Jabal Musa.



Saint Catherine’s Monestary


Setelah hampir dua jam setengah, kami berjaya turun ke kaki gunung dan berehat sebentar di kawasan batu bertentangan dengan Saint Catherine’s Monastery sementara menunggu sebahagian peserta yang masih belum tiba.




Saint Catherine’s Monastery dibina oleh Maharaja Justinian (527-565) pada zaman Byzantine. Selepas sedikit sesi taklimat berkaitan dengan biara ini, kebanyakan peserta mula bergerak memasuki biara tersebut. Didalamnya terdapat ‘The Burning Bush’ iaitu pohon hijau yang seakan-akan tergantung yang dipercayai bercahaya apabila wahyu diturunkan kepada nabi Musa satu ketika dahulu. Bagi penganut kristian Jabal Musa merupakan salah satu gunung suci mereka dan menjadi tempat ziarah yang sangat dihormati kerana kewujudan Burning Bush dan biara St. Cathriene ini. Apa yang menarik, di dalam biara ini terdapat masjid yang dibina ketika zaman Fatimiyyah. Namun hari ini Saint Catherine’s Monastery ini menjadi milik Kristian. Justeru pengaruh Kristian yang kuat di dalam biara ini menjadi tarikan ramai pelancong beragama kristian.


Lembu Samiri

Setelah puas melawat biara tersebut kami bergerak ke bas untuk pulang ke hotel terlebih dahulu. Kira-kira pukul 12.00 tengah hari kami chek out dan menuju ke kawasan Lembu Samiri yang terletak di lereng bukit tidak jauh dari Jabal Musa. Batu tersebut kelihatan seperti seekor lembu. Ada pendapat mengatakan patung Lembu Samiri ini diukir oleh Samiri ( seorang Bani Israel dari suku kaum Assamirah) selepas patung ciptaannya yang pertama yang dibuat daripada emas dihancurkan. Dalam pendapat lain pula dikatakan pancaran cahaya dari patung lembu emas itu yang membentuk ukiran di lereng bukit ini. Wallahu’alam.



Menurut sejarah, ukiran Lembu Samiri ini bersangkut paut dengan Lembu Samiri yang pernah disembah oleh kaum Nabi Musa ketika sepeninggalan baginda untuk bermunajat di Jabal Musa selama 40 hari. Sepeninggalan Nabi Musa, Nabi Harun diberikan kepercayaan untuk mengawasi dan memimpin penduduk Bani Israel daripada melakukan kemungkaran. Bagaimanapun sepanjang pemergian Nabi Musa, ujian ini berlaku. Sebilangan mereka menyekutukan Alllah dan menyembah anak lembu yang diperbuat dari emas oleh Samiri. Sudah tentu sekembalinya Nabi Musa dari munajatnya, baginda cukup terkejut dan terkilan di atas apa yang berlaku. Maka termaktublah kisah ini di dalam Surah Taha ayat 83-91.

Makam Nabi Harun A.S



Sambungan daripada Surah taha ini iaitu ayat 91- 98 merupakan teguran Nabi Musa kepada Nabi Harun di atas amanah yang diberikan untuk menangkis sebarang kekufuran sewaktu peninggalannya dan terkandung juga perbualan Nabi Musa dengan Samiri dan balasan di atas kekufurannya itu. Nabi Harun merupakan rasul yang ke-16 selepas Nabi Musa dan baginda merupakan abang kepada Nabi Musa (dilahirkan 3 tahun sebelum Nabi Musa). Nama penuhnya ialah Harun Bin Imran Bin Qahits bin Lawi Bin Yaakub Bin Ishak Bin Ibrahim. Makam Nabi Harun terletak berhampiran dengan kawasan Lembu Samiri. Namun kami hanya melihat dari jauh memandangkan kesuntukan masa.

Makam Nabi Salleh A.S

Perjalanan diteruskan ke makam Nabi Salleh. Nabi Salleh diutuskan kepada kaum Thamud. Selepas Kaum ‘Ad dimusnahkan, kaum Thamud pula menguasai. Hanya sebilangan kecil dari kaum baginda yang beriman. Manakala mereka yang tidak beriman meminta bukti kenabian. Lantas Allah memberi mukjizat kepada Nabi Salleh A.S dengan mengeluarkan seekor unta betina dari sebalik sebuah batu besar. Nabi salleh sudah berpesan agar unta betina itu tidak diganggu apatah lagi dibunuh. Sekiranya peristiwa ini berlaku, bala besar akan menimpa mereka yang ingkar. Namun masih ada yang tidak percaya akan nubuwwah dan risalah yang Nabi salleh bawa. Maka pembunuhan unta diketuai oleh 2 orang pemuda iaitu Mushadda’ Bin Muharrij dan Gudar Bin Salif. Akhirnya azab Allah menimpa kaum Thamud.


Justeru kisah ini membangkitkan kesedaran bahawa keingkaran sekelompok manusia mampu mengundang binasa kepada masyarakat seluruhnya. Realiti hari ni boleh kita kaitkan memandangkan maksiat kian berleluasa. Adakah kita mahu Allah membinasakan kita kerana dosa orang lain. Seharusnya kita buka mata dan sebarkan seruan Islam dan tidak lagi selesa dengan status masing-masing. Biarlah sama-sama kembali kepada Allah dengan Redha-Nya.

Dahab ; Merehatkan jasmani, mendidik rohani

Sebaik sahaja menziarah makan Nabi Salleh, kami menuju ke Dahab, kawasan pandai yang sangat cantik dan menenangkan. Pelbagai aktiviti boleh dilakukan. Antara aktviti yang menarik ialah scuba diving, snorkeling, menunggang kuda dan quad bike.

Sebelum menerokai Dahab, kami terlebih dahulu berehat di hotel melepaskan lelah. Disebabkan masalah teknikal rombongan ini dipecahkan kepada dua hotel, iaitu sebahagian peserta ditempatkan di Hotel Jowhara dan Hotel Merama. Hotel Octopus yang ditempah terpaksa kami lupakan seketika walaupun kemudahannya lebih menarik dan selesa. Sinar menginap di Hotel Jowhara bersama Raf, Aqish, Rem, Jlah serta 2 musyrif dan 43 peserta yang lain. Agak kelam-kabut juga menguruskan hotel ini. Alhamdulillah segalanya dapat dikawal. Jazakallah pada yang terlibat untuk mengurus masalah-masalah yang timbul. Hidup ini penuh dengan kejutan dan kita merancang, Allah juga menentukan.



Sebaik sahaja Isyak, kami AJK yang Allah izin terdiri daripada gen6 kesemuanya dan 3 teman dari Jordan berpakat untuk menikmati malam di Dahab dengan acara ‘Hunting for food’ dan shopping. Acara pertama iaitu makan kami nikmati sepuasnya. Sementara menunggu juadah tiba, seperti biasa perbualan mengisi masa. Terasa hangatnya ukhwah ketika itu apabila masing-masing mula berbicara. Alhamdulillah malam ini terisi dengan memori yang tidak akan Sinar lupakan. Moga kita turut dikumpulkan di Syurga kelak. Bersambung.