BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS »

Monday, December 28, 2009

Kira-Kira

“Susahlah, perpuluhan banyak sangat, nak cari purata la, median la, mode la”

“Apa yang susah kalkulator ada, tekan je. Nak cepat lagi, guna la excel nanti. Dunia dah maju, teknologi pun dah canggih. Guna jangan tak guna.”

“Aaaa! Hehe tapi leceh la. Kena salin betul-betul. Kalau salah satu data, salah semua. Parah tu!”

“Manusia tu lemah sentiasa ada salahnya. Biasala tu. Nama pun belajar. Practice make perfect!”



Macam-macam gaya apabila pensyarah meminta kami menganalisis data nutrisi yang diperolehi. Beginilah senario anak-anak muda mengalisis data untuk Community Medicine. Subjek statistik menjadi pilihan. Rumus dan jalan kira yang sudah lama kami tinggalkan sedikit meriuhkan suasana. Masing-masing masih terkial-kial dengan nombor dan membuat jalan kira. Namun perjuangan itu tanpa henti. Kira dan terus kira.

Menganilis data-data yang diperolehi sebenarnya mengingatkan diri akan perhitungan amalan dengan Allah. Setiap data ada kepentingan. Bahkan begitulah juga amalan di muka bumi ini. Baik satu dosa mahupun satu pahala bakal mempengaruhi timbangan kita kelak. Itulah dua data yang sangat bernilai dan penentu akhir Syurga atau Neraka dan ditambah pula rahmat Allah yang tidak ternilai harganya. Tanpa rahmat Allah, amalan kebaikan yang banyak juga takkan ada nilainya. Justeru, sejauh mana kita benar-benar peduli ralat dan kesalahan dalam timbangan kita? Kita bising dan riuh kalau kawan kita salah mengisi data, tapi ada kita peduli usaha kawan kita berusaha sehabis baik dan paling besar, adakah kita benar-benar peduli kiraan dosa dan pahala kita yang terhimpun. Kita lupa bukan?

Perkiraan dan perhitungan Allah itulah yang paling persis dan jitu

Kalau kita benar-benar risau akan perkiraan kita menjadi negatif sudah pasti kita bersegera dalam menambah amal biar nilainya positif. Sebaik-baik Penghitung hanya Allah juga. Sebesar zarah kebaikan pun sudah Allah kira untuk menambah saham akhirat. Kasihnya Allah pada kita. Allah itu Maha Adil, kejahatan kita juga turut dinilai tapi masih dibuka peluang untuk pintu taubat. Begitulah pesalah sentiasa diberi peluang kedua. Namun kalau terlambat menghargai peluang yang Allah berikan sangat sia-sialah jawapnya.



Sesuai barangkali kita ungkit isu amal dan isu perubahan diri. Sudah 12 hari Muharram berlalu dan dalam beberapa hari pula tahun baru akan bertandang pula. Dua tahun baru iaitu Hijri dan Masihi dapat kita rasai. Justeru kepekaan kita juga harus berganda. Perhitungan amal juga harus digiatkan. Janganlah kita berkira-kira dalam membuat amal kebaikan, apatah lagi janganlah terlalu berkira-kira ketika kawan kita buat kesalahan. Kawan kita insan yang lemah seperti mana kita juga. Salinglah lengkap melengkapi, itukan lebih baik. Lebih cantik perhitungan Allah nanti.


“Dan sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia dan mengetahui apa yang dibisikkan oleh hatinya dan Kami lebih dekat kepadanya daripada urat leherya”(Qaf : 16)

Wednesday, December 23, 2009

Ayuh, mengorak lebih jauh!


Setinggi-tinggi kesyukuran dipanjatkan kehadrat Illahi, kerana tidak putus-putus dihadirkan peringatan untuk membangunkan diri. Dalam menghadapi realiti kehidupan, pelbagai ujian yang akan bertamu. Adakala senang, adakala susah. Sukar sekali untuk kita melupakan waktu getir dalam kehidupan. Sudah sunnatullah begitulah aturan kehidupan. Sudah seminggu Muharram bertamu. Sudah seminggu kita tinggalkan. Justeru, sudahkah digerakkan azam-azam yang kita taburkan di hari pertama Muharram menjelang? Ini peringatan untuk diri dan kalian. Tak lama lagi Tahun Baru Masihi pula akan menjelang. Sungguh ini satu peringatan!




Apa yang kita tunggu & tangguh lagi? Ayuh bergerak !!!


Saat ini, capailah sehelai kertas mahupun diari peribadi. Tulislah azammu. Biar dihitam putihkan. Senang untuk kita menilai sejauh mana pelaksanaannya. Barulah kita dapat mengukur kejayaan.

Setiap azam dan cita-cita perlu ada cara mengerakkan dan menguruskannya (management orang putih kata). Langkah-langkah yang perlu ada antaranya ialah, merancang (planning), melaksanakan( implementation) dan akhirnya penilaian( evaluation), Tanpa ketiga-tiga langkah ini, sia-sia kita berazam. Ingat, hidup ini perlu ada penyusunan dan perancang! Strategi itu penting untuk membawa diri kepada matlamat yang diimpikan. Azam itu biarlah 'relevant' dan mampu untuk dicapai, selagi mana ada jalan, di situ ada peluang.

Merancang kehidupan untuk menjadi insan yang dikasihi Allah dan disayangi seluruh makhluk di langit dan di bumi sudah pasti menuntut pengorbanan dan perubahan. Dan dari situlah, bermulanya sebuah perjuangan. Pertembungan nafsu dan Iman.

"Dan diantara manusia ada yang mengorbankan dirinya kerana mencari keredhaan Allah, dan Allah Maha penyantun pada hamba-hamba-Nya" (Al-Baqarah:207)




Mengapa nafsu dan Iman? Cuba kita lihat dan perhati. Saat kita ingin belajar, ingin benar menjadi pelajar cemerlang, kita dilanda kemalasan yang bersangatan. Itu bisikan nafsu bukan, mahu bersenang-lenang. Saat kita ingin beribadah, ingin menunaikan solah, ingin membaca Al-Quran, saat itulah kita lebih enak memilih tidur. Liat sungguh untuk bangun dari mimpi indah. Saat diajak ke usrah, saat itulah hati berat untuk pergi kerana masih banyak filem dan drama yang perlu ditontoni. Itulah pertembungan nafsu dan iman. Hakikatnya inilah ragam dan pertembungan yang berlaku. Akhirnya penyesalan yang tiada makna melanda diri akibat perbuatan dan pilihan sendiri.

Merindui diri yang dahulu

Ya daku merindui diri yang dahulu kerana di situ ada keyakinan yang daku sendiri sudah lupa bagaimana coraknya. Yang daku tahu, Sinar hari ini tidak sama dengan Sinar 10 tahun yang lepas. Keyakinan itu yang memandu diri untuk mencipta kejayaan demi kejayaan di masa lampau. Namun hari ini daku rasakan seperti kehilangan sebahagian daripada episod silam hidupku, keyakinan itu kekadang sama-samar diulit debu-debu Kota Kaherah ini. Tahun ini berazam untuk mencari semula keyakinan dan kepercayaan diri. Daku tahu daku mampu mengorak lebih jauh. Bukan tidak bersyukur dengan apa yang ada, cuma ingin buat yang lebih baik dan yang terbaik. Apa yang perlu, daku perlu percaya, usaha dan InsyaAllah akan berjaya. Daku sendiri jelas sumber kekuatan utama adalah Allah. Namun, semakin kita mencuba mendekati Allah, menjelaskan matlamat, semakin hebat ujian yang Allah beri. Sungguh Sinar ingin kuat seperti dulu, ingin mencari fokus dan istiqamah. Ya Allah bantulah hamba-Mu yang lemah ini.

Hadis Qudsi ada menyebut Allah swt berfirman: "Aku menurut sangkaan hamba kepada-Ku, dan Aku bersamanya apabila dia ingat kepada-Ku...." (Sahih Bukhari)

Menghargai diri yang sekarang

Alhamdulillah, diri ini banyak mengalami perubahan dari pelbagai sudut. Ilmu kian bertambah. Pengalaman kian banyak. Idea kian bercambah. Syukur diberi kesejahteraan untuk meningkatkan diri hingga hari ini. Allah yang banyak mendidik hati. Dihadirkan sisi gelap sebagai peringatan untuk mendidik diri, mengajar diri untuk tabah, mengajar diri untuk redha dengan ketentuan-Nya. Biarpun sudah banyak titisan air mata menemani sepanjang perjuangan, namun air mata itulah yang menenangkan kembali hati, mengubat luka-luka dengan rawatan mujarab iaitu merasai kekerdilan diri. Moga Allah benar-benar memimpin diri ini. Lemah sungguh tanpa bantuan-Nya. Dihadirkan sisi bahagia pula sebagai peringatan untuk mendidik diri, mengajar diri bersyukur, mengajar diri untuk menghargai peluang yang diberi. Hakikatnya Allah juga sebaik-baik perancang. Dialah yang mendidik kita selama mana kita bergelar hamba. Allah tahu apa yang terbaik. Maka Sinar dan kalian perlu percaya. Ayuh bina keyakinan dan percaya diri.

"Allah adalah Pelindung orang-orang beriman. Dia mengeluarkan mereka dari kegelapan (kekafiran) menuju cahaya (iman)..." (Al-Baqarah: 257)

Mengharapkan satu perubahan yang lebih baik pada masa hadapan

Dulu, kini dan akan datang semua adalah pelengkap ‘puzzle’ kehidupan. Diriku dulu, kini dan akan datang adalah sangat berharga untuk Hari Penentuan. Moga amal-amal yang terhimpun tidak sia-sia. Rahmat Allah juga diperlukan untuk menjadi Ahli Syurga. Doa kalian Sinar harapkan. Sama-sama mendoakan.

Senyum itu ubat...

(One of our 'cutest patient' in out patient clinic. Miss you Habibah. She remind me of Salwa)


Salam Perubahan...dan salam perjuangan buat semua. Ayuh mengorak langkah, kita jana perubahan. Moga Allah sayang kita semua. (^_^)

KLIK :: Percaya dan Berjaya

Thursday, December 17, 2009

Salam Maal Hijrah 1431

Salam Hijrah..Salam Mahabbah



Tick Tock...Tick Tock
Begitulah kedengaran detikan melalui jam kecil di biliku.
Mengingatkan masa sedang dan akan terus berlalu.
Sekejap sungguh rasanya.
Terasa baru semalam melangkah ke tahun baru.
Namun hari ini pula adalah hari terakhir 1430H menemaniku,
1431 pula akan bertamu.
Sekejap bukan? Sama-sama muhasabah waktu.
Ke mana usia dan masa kita habiskan?
Di jalan kebenaran atau terbuang begitu sahaja?
Mari hijrahkan diri mengejar Cinta Sempurna.
Walaupun susah, walaupun payah,
Ada kemanisan dihujung sana.
Jangan pernah sesal dan putus asa.
Moga mujahadah kita, Allah terima.
Justeru di kesempatan ini, Sinar ingin mengucapkan
Salam Maal Hijrah buat keluarga dan sahabat semua.
Maaf andai ada terkasar bahasa, terlepas kata,
terkurang masa bersama, kerana diri ini insan biasa
Moga Allah kuatkan keimanan kita semua dan
Moga Allah tetapkan kita di atas jalan-Nya
Hiduplah dalam kesabaran dan penuh kehambaan
“Hidup ini bagaikan satu pelayaran yang sukar. Maka bersabarlah wahai saudaraku kerana sabar itu indah, sabar adalah bunga-bungaan daripada keimanan yg benar. Harumannya ialah kepasrahan iaitu memandang segala keputusan Allah disamping meyakini hikmah yang tersembunyi disebaliknya. Kelopak-kelopaknya diwarnai ketabahan, ketenangan, keteguhan jiwa sebagai lambang kepuasan dengan qadar Allah SWT.”
Mulakan tahun baru dengan Alhamdulillah dan Istighfar selalu.
Selamat memasang azam baru dan perkemaskan azam lalu.
Realisasikan hidup dalam jiwa hamba,
Meneroka kehebatan Dia Yang Maha Esa.
Salam Mujahadah semua (^_^)

Wednesday, December 16, 2009

Rasa hati

Alhamdulillah, bersyukur masih diberikan peluang untuk merasai pelbagai nikmat saat ini. Tanpa rahmat Allah, siapalah kita agaknya. Hidup dalam teman-teman yang banyak mengingatkan dan hidup dalam lingkungan doa mereka yang tersayang itulah antara penguat untuk menghadapi cabaran hari demi hari. Cuma kalau dibiar bersendirian ada sahaja memori, kenangan dan cerita yang menerjah kotak pemikiran ini. Maka lahirlah bermacam-macam perasaan. Bukan personal disorder ya. Cuma menjiwai apa yang sedang berlaku secara langsung atau tidak langsung.

Hidup tidak akan lari dari berperasaan dan berprasangka. Namun di sini letaknya kebijaksaan kita mengendalikan emosi dan akal dalam menerajui tindak tanduk seharian. Kita perlu BIJAK dan BERHATI-HATI. Apatah lagi insan bergelar wanita. Cukup bijak bermain emosi, hatta bukan emosinya sahaja, mampu juga mempengaruhi emosi siapa sahaja di sekeliling mereka.

Perjalanan hidup seorang muslimah pasti sahaja berliku. Adakala kebahagian hadir, senyum pun terukir. Adakala khabar duka bertamu, air mata membasahi. Adakala persoalan diaju, dahi berkerut seribu.Adakala musibah menimpa, mula tertunduk kaku. Itulah sunnah kehidupan, mendidik jiwa yang ingin dididik agar terdidik dengan didikan Rabbul Izzati. Masakan kita tidak diuji?



Hati itu bekas yang mengumpulkan pelbagai rasa dan perasaan; positif dan negatif tapi ada pemisahan. Kita boleh gembira, suka, sedih, sebak, geram, kecewa, marah dan jutaan lagi perasaan. NAmun kawallah rasa-rasa ini agar sentiasa dalam landasan yang diredhai Allah dan jauh sekali dari kemurkaan-Nya.

"Dan sebutlah nama Rabb- mu dalam hatimu dengan merendah diri dan rasa takut dan tidak mengeraskan suara di waktu pagi dan petang. Dan janganlah kamu termasuk orang-orang yang lalai "(Al-A'raf:205)

Saat ini marilah kita sama-sama menyucikan hati dengan zikrullah

Bertasbih dengan mengucapkan Subhanallah

Bertahmid dengan mengucapkan Alhamdulillah

Bertahlil dengan mengucapkan La ilaha ilallah

Bertakbir dengan mengucapkan Allahuakbar

Maka di sini kita akan salurkan segala perasaan kepada Allah. Kesenangan dan kebahagian kita syukuri dengan memuji Zat Yang Maha Memberi. Allah sewajarnya yang kita lambakkan segala pujian. Bahkan masalah dan bebanan yang dirasakan besar akan terasa kecil jika kita memperingatkan diri bahawasanya Allah itu Maha Besar. Maka kita akan bina kekuatan untuk terus mengharungi kehidupan.

Saat ini juga, macam-macam dirasa. Nama pun manusia.

Saat ini daku rindu

Adakala ketika belajar, sempat sahaja fikiran ini merawang pulang ke Malaysia. Aduh, parah juga apabila sarat dengan rindu, kalaulah tambang sekadar 80 sen sudah lama agaknya kaki ini melangkah pergi. Namun tidak semudah itu, masih tergalas amanah di sini, ada kewajipan yang harus dilunaskan. Hatta pernah diluahkan hajat mahu pulang. Apa kata ummi & lek, macam biasa, "Utamakan yang utama. Tunggu la bulan 7 nanti." Buat adikku Husna moga cepat sembuh sepenuhnya.



Saat ini daku gembira

Menerima jemputan demi jemputan perkahwinan, gembira dibuatnya. Mana tidaknya teman sepermainan kita akhirnya melangkah ke alam baru. Seorang demi seorang membina mahlligai baru. Jauh di sudut hati gembira bercampur sedikit kecewa kerana tidak dapat turut serta. Salam dari kejauhan dan semoga baitul dakwah yang dibina menjadi saham untuk kita sama-sama ke syurga.

Kalau berbicara fasal kuliah, banyak juga ceritanya. Turun padang bersama masyarakat setempat di bumi firaun ini, membuatkan hati gembira mendapat kepercayaan mereka. 'Community medicine' membuka langkah pertama dalam menghadapi realiti sebenar. Biarpun masih banyak yang belum diterokai, memadai untuk membina keyakinan diri. Moga Allah mudahkan walaupun masih banyak kekurangan. Telan sahaja yang pahit, agar yang manis itu pemangkin fasa seterusnya (^_^)

Saat ini daku sedih

Saban hari ada sahaja berita kematian. Inilah peringatan. Allah lebih menyayangi mereka. Tidak kira usia.Warga tua berjasa, muda remaja bertenaga, suami isteri tercinta, bahkan anak kecil penyejuk mata dijemput pulang ke negeri abadi. Suci hati anak-anak kecil ini. Baru sahaja melihat gambar mereka, minggu ini sudah dijemput pulang. Ya Allah cucuri rahmah ke atas ruh mereka dan tabahkan insan yang menyayangi mereka. Inilah peringatan buat kita yang masih hidup. Kita pula hanya menunggu masa. Tidak dapat disangkal, giliran daku pula bakal menyusul. Bila? Itu rahsia... Bersiap sedialah... Mimpi semalam mengejutkan daku dari kelalaian dunia. Ya Rabb pandu daku meniti jalan-Mu...

Itulah perasaan yang mampu dicoretkan. Banyak lagi yang terpendam. Kalian pula bagaimana? Sama jugakan, macam-macam yang dirasa. Hakikatnya daku, kamu dan kalian sama sahaja. Biarlah sesetengah itu urusan kita dengan Tuhan Yang Menciptakan. Cuba apa yang ingin dikongsi, dalam apa-apapun kita tidak keseorangan, Allah ada untuk mengadu cerita, teman-teman ada untuk meluah rasa.

Bercampur pula perasaan sendiri. Tenanglah wahai hati, Tenanglah....

Friday, December 11, 2009

Adikku sayang

"Ummi, kenapa Along tak balik? Semua dah ada,tapi Along je tak de."

"Salwa,Along tengah belajar.Jauh tau, mana la Along boleh balik."

"Boleh la ummi."

"Along baru je balik. Lagipun naik kapal terbang mahal."

"Mahal? Murah je la Ummi, mana ada mahal."

"Murah? Mana Salwa tahu?

"Salwa tahu... 80 sen je... Murahkan tu."

Tergelak Ummi dibuatnya. Seronok kalau melayan Salwa. Ada sahaja modalnya. Bila mendengar Ummi bercerita, ketawaku turut memecah kesunyian bilik pada petang itu. Bercampur sebak juga bila mana ada orang mengenang diri kita yang jauh di perantauan. Begitulah cerita ummi di corong telefon. Sewaktu musim cuti sekolah bermula, adik-adikku semua sudah pulang. Dua puteri Ummi dan Lek yang belajar jauh ke Utara Malaysia pun sudah mengisi kekosongan rumah. Mana tidaknya Salwa bertanya. Sememangnya keanggotaan rumah tidak pernah lengkap dan genap. Rindu...rindu...

Erm... 80 sen? Macam mana dia boleh dapat idea.. Sampai sekarang bila mengenangkan cerita Ummi, daku tersenyum sendiri.

Itulah Salwa. Adik bongsuku. Petah berkata satu hal. Kalau berbicara memang yakin dan mahu menang. Kalau dapat bercakap dengan Salwa, hati ini akan segera meronta mahu pulang. Kalau dia mula bercakap, kebiasaannya ayat ini akan diucapkan

"Salwa rindu Along. Along balik tau." Sebak dada dibuatnya.

Semalam ummi 'call'. Kata Ummi sempena hari lahir Salwa, macam-macam gelagatnya. Kelakar juga dengar cerita ummi. Allah izin ahli keluarga belah Ummi datang ke Kuala Lumpur. Apa lagi suka la Si Salwa dapat bertemu dengan sepupu-sepupunya. Langsung minta izin ummi dan lek untuk tidur di rumah Chek Ngah di Setia Alam kerana mereka bermalam di sana. Pandai sungguh. Dah 7 tahun anak kecil ini. Tapi biasa la manja dan selalu ingin perhatian. Bukan mudah mendidik puteri-puteri yang ramai. Segalanya ingin kehendak dipenuhi. Di sini perlu toleransi.

Sebenarnya tengah berusaha untuk melakukan sesuatu sempena Besday Si kecil ini. Tapi buat masa ni Along dahulukan dengan ucapan Selamat Hari Lahir. Moga adik Along tidak hanya comel pada pandangan manusia tapi pada Pandangan Allah itu yang utama. Moga Allah pelihara selalu dan menjadi anak solehah dan muslimah harapan ummah. Sebuah nasyid untukmu wahai adikku.

Adikku Sayang
Album : Rumahku Syurgaku
Munsyid : Tazakka
http://liriknasyid.com

Adikku yang tersayang
Harapan ibu bapa di masa depan
Bila telah dewasa nanti
Jadilah engkau penyejuk hati

Senantiasalah mematuhi
Selalulah engkau berbakti
Pada kedua orang tua
Selama masih dalam kebenaran

Ibu bapa mengasihi kita
Sejak dalam kandungan
Sampai kini hingga ajal menjelang
Jangan pernah ada durhaka
Pada keduanya, selamanya

Doa orang tua dikabulkan oleh Tuhan
Redha orang tua jua Redha Yang Kuasa
Redha yang Kuasa

Ya Allah ampuni mereka
Kasihanilah mereka
Seperti mereka sayang kami
Saat kecil dahulu...

Pagi tadi ketika dalam perjalanan ke 'Malaysian Hall, Sinar mendapat sms daripada Lek, kata Lek, Salwa tak mahu hadiah pensel warna tapi mahu cococrunch sahaja. Lek siap balut lagi !!! Pelik...pelik adikku nan seorang ini...Ketawa lagi daku dalam teksi.


Seperti yang dijanjikan, pada malam harinya operasi berjaya dilaksanakan. Alhamdulillah misi berjaya... Just a simple gift from me. Nanti mesti ada orang kata, "Mana aci, Along masak pastu makan sendiri." Nak buat macam mana. Benua memisahkan kita. Ops (^_^) sekadar alasan... Jom layan gambar ye. Maaf ya, ini sahaja yang termampu dalam kelapangan masa yang ada.

Dah bakar nak kena hias, selepas hias nak buat perkataan pula...Jom!!
~Sayang Salwa~
Salwa !!!


Lawa ke? (^_~)
Walauapapun, Salwa tetap di hati Along!!!

Ok. Santai sahaja kali ini. Sudah dikemaskini(^_^)

Wednesday, December 09, 2009

Ini dunia kita?

Apa khabar dunia anda hari ini? Anda selesa? Sudah tentu selesakan. Mana tidaknya segala keperluan sudah ada, pastinya kita bahagia. Melihat dari sudut keselesaan diri. Alhamdulillah, rata-rata pembaca blog bukanlah sesusah teman-teman kita yang kais pagi makan pagi kais petang makan petang. Untungkan kita, Syukur Alhamdulillah tapi beringat.. Ujian itu ada dalam kesenangan juga. Kita juga sedang diuji. Biarpun sudah 4 hari menjadi tetamu di Community Medicine Department, hati ini meronta-ronta untuk berkongsi rasa. Jadual yang padat bukan alasan utama. Dalam keadaan apapun Sinar sentiasa memerlukan perhatian dari Allah dan meneruskan kelangsungan amal di sini. Sinar, Kamu dan juga Kalian akan sentiasa memerlukan Dia dan peringatan yang 'membasahkan' jiwa.

Erm...melihat dunia hari ini dari peningkatan usia bumi, Sedih dibuatnya....

Bukit kita ditarah, udara kita dicemari, sungai kita dikotori. Di manakah kawasan yang damai buat kita? Kota yang kita banggakan ibarat hutan batu, manusia terkenal dengan kalimah sibuk, sibuk dan sibuk. Masing-masing dengan hal sendiri. Kampung pula, permai namun sedikit demi sedikit pengaruh kebandaran dan kebaratan mula menular. Sudah pandai anak-anak kampung merempit di lorong sunyi, berkepit di air terjun damai. Manusia sudah berubah, berubah dan berubah. Kesopanan dan keramahan kian hilang dalam budaya hidup hari ini. Yang menghiasi hidup manusia hari ini, keangkuhan, kebendaan dan kelalaian.

Benar bukan? Ini realiti yang terjadi. Era globalisasai memakan nilai hidup dan jatidiri manusia tanpa kita sedari. Manusia tertipu dalam menilai dunia. Ya, di satu sudut, inilah yang berlaku. Negara yang membangun tapi hampir majoriti negara terbantut dalam aspek modul insannya. Cuba kita lihat kiri dan kanan, atas dan bawah dunia hari ni. Bagaimana? Lihatlah dari prospektif iman. Saat ini, hati ini meronta-ronta ingin bersama generasi awal bersama Rasulullah, ingin melihat kekuatan mereka. Kekuatan Akidah, Kekuatan Fikrah, Kekuatan Ukhwah, Kekuatan Akhlak. Tidak puas sekadar membaca dan mendengar cerita ummat terdahulu. Ya Allah jangan Engkau padam rasa hati ini. Sungguh aku rindu pada kekasih-Mu dan kedamaian ketika mengadu pada-Mu. Hati sedih melihat dunia hari ini. Manusia lupa Allah memerhati mereka.




Sekarang mari kita lihat teman-teman kita di Palestine, satu sudut dunia yang tidak putus-putus berendam air mata dan bermandi darah. Rumah mereka hancur dibedil bom tanpa mata, status pengganas sebenarnya layak untuk perampas tanah. Habis bangunan menjadi serpihan dan bongkah batuan. Kalau kita ada sungai, ada air tapi dicemari mereka pula bekalan air disekat dan tiada ketika mahu digunakan.

Mendengar dan membaca pengalaman para sukarelawan Palestine, membangkit rasa lemah dalam diri harus dirawat. Kita lihat penderitaan ummat Palestine itu satu kesusahan, tapi itulah medan mereka berjihad dan menjadi kekasih Allah, mereka sendiri menyatakan bertuah dipilih menjadi insan di bumi Palestine. Hebat bukan sudut pandang mereka. Husnu zhon dan tetap berjuang tanpa henti. Tapi itu bukan syarat untuk kita memangku tangan dan berpeluk tubuh. Mereka berjuang demi kita dan demi Islam seluruhnya. Tidak malukah kita membiarkan mereka berjuang bersendirian. Luka mereka adalah luka kita.




Mahu tahu apa kekuatan mereka? Pertama mereka mendekati Al-Quran dan kedua mereka memantapkan institusi keluarga.

"Besar perjuangan Hamas di sana. Benar Hamas telah memulakannya. Tetapi mereka hanya satu juzuk daripada Ummah yang besar. Mereka memerlukan bantuan luar. Hamas memulakan tetapi Ummah di luar akan menyempurnakan. Begitulah indahnya keadilan Allah yang memberikan peluang kepada semua untuk sama-sama mendapatkan saham akhirat"

"Rupa-rupanya kekuatan itu adalah natijah daripada proses dakwah & tarbiyah oleh generasi awal sejak lebih 40 tahun lagi bukan setahun dua. Bermula daripada dakwah kepada anak-anak dan keluarga. Dakwah supaya mereka mencintai Al-Quran, supaya mereka membaca, menghafal dan menghayati Al-Quran. Al Quran menjadi sumber kehidupan, Al Quran menjadi amalan hidup. Inilah proses yg telah dilakukan oleh Rasulullah saw. Proses melahirkan Jil Quran Farid (Generasi Al-Quran yang unik). Proses dakwah/ ajakan kepada Allah melalui wahyu Allah. Bukan hanya sekadar kata-kata manusia, atau ceramah pembakar dan menyentuh jiwa. Tetapi mereka mulai dengan seruan dan ajakan "untuk mencintai Al Quran". Mereka kenalkan Allah melalui Al-Quran. Mereka kenalkan manusia melalui Al Quran. Mereka kenalkan kehidupan melalui Al-Quran. Mereka selesaikan segala permasalahan hidup melalui Al Quran. Dari anak-anak sehingga orang tua berlumba-lumba mendekati Al Quran."

Jiwa anak-anak muda dicetak oleh Al-Quran. Pemikiran mereka disusun oleh Al-Quran, Amal mereka menjurus pada perintah Al-Quran. Maka terhasilnya barisan pejuang yang tidak gerun syahid demi Islam. Ini tidak dapat tidak, hasil pembentukan dari madhrasah Al-Quran dan hasil didikan keluarga yang benar-benar memahami Islam. Indah bukan hasilnya?

Ayah menjadi Mithali,
Ibu menjadi Mithali,
Anak-anak juga Mithali..

Rosak ayah rosak keluarga,
Rosak ibu binasa keluarga,
Rosak anak-anak hancur ummah.


Subhanallah, satu-satunya kalimah yang terucap. Kemas dan kagum. Kelu lidah melihat kehebatan saudara di Palestine. Mereka ibarat singa dalam perjuangan. Melihat kekuatan yang mereka ada sedikit sebanyak mengubat rindu pada generasi awal, masih ada mereka yang benar-benar teguh di jalan INI. Daku mahu sekuat mereka dalam mendepani cabaran dan ujian dunia.

Entah la kenapa. Sedih di hati masih berbaki. Melihat realiti Islam dipermainkan oleh pembawa-pembawa agama apatah lagi penolak agama. Hatta ummat Islam kian jauh dengan Al-Quran. Jauh dari memahami apa yang ada di dalamnya. Hatta kadangkala, kita sendiri kurang kedepankan sikap dalam memaparkan Islam sebenar. Benarlah kata YusuF IsLam ketika ditemuramah mengenai keislaman beliau. Beliau sendiri tertarik pada Islam bukanlah dengan melihat muslim-muslim yang ada tapi bila Islam yang syumul itu menyentuh hati-NYa. Ya Allah berdosa rasanya apabila bergelar muslim tapi kita tidak mempersembahkan contoh teladan yang baik. Sinar ingin mengajak diri dan teman-teman, perhatikan sirah, perhatikan sejarah, perhatikan sikap ulama. Jujurlah pada kata-kata dan perbuatan. Tidak takut kah kita dengan azab Allah? Bila mana Al-Quran dan suruhannya kita langgar? Ya Allah ampunkan kami.




Dunia menuntut perubahan... Akhirat tempat perkumpulan. Ya Allah, sinarilah kami hidayah-Mu dan kumpulkan hati-hati kami di Jannah-Mu.

Friday, December 04, 2009

Rumah Kita

Kalau sebut fasal rumah macam-macam ada. Rumah banglo, rumah teres, rumah pangsa, pondok dan lain-lain lagi. Pendek kata di abad ini segalanya ada. Isu rumah juga tidak kurang hebatnya. Menjadi keperluan asasi untuk berumah kerana disitu tempat kita berlindung. Namun apabila memerhatikan rumah hingga tidak cukup tangan menanganinya.

"Mama, bila rumah kita nak dicat?" tanya si anak

"Baba, atap umah kita bocor." kata angah pada ayahnya

"Tak abis abis paip ni bocor, sinki pula sumbat." keluhan si isteri di senja hari

"Aku bila besar nanti nak rumah banglo." Lagak si anak memikirkan masa hadapan.
Gambar hiasan

Hari ini mari kita kenangkan rumah kita. Yang berada di perantauan pastinya sangat rindu bukan. Jom pulang ke negeri dan daerah masing-masing. Bagaimana kondisinya? Cantik atau ditelan usia?

Baiklah...Mari kita lihat rumah kita yang ini pula. Bagaimana?


Di mana seharusnya letaknya islam, iman dan ihsan? Apa alasannya? Kukuhkah binaannya?

Apa itu islam?

Islam dari segi bahasa ialah tunduk dan menyerahkan kepada Allah swt. Dari segi istilah syarak pula ialah agama yang dibina di atas lima asas iaitu
  1. Syahadah (penyaksian) bahawa tiada Tuhan (ilah) melainkan Allah dan bahawasanya Muhammad itu Rasulullah
  2. Mendirikan solat dalam waktunya dengan rukun dan syarat yang sempurna serta menjaga sunat dan adabnya
  3. Mengeluarkan zakat
  4. Berpuasa di bulan Ramadhan
  5. Menunaikan haji sekali seumur hidup bagi sesiapa yang berkemampuan dan memiliki keperluan untuk bermusafir seperti bekalan, kenderaan dan belanja nafkah ahli keluarganya.


Namun Islam tidak terbatas dalam lima asas sebentar tadi. Islam adalah deenul hayah iaitu gaya hidup mahupun peraturan kehidupan. Islam bukan suatu Deen yang wujud secara kebetulan tetapi adalah satu natijah (hasil) daripada satu tarbiyah (pendidikan). Hasil dari perancangan, perencanaan, pembentukan yang disusun dengan rapi dan berhati-hati melalui ransangan-ransangan dan bimbingan yang diransang dalam rangka melahirkan manusia yang Islam dalam pemikirannya, aqidahnya, akhlaknya dan jiwanya dalam segala perbuatan dan tindakannya.

Apa itu Iman?

Iman dari segi bahasa ialah at-tasdiq (membenarkan) dan dari segi syarak ialah: Tasdiq yang jazim (keyakinan yang tidak berbelah bagi) terhadap kewujudan Allah Taala yang Maha Pencipta dan bahawasanya Allah itu Esa dan tiada sekutu. Membenarkan kewujudan para malaikat, kitab-kitab samawiah, para rasul, hari kiamat dan membenarkan semua perkara yang berlaku dimuka bumi ini adalah dengan takdir (ketentuan) Allah Taala berdasarkan hikmah yang tersembunyi. Inilah rukun-rukun iman yang sudah kita sedia maklum

Iman ialah teman sejati manusia. Di kala kita kesunyian dan kesedihan imanlah penghibur. Maka keteguhan iman sebagai asas atau fondisi sangat besar peranannya. Masakan sebuah rumah akan stabil andai tapaknya goyah. Justeru kestabilan diperingkat asas, dasar mahupun tapak itu perlu agar binaan yang terbina atasnya kukuh hingga keakhirnya.

Apa itu Ihsan?

Ihsan ialah ikhlas dan tekun. Inilah hasil apabila kita beribadah seolah-olah kamu dapat melihat Allah sekiranya tidak mampu seolah-olah Allah Taala melihat kita samada kecil ataupun besar perbuatan tersebut.

Dr Abdullah Azzam pernah berkata:

"Sesungguhnya meninggalkan sikap saling membantu dalam mengembalikan semula agama Allah ke alam wujud adalah jenayah terbesar yang dilakukan oleh golongan yang berdiam diri dan yang malas membina semula agama ini."

Justeru dalam menjadi seorang hamba yang taat pada Pencipta-Nya, dalam membantu agama-Nya, tidak dapat tidak kita harus sedar dimana tanggungjawab kita. Ingin bermalasan? Malas itu meyamai anda membiarkan diri diselimuti dosa. Ingin terus diselimuti maksiat dan amal yang tidak berfaedah? Tidak takut Allah kah kita?

Dewasa ini, manusia berlumba-lumba dalam membina rumah yang cantik strukturnya namun, iman, islam dan ihsan tidak dihiraukan pembinaannya dalam diri. Setiap satunya masih goyah. Marilah kita perkemaskan rumah kita. Tegakkan dalam diri dan akhirnya tersegam indahlah setiap satunya dan rumah kita secara amnya adalah serupa bahkan tertegaklah masyarakat Muslim dan barulah terbentuknya daulah.

Tuesday, December 01, 2009

Bunga Oh Bunga...Tautan Hati


Bila bercerita mengenai sahabat atau teman, banyak suka dan duka yang dikenangkan semula. Permusafiran beberapa hari keluar Kota Kaherah banyak mendidik diri dalam segenap hal. Apa itu pengorbanan, apa itu sabar, apa itu kasih sayang, apa itu ukhwah dan apa itu jiddiyah. Semua berpadu dalam benak fikiran dan Allah mendidik secara langsung ataupun tidak langsung. Moga redha Allah bersama setiap derap kaki kumelangkah. Pagi ini sahaja sebenarnya ada kejutan buat diri. Dalam kekalutan mengemas barang, bergelut dengan masa agar tidak terlepas keretapi untuk berangkat ke Tanta, sempat pula adik-adik ini membuat kejutan. Angin sejuk Iskandariah sungguh mendamaikan. Terasa ingin terus berada disini melarikan diri dari kesibukan kota Kaherah. Pintu rumah yang Sinar tumpang di ketuk. Kedengaran pintu rumah dibuka.

“Kak Sha, ade surprise ni!”

“Apa yang suprisenya, akak tengah bersiap ni. Milah dah sampaikan, tu akak pun tau. Takde suprise la camtu. Hehe” Ada ada je kanak-kanak ini

“Mai la sini.”

“Kejap la…tak sabar sabar la antum ni”

“ Surprise !”

“Wah, bunga! Cantiknya!” Terharu dan terpana sebentar.


Teruja sebenarnya mendapat bunga. Inilah kali pertama mendapat Bunga Ros (Bunga tulip tak de ye ? Nak yang warna ungu). Selama ini kalau teringin Sinar beli sendiri dan beri pada mereka yang Sinar rasa boleh mengembirakan hati mereka. Kali ni sejambak Sinar dapat. Gembira tak terkata. Sungguh rasa dihargai. Moga Allah berkati pemberi bunga ini. (Ahli beit lepas baca ni, ingat tau Januari tak lama lagi)

Ada apa ye dengan bunga. Kalau dulu teruja Sinar kupaskan tentang Tulip. Biarpun Bunga Ros diminati namun Tulip tetap juga dihati. Jom kita lihat apa ‘significant’ bunga ros pula. Tadabburlah setiap ciptaan-Nya.

Keindahannya mengingatkan diri akan hakikat bersahabatan kerana Allah itu sememangnya indah dan mengisi jiwa untuk mendekati Allah. Hakikatnya Allah akan menaungi dua hati yang bertaut kerana Allah Taala. Keharuman bunga pula mengingatkan sinar akan hakikat harumnya bau syurga milik mereka yang berkasih sayang kerana Allah. Layakkah diri untuk melangkah ke sana. Moga rahmat dan kasih sayangnya milik kita jua.

Keindahan bunga ros janganlah disalah guna. Hari ini rata-rata ‘flowers’ ini hanya glamour dalam perhubungan lain jantina. Kenapa tidak digunakan untuk mengeratkan ukhwah Islamiyah sesama kita. Itukan lebih indah dan Allah tidak murka. Ayuh senangkan hati sahabatmu.


Sebenarnya tidak kiralah bunga,kek,coklat, baju, jam, beg, buku dan sebagainya apabila kita berikan hadiah pada insan yang kita kasihi pastinya akan membuatkan hatinya senang dan bahagia sekali. Kita akan gembira apabila mendapat hadiah dan perhatian. Maka kita seharusnya melakukan benda yang sama. Erti hidupkan pada memberi. Sedikit sahaja usaha yang perlu kita lakukan tapi kesan daripadanya berpanjangan. Menjaga ukhwah itu memerlukan pengorbanan dan penghargaan. Adakala nasihat diperlukan, adakala pertolongan kita diperlukan, adakala penghargaan diperlukan. Sebagai teman, jangan lokek menghulurkan bantuan. Kita manusia saling memerlukan. Adakala dia susah dan adakala kita pula.

“Dia yang mempersatukan hati mereka(orang-orang beriman). Walaupun kamu membelanjakan (kekayaan) yang berada di bumi, niscaya kamu tidak dapat mempersatukan hati mereka, akan tetapi Allah telah mempersatukan hati mereka. Sesungguhna Dia Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana” (Al-Anfal : 63)

Perjalanan dari Kaherah ke Iskandariah dan kemudiannya ke Tanta sebenarnya. Membangkit naluri keinsafan dan membenihkan ukhwah di kalangan sahabat handai. Ketika masalah membelenggu diri, permasalahan banyak yang tidak mampu diungkai sendiri, sahabatlah tempat kita berkongsi rasa, Allah pula tempat kita mengadu cerita. Allah jugalah pembuka dan pemudah cara. Luahkanlah andai ada yang terbuku didada. Moga Allah jernihkan segala.

Baru tiba di Tanta

Berjalan di Tanta..Terjumpa kedai ini..Tersenyum lebar (^_~)
Coklat yang sedap di kedai Chocola !!!

Setelah selamat sampai di Tanta, petangnya pula memanjangkan kaki ke Apple. Makan-makan, sembang-sembang perkembangan dan perancangan masing-masing. Maklumlah ke Tanta membawa seribu cerita dan hasrat juga. Selama ini tidak sempat ingin menjelajah Tanta. Hanya sekadar menjadi tetamu di rumah teman seperjuangan langsung tidak keluar berjalan. Moga Allah meredhai ukhtie ana ini (dah la exam ophthalmologynya tak lama lagi). Dapat menghirup udara kampung satu kepuasan sebelum pulang lusanya.

Alhamdulillah, seinfiniti penghargaan untuk keluarga yang dirindui, sahibah-sahibah yang dikasihi, teman-teman yang disayangi, rakan-rakan yang mendoakan diri ini. Syukran semua. Ambik coklat tu seorang satu ye =)
Sinar~islami
Shober, Tanta

Sunday, November 29, 2009

Pengorbanan Augmentasi Keimanan




"Wani, ade record takbir raya tak? Pasangkan boleh, Hajat nak dengar pagi-pagi ni"

"Ada." lalu bergemalah takbir...Sayu...

Allahu akbar Allahu akbar wa lillahilham

Pada pagi raya sambil menyiapkan sedikit makanan di dapur,sayu hati . Bukan apa. Eid kali ini sungguh terasa kehadirannya. Kalimah 'pengorbanan' kali ini benar-benar diterjemah dalam kehidupan. Beberapa hari ini menuntut pengorbanan dizahirkan dalam kehidupan. Kalau bukan diri sendiri diuji, hati ini juga akan terasa bila orang yang dekat diuji. Mengorbankan harta, perasaan, tenaga untuk Allah...adalah satu kemuliaan. Tiada ragu-ragu di situ. Kisah Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail benar-benar membaluti diri untuk terus menghadapi seribu satu ujian dalam hidup ini.

Istilah pengorbanan ini banyak mengingatkan diri pada jasa Ummi dan Walid. Khusus buat Ummi, banyak sungguh yang telah Ummi korbankan. Ummi tidak bekerja secara tidak langsung ijazah kejuruteraan itu menjadi pemangkin anak-anak untuk berjaya. Itu membuktikan ilmu itu penting menjadi alat untuk kita mudah mendekati masyarakat. Biar apa pun terjadi ummi tidak pernah memikirkan kepentingan diri sendiri. Anak-anak sesekali tidak dilupakan. Walid terus dan terus bekerja untuk kami sekeluarga. Nasihat dan tazkirah berguna sentiasa mengisi ruang yang ada sekiranya bersama. Di sini ingin sekali Sinar mengajak adik-adik Sinar menghargai keberadaan Ummi dan Walid. Rindu tak terkata sebenarnya bila mendengar takbir raya. Pengingat hati dengan keluarga adalah banyaknya aplikasi Ummi dan Walid dalam konsep memberi. Bila kita banyak memberi kita akan diingati. Bersyukur diberi perasaan seperti ini.

“ Dan Allah mengeluarkan kamu dari perut ibumu dalam keadaan tidak mengetahui sesuatupun, dan dia memberi kamu pendengaran, penglihatan dan hati, agar kamu bersyukur.”
(An-Nahl:78)

"The joy of Living… is the Joy of Giving"

Indahkan kalimah ini. Pastinya kalian sudah acapkali mendengar mahupun terlihat kata-kata ini. Memang indah kita memberi. Dalam banyak hal kita mudah memberi. Namun ada waktunya, ketika kita diuji dan ini realiti yang mungkin kita akan hadapi...Adakala kita memberi dan mengorbankan sesuatu yang kita sayangi pastinya sukar. Fitrah manusia. Moga apa sahaja yang kita korbankan itu Allah terima, redha dan ganjarkan syurga dengan rahmatnya. Moga hari ini tertingkatnya iman dalam menghayati apa itu pengorbanan atau tadhiyah. Pengorbanan juga bakal menjanjikan anda untuk memahami apa itu sabar dan ikhlas.

Alhamdulillah sudah hari ketiga raya Aidiladha bertamu. Pada hari ini juga merupakan hari lahir salah seorang adik yang dikasihi. Moga dirahmati Allah selalu. Moga tertingkatnya usia bakal tertingkatnya amal juga sekaligus meningkatkan keimanan dan ketakwaan kita bersama. Ucapan terima kasih diucapkan kepada tuan rumah di atas jamuan yang disediakan dan tidak kurang juga pada teman-teman yang bertungkus-lumus menyiapkan juadah, kek dan hadiah-hadiah yang lain. Sungguh Sinar pula yang terharu.

Mana kek ni ye...???


Ni dia kek nya...Myla & Kak Nawwar smile!!

Kerja saat-saat akhir

Daripada kami untukmu (^_~)

Terharu agaknya...(^_^)

Tidak akan berubahnya sesuatu takdir melainkan dengan doa dan
Tidak akan tertingkatnya umur atau usia melainkan dengan amal
Moga tabah meniti ranjau-ranjau berduri dalam kehidupan wahai ukhtie kecil
<...Moga terus istiqamah dan selamat menyelami makna 'pengorbanan'...>

Sunday, November 22, 2009

Tanda-tanda cinta


Aku cinta kamu?
I love You?
Uhibbukifillah?
Uhibbukafillah?


Indah kalimah ini kalau kita menerimanya. Terawang-awang dibuatnya. Kalau namanya cinta, seolah-olahnya indah belaka kan? Belum kena penangan cinta belum tahu. Kalau cinta manusia, haru biru juga kalau tidak kena cara. Tapi ada satu cinta ni, aman bahagia hati dibuatnya. Apa ya?

Kali ini cinta pada siapa Sinar ingin bawakan? Pada manusia? Oh tidak…Hari ini kita pulang mencari Yang Maha Mencipta. Sudah pastinya pada Allah. Tahukah kalian tanda-tanda cinta pada-Nya. Kita dalam mengejar kejayaan jangan lupa kasih Allah jangan sekali-kali dipinggirkan.

Mudah untuk kita lafazkan “Saya sayang Allah. Saya cinta Allah.” Namun. cinta itu memerlukan bukti dan tanda. Jika kita selalu menyalahi perintah Allah, bukan cinta namanya. Justeru jika tidak ada bukti, maka kata-kata cinta sudah tidak bermakna. Kita cintakan sahabat? Kita cintakan dakwah? Kita cintakan Allah? Jika ya, maka tunjukkan bukti dan tandanya, kerana kata-kata bukanlah segalanya. Hatta iman pun menuntut bukti.

“Apa tanda cinta?”

“Ha, Rindu. Pastu mestilah akan selalu teringat kat dia kan kak.” sambil senyum nakal adik usrahku menjawab. Dan turut disambung dengan beberapa jawapan yang lain yang turut mengundang tawa petang itu.

“Alhamdulillah semuanya betul. Cuma akak nak juga bagi tau. Cinta ni bukan cinta biasa-biasa. Cinta seorang hamba dengan Pencipta. Cinta ni mahal bukan murah tau nilai-Nya. Cari dulu cinta Allah. Jangan pi cari yang lain. Nampaknya semua ni pakar cinta. Erm... Tapi make sure! Zahirkan! Jangan hanya meniti dibibir sahaja. Ops! Jangan salah cari cinta ya. Buruk padahnya. Ok! Jom kita tengok apa tanda cinta.”

“Betul betul betul.” Macam-macam reaksi kanak-kanak ini bila disebut pasal cinta. =)


Baiklah. Ada 8 semuanya yang dapat dikongsi. Lepas ni masing-masing boleh periksa. Adakah benar dan bulat cinta kita pada Allah? Sudah jitukah?

  1. Selalu menyebut (Kasratuz zikr)
  2. Kagum (Al-I'jab)
  3. Redha(Ar-Redha)
  4. Pengorbanan( At-Tadhiyah)
  5. Takut (Al-Khauf)
  6. Berharap (Ar-Raja')
  7. Patuh (At-Taah)
  8. Mencintai apa yang dicintai oleh Kekasih

Selalu Menyebut

Seseorang yang mencintai kekasihnya pasti akan banyak menyebut dan mengingatinya. Kerana mabuk cinta pada kekasihnya, ingatannya sentiasa bersama orang yang dicintai dalam sedar atau tidak, bahkan dalam mimpi dan saat membuka mata. Syair arab ada menyebut

"Kaulah yang terakhir kusebut sebelum terlena "

"Kaulah yang pertama kusebut setelah terjaga"

Begitulah hebatnya cinta. Namun hanya cinta pada Allah boleh mengalirkan ketenangan dalam jiwa yang keresahan. Sudah pasti kalian sendiri pernah merasainya. Di saat diuji anda pulang mencari Dia. Mengadu dan mengadu akhirnya Dia membuka jalan.

“…dan lelaki dan perempuan yang banyak menyebut Allah, Allah akan menyediakan untuk mereka ampunan dan pahala yang besar.”
(Al-Ahzab:35)

Kagum

Orang yang dilamun cinta akan memandang kekasihnya penuh ketakjuban, tiada cacat dalam dirinya. Semua terasa indah dan menarik pandangan matanya. Biar apa pun kata orang. Hanya dialah yang terbaik di mata kita.

Rasulullah bersabda , “Cintamu terhadap sesuatu dapat membuatmu buta dan tuli” (Riwayat Ahmad)

Inikan pula Allah adalah Zat Yang Maha Sempurna tiada cacat cela. Maka Allah pantas kita kagumi melebihi manusia yang penuh dengan kelemahan demi kelemahan. Rasulullah adalah khudwah dalam melayari cinta pada Allah. Baginda sangat mencintai Allah. Baginda cukup kagum dan terkesan dengan kalamullah. Bahkan pada suatu hari baginda ingin mendengar kalamullah dibacakan oleh insan lain agar penghayatannya lebih terkesan dihati.

“Bacalah untukku Al-Quran” pinta baginda kepada Ibnu Mas’ud pada suatu ketika.

Ibnu Mas’ud bertanya,” Wahai rasulullah, apakah saya akan membacakan Al-Quran kepadamu, sementara kepadamulah Al-quran diturunkan?”

Rasulullah bersabda,”Aku senang mendengar daripada orang lain selain diriku.”

Ibnu Mas’ud lalu membaca Surah An-Nisa hinggalah pada ayat

“Maka bagaimanakah (halnya orang-orang kafir nanti), apabila Kami mendatangkan seorang saksi(rasul) dari tiap-tiap umat dan Kamu mendatangkan kamu (Muhammad) sebagai saksi atas mereka.” (An-Nisa:41)

Tiba-tiba Rasulullah bersabda, “Cukuplah sampai di situ”

Ibnu Mas’ud mengangkat kepala dan memandang Rasulullah,”Ternyata, kedua mata beliau menitiskan air mata.” (HR Bukhari dan Muslim)

Begitulah kecintaan yang dari awalnya lahirnya kekaguman akan membibitkan kerinduan.

Redha


Tika kita diuji dengan ujian dan dugaan apapun oleh Allah, redha akan mengiringi. Inilah antara bukti cinta pada-Nya. Pejuang dan pencinta di jalan Allah akan sentiasa tulus dan ikhlas menerima semua risiko perjuangan dan takdir yang Allah tetapkan. Jauh sekali bibirnya menuturkan…

“Mengapa aku diuji sedemikian…”

Tapi apa yang akan ditutur,” Allah lebih mengetahui apa yang terbaik untukku. Biar apapun redha-Nya menjadi pelengkap hidupku”

Pengorbanan


Pengorbanan adalah bukti cinta. Tidak ada cinta tanpa pengorbanan. Seseorang yang tulus cinta akan bersiap sedia untuk mengorbankan dirinya untuk orang yang dicintai. Cinta pada Allah akan membentuk individu yang sedia meninggalkan kenikmatan lain untuk mendapat cinta-Nya. Hartanya, kesenangannya, tenaganya semuanya dikerahkan untuk meraih cinta yang hakiki. Begitulah hebatnya cinta. Sanggup berkorban apa sahaja.

Takut (Al-Khauf)

Seseorang yang mencintai akan merasa takut ditinggalkan oleh orang yang cintai. Hatta dia juga takut menguriskan hati orang yang dicintai. Tentu kalian pernah mendengar cerita Tsa'labah Bin Abdurahman. Beliau sangat takut dosanya mengundang murka Allah. Beliau takut Allah tidak mencintainya. Lalu beliau memencil diri memohon keampunan hingga akhirnya meninggal kerana takutkan Allah. Kita mahu jiwa seperti ini. Hati yang sensitif sekiranya melakukan maksiat terus menerus bertaubat. Alangkah indahnya seperti Tsalabah, dia dikenali oleh penduduk di langit dan di bumi kerana perasaan takutnya pada Allah. Moga keampunan buat kita juga. Takut ini dalam erti kata yang lain menyumbangkan kepada tingkatnya ketakwaan kita kepada Allah.

Berharap

Seseorang yang mencintai insan lain sudah pasti berharap agar cintanya itu diterima dan ia turut dicintai. Kerana cinta yang hanya 'bertepuk sebelah tangan', sungguh perit jika dialami. Dalam kisah Laila Majnun, Abu Qais Bin Al-Mulawwah mengharapkan cinta dari Laila dengan alunan syairnya

"Aku tidak akan pernah bertaubat untuk mencintaimu"

Itu cinta manusia apatah lagi orang yang beriman sudah pasti sangat berharap dicintai Allah swt, kerana Dialah sumber segala kasih sayang dan keredhaannya yang menjadi dambaan setiap hamba. Allah berfirman

"Katakan wahai Muhammad, "Jika kamu benar-benar mencintai Allah, maka ikutilah aku, nescaya Allah akan mencintaimu dan mengampuni dosa-dosamu." Allah Maha Pengampun Lagi Maha Penyayang"

(Ali-Imran : 31)

Mereka yang tidak mengenali Allah semestinya tidak menaruh harapan. Namun sebenarnya itulah kerugian yang nyata kerana hanya Dialah tempat kita berharap. Rasa harap inilah akan mengalahkan segala rasa putus asa, Pantang bagi seorang pencinta berputus asa mengharap rahmat dari Kekasihnya. Inilah sumber kekuatan seorang hamba untuk terus tabah menjalani kehidupannya.

Taat

Cinta akan melahirkan ketaaatan, kepasrahan.Orang yang beriman kepada Allah akan sentiasa taat kepada Allah. Inilah tanda cintanya. Sesekali tidak ingin berjauhan dari rahmat Allah.

"Wahai orang-orang beriman , taatlah kamu kepada Allah, dan taatlah kamu kepada Rasulullah dan kepada pemerintah di antara kamu...."

(An-Nisa : 59)

Mencintai kekasih

Mencintai apa yang dicintai kekasih adalah bahagian dari tanda cinta. Adalah tidak mungkin seseorang menyatakan cinta pada kekasih lalu dalam tindakan dan sikapnya menunjukkan perilaku yang bertentangan dengan kehendak orang yang dicintai. Allah sangat mencintai keimanan dan kebaikan, maka hamba-Nya yang soleh turut mencintainya. Allah sangat mencintai ukhwah, maka hamba-Nya yang soleh turut mencintainya. Allah sangat mencintai jihad maka hamba-Nya yang soleh turut mencintai jihad di jalan-Nya.

Ibnu Taimiyah pernah berkata

"Mencintai sesuatu yang dicintai kekasih adalah bahagian dari mencintai kekasih, dan ketahanan menerima risiko yang menyusahkan adalah sebahagian dari cinta kepada kekasih"

Justeru mari kita buktikan cinta kita. Kita sebagai umatnya perlu menyahut setiap seruan yang Allah gariskan agar kita dicintai oleh Allah dengan menghadirkan kelapan-lapan ciri ini dalam diri. Sama-sama kita realisasikan cinta kita kepada Allah bukan hanya meniti dibibir sahaja =)

Sumber rujukan : Buku Iman dan Mahabbatullah, Cahyadi Takariawan

Thursday, November 19, 2009

Coretan Zulhijjah 1430H

Bermulanya...penghayatan erti pengorbanan


Setinggi-tinggi kesyukuran dipanjatkan ke hadrat Illahi kerana dengan limpah kurnia-Nya dan rahmat kasih sayang-Nya, kita masih diberikan kesempatan untuk menghirup udara pada hari ini dan disampaikan Zulhijjah pada diri. Sungguh jauh dirasakan perjalanan seorang hamba mendamba kasih Rabbul Izzati akan tetapi cukup dekat sebenarnya Allah di sisi. Dalam persiapkan bekal ke negeri abadi, banyak kelemahan diri dan kesalahan yang tersingkap. Sungguh manusia itu lemah.

Imam Ahmad r.a. dari Ibnu Umar r.a, bahawa Rasulullah s.a.w bersabda,

“Tiada suatu haripun, amalan kebaikan padanya mempunyai kelebihan melainkan pada hari-hari 10 Zulhijjah ini, oleh kerana itu perbanyakkanlah padanya tahlil (La Ilaha Illa Allah), takbir (Allah Akbar) dan tahmid (Alhamdu Lillah)"

Oleh itu, sama-samalah perbanyakkan amal islami. Mungkin diantara kita terlupa Zulhijjah sudah menjelma. Leka diulit kesenangan dunia, dibaluti kesibukan bekerja. Di sini hadirnya entri untuk mengingatkan diri dan selebihnya antum semua. Berpuasalah, bersedekahlah, berzikirlah dan beramallah kerana Allah. Moga itu akan mendidik jiwa kita menjadi insan yang kuat di sisi Allah. Kita masih punya waktu dan masih punya situasi yang harmoni untuk kita maksimakan ibadah. Apa agaknya khabar teman-teman, saudara-saudara kita di Palestine? Bersyukurlah anda ketika ini dan berdoalah untuk mereka. Jangan dilupakan mereka di sana. Mereka korbankan nyawa demi deen tercinta. Kita? Nafsu sudahkah dikorbankan? Maksiat sudahkan ditinggalkan? Bahkan nafsu pula masih dimanja-manjakan. Ya Allah ampunkan kami....

Berakhirnya....


Alhamdulillah, munculnya Zulhijjah, berakhir juga round Forensik dan Tosikologi. Tak dapat tidak peperiksaan pula akan muncul. Mengharapkan doa Ummi, Walid dan adik-adik untuk mendoakn Along disini dan tak lupa juga pembaca-pembaca di sini.


23 Nov 2009 - Practical
25 Nov 2009 - Written

Di samping itu juga tak lupa ucapan khusus untuk adik Sinar, Sharifah Intan Liyana kerana beroleh kejayaan dalam UPSR beliau. Moga Allah rahmati usaha Intan dan dikurniakan kecemerlangan yang seterusnya. Moga berjaya juga temuduga nanti...

"Nak hadiah apa?" Tanyaku di pagi hari waktu Mesir, Malaysia sudah tengah hari.

"Tak tau la. Umi kata ikut Along, pastinya kena ikhlas," Balasnya sampai ketawa

"Hehe. Ikhlas ye...Pandai ye...Hadiah nanti-nanti ye =)"

Ceria sungguh dia. Moga itu yang terbaik untuknya. Along doakan sentiasa dari jauh. Moga kejayaan kita boleh disumbangkan pada Islam. Moga hari yang masih ada ini kita manfaatkan seluruhnya untuk mencari redha Allah. Rindu pula dibuatnya =). Moga Allah mudahkan urusan Walid dan Ummi dalam menguruskan dan mendidik kami. Buat adik-adik tercinta, walaupun kita tidak kaya harta, kita tidak kaya dengan harta yang menjadi kecintaan manusia biasa, biarlah hati kaya dengan iman kerana inilah yang mendidik kita menjadi manusia. Ingatlah sesukar mana pun dalam menempuh kehidupan, masih ada lagi yang hebat ujian dan dugaannya. Teruskan berjuang tanpa keluhan. Salam perjuangan dan pengorbanan. Inilah manifestasi kehambaan dalam mencari redha Tuhan, Dia Rabb Yang Menciptakan...

Tuesday, November 17, 2009

~::Glow With Flow::~

Apabila kembara kehidupan dipenuhi dengan ilmu, pasti akan ada cabaran-cabarannya tertentu. Bidang perubatan pula pastinya memerlukan komitmen dan kejelasan matlamat untuk meneruskan ‘survival’ dalam bidang ini. Ada pepatah mengatakan‘Tak kenal maka tak cinta’. Maka begitulah konsepnya apabila kita kurang mengenali medan yang bakal kita ceburi dan berjuang, impak untuk kita terus berdiri dan cemerlang di jalan ini adalah kurang. Maka persiapan itu perlu dan mesti dilaksanakan. Bak kata salah seorang panel, "Tak kenal maka tak cinta. Dah kenal tak semestinya cinta..." Boleh difikir-fikirkan =)

Jika kita amati manusia sebenarnya dilahirkan tanpa ilmu berbekal di dada tetapi tidak dapat dinafikan keinginan untuk mencari dan mengkaji sesuatu yang tidak diketahui wujud dalam diri manusia. Lalu dari sehari ke sehari akan bertambah pengetahuannya. Perasaan ini kadang kala ada pasang surutnya. Tambahan pula sebagai warga PERUBATAN kita mudah berputus asa di pertengahan jalan dalam mengejar cita-cita bergelar mukmin doctor. Ekoran itu inisiatif supaya semangat ahli terus membara dan cemerlang di dalam akademik seterusnya memperkasakan ilmu yang dimiliki, Orientasi akademik atau "Glow with Flow" ini diadakan sebagai pemangkin bagi meneruskan perjuangan di medan ini.

Firman Allah swt yang bermaksud “Dan Allah mengeluarkan kamu dari perut ibumu dalam keadaan tidak mengetahui sesuatu pun dan memberikan kamu pendengaran, penglihatan dan hati agar kamu bersyukur,” (An-Nahl : 78 )

Apa itu FLOW?

Feel free from stress

Let learn from past

Optimum your tasks

Worth on shot & Then we see


Moga dengan usaha yang sedikit ini, Allah terima sebagai amal untuk akhirat sana. Kita perlu jelas. Matlamat sebenar kita diciptakan adalah menjadi khalifah di muka bumi. Bidang kedoktoran hanyalah medan untuk kita laksanakan tuntutan sebagai khalifah Allah. Tidak dapat tidak suruhan dan larangan Allah perlu di ambil kira. Bahkan tiada kemuliaan menjadi doktor andai Allah kita ketepikan. Siapalah kita tanpa Allah....

Sekadar berkongsi serba sedikit tip kecemerlangan oleh Abang Faizal, selaku senior yang sedang menghabiskan bidang kedoktorannya di tahun 6. Sebagai seorang bakal doktor, pelajar perubatan perlulah memiliki PPRAEIB. Apa tu agaknya

P - Proactive

P -Prioritize

R -Resource

A -Admit mistakes

E -Emotionless

I -Independent

B-Be Fit

Ciri-ciri ini kalau dihuraikan, semuanya ada kepentingannya tersendiri. Menjadi seorang pelajar perubatan anda tidak boleh statik dan tunggu disuap, anda harus proaktif dan berdikari dalam mencari ilmu. Melengkapkan diri dengan pelbagai kemahiran itu perlu memandangkan kita di luar negara kekurangan skill tertentu berbanding pelajar di Malaysia.

Sibuk? Itu istilah biasa dikalangan pelajar perubatan. Lali juga ketika mendengar kalimah ini, tapi sekali dihimpit waktu, memang parah dibuatnya. Maka disini perlunya kita bijak memilih keutamaan. Keutamaan yang bagaimana, insyaAllah akan Sinar kupaskan dalam entri seterusnya di masa hadapan. Nantikan Perubatan Oh Perubatan 2 !! =)

Bidang kedoktoran sememangnya merupakan bidang yang sentiasa berkembang. Dari sehari ke sehari akan ada pelbagai penemuan dan kajian malah rawatan ditemukan. Maka tidak dapat tidak kita perlu sentiasa mengupdate diri dengan pelbagai sumber untuk terus maju kehadapan. Sekaligus menjadi doktor yang berilmu dan berwawasan.

Emotionless? Bukanlah kita meletakkan diri kita langsung tidak beremosi. Ada ketika kawalan emosi itu perlu. Anda selaku 'Bakal Doktor' kena tabah. Anda kena apa? Kena tabah... takkan nak menangis selalu... Pesakit anda memerlukan nasihat daripadamu...Oh..inilah yang Sinar perlu gilapkan lagi....

Dan akhirnya...Alhamdulillah..Alhamdulillah...Alhamdulillah...Selesai sudah program orientasi akademik dengan jolokan nama Glow with Flow. Syukran pada yang terlibat dalam menjayakan program ini. Dari 6hb, 13h, 14hb dan 16hb November bertungkus lumus agar program dapat berjalan dengan baik. Tanpa komitmen yang antum berikan masakan dapat berprogram sedemikian. Kami selaku pihak penganjur memohon ribuan kemaafan di atas segala kekurangan.
14 November 2009

Antara yang menarik perhatian...Nyum nyum !!

Bila Srikandi Sunan berbicara...

Syukran atas nasihat dan perkongsian....

16 November 2009

Barisan panel yang disegani. Syukran menerima pelawaan kami

Kusyuk mereka mendengar

Apa lah yang menarik sangat tu...???

Semangat !!

Sunday, November 15, 2009

Melahirkan faham...

Hari ini daku melangkah semula ke Markaz Arabi (Pusat Tuisyen Bahasa Arab) ingin merancang perjalanan kelas Bahasa Arab seterusnya. Maka sempatlah kami menumpang barang ketika dengan adik-adik tahun tiga.

"Cuba antum i'rab kalimah ini"

"Macam mana nak i'rab, tak paham pun makna ayat ni," Mula tergaru-garu kepala yang tidak gatal. Kelihatan teman-teman lain juga sedang berusaha mengi'rab kalimah ini. Jawapan kami semua hampir sama.




Namun ustaz dgn bangga datang ke meja..dan memangkah jawapan kami dengan PEN MERAH...
Terkejut...salah tang mana...???

"Antum paham tak makna kalimah ni?" tanya ustaz. Mengeleng kami dibuatnya.

"Dah tu kenapa pi i'rab?" senyum je ustaz, " Ni bukannya bahasa Arab, bukan bahasa, hanya menyamai bahasa arab. tak da makna pun." Aduh terkena.

Benarlah tadi juga baru ustaz kata,"Belajar Nahu kena menggunakan aqal bukan ikut bentuk ayat bulat-bulat. Nanti kamu akan mudah terperangkap."

Justeru, yang penting, faham makna ayat baru boleh i'rab. Bahasa Arab lain. Unik !! Dan begitu juga Islam. Islam adalah agama bahkan cara hidup yang unik dan menyeluruh. Tanpa kefahaman dalam Islam takkan lahirnya penghayatan yang menyeluruh. Aqal diperlukan untuk memahami setiap subjek kehidupan. Manusia juga unik ! Maka perlu kepada pemahaman jiwa manusia itu sendiri.


Peripentingnya kefahaman

Tanpa ilmu tanpa kefahaman inilah saham untuk menjatuhkan jatidiri dan tatacara manusia dalam kehidupan. Cerita di atas mengingatkan diri akan peripentingnya faham dalam apa jua perkara agar kita tidak bertindak membabi buta. Kita perlu faham agar kita boleh mengatur langkah. Tidak sekadar mengikut logik kepala. Nahas jawabnya. Tidak tahu, perlunya bertanya. Tidak tahu perlu rujuk mereka yang arif dan panduan lengkap lagi sempurna.

Maka tidak akan jadi Islam anutan dan Islam warisan. Jika ini berlaku dari sinilah kehancuran akan bermula. Kita solat, kita bayar zakat, kita puasa tapi semuanya dijalankan dalam keadaan terbiasa, dalam keadaan mak ayah kita pernah lakukan. Maka konsep solat mampu mencegah kemungkaran dan mengajak kebaikan tidak teraplikasi dengan sebaiknya, kerana ada pemisahan dalam kita beribadah dan merasai kebersamaan dengan Allah (Muraqabatullah). Jadilah manusia yang solat tapi bercouple pun hangat juga. Kerana tidak benar-benar faham apa yang Islam bawa. Islam itu bukan ikut-ikutan tapi lahir daripada kefahaman dan penghayatan. Itulah beza mereka yang mengenali Islam berdasarkan kajian, lalu faham dan hayati dari kita yang keluar lihat bumi sudah melihat ajaran Islam dalam keluarga.




Tak salah sebenarnya dilahirkan dalam keluarga Islam. Itu satu peluang keemasan. Namun ramai ketika ini telah melupakan tarbiyah Islamiyah atau proses didikan Islam dalam keluarga. Lupa membangkitkan kesedaran sebenar dalam beribadah dan tujuan hidup di muka bumi. Usaha kearah faham itu perlu sepertimana yang digariskan oleh Imam Hasan Al-Banna dalam Risalah taalim tentang FAHAM

"Dan katakanlah (wahai Muhammad): Bekerjalah kamu (akan segala yang diperintahkan), maka Allah dan RasulNya serta orang-orang yang beriman akan melihat apa yang kamu kerjakan; dan kamu akan dikembalikan kepada (Allah) Yang Mengetahui perkara-perkara yang ghaib dan yang nyata, kemudian Dia menerangkan kepada kamu apa yang kamu telah kerjakan."
(Al-Taubah: 105)

"Dan bahawa sesungguhnya inilah jalan-Ku (agama Islam) yang betul lurus, maka hendaklah kamu menurutnya; dan janganlah kamu menurut jalan-jalan (yang lain dari Islam), kerana jalan-jalan (yang lain itu) mencerai-beraikan kamu dari jalan Allah. Dengan yang demikian itulah Allah perintahkan kamu, supaya kamu bertaqwa. (Al-An‘am: 153)

Memahami subjek bernama manusia

Dalam melayari bahtera kehidupan, tidak dapat tidak kita akan berlegar di sekitar permasalahan dan subjek bernama manusia. Manusia itu ibarat mangga setiap satunya ada kunci tersendiri. Ingin menyentuh hati perlu ada kunci untuk membuka hatinya. Lihatlah manusia dengan pandangan kasih sayang. Maka kita tidak akan putus asa menghadapi kerenah manusia. Kita berlapang dada dan kekuatan ini mohon pada Allah diberikan pada kita.


"Barangsiapa memandang saudaranya dengan pandangan penuh kasih sayang, maka Allah akan mengampuni dosa-dosanya"

Indah bukan! Dalam mengenali subjek bernama manusia kita harus bersabar. Allah menciptakan manusia dengan pelbagai naluri dan fitrahnya tersendiri. Fitrahnya ingin kebaikan maka Allah sediakan satu manhaj kehidupan. Fitrah manusia tidak boleh bersendiri maka dijadikan satu kelompok manusia dan setiap satunya diciptakan berpasang-pasangan. Hidup itu ujian. Manusia kadangkala terperangkap antara fitrah dan keinginan nafsu yang membara. Disinilah gunanya peringatan dan sahabat-sahabat lain sebagai pelengkap kehidupan. Kita sentiasa perlukan peringatan dan sokongan IMAN.

"Bersabarlah kalian bersama-sama dengan orang yang menyeru Rabbnya di pagi dan senja hari dengan mengharapkan redha Allah, janganlah kedua mata kalian berpaling daripada mereka kerana mengharapkan perhiasan dunia ini dan janganlah kalian mengikuti orang yang hatinya kami telah lalaikan dari mengingati kami,serta menuruti hawa nafsunya dan adalah keadaan itu melampaui batas"
(Al-Kahfi: 28)

Carilah teman-teman yang mengajak kepada kebaikan kerana dengan izin Allah berupaya mengubat hati di kala lara. Mereka menguatkan kita dengan kalam Allah ketika kita lemah. Mengingatkan kita akan janji-janji Allah. Mengingatkan kita akan keperluan rasional berbanding emotional. Masakan kita ingin menjauh dengan sahabat sebegini kerana Allah bersama orang-orang yang bersaudara.

Kefahaman yang dicari

Moga kesabaran Allah kurniakan dalam memahami apa itu kehidupan. Akhirul kalam, hakikatnya kefahaman itu milik Allah juga. Pada-Nya kita pohon agar lahirnya faham dalam menterjemah dan menghayati kehidupan.

"Ya Allah jauhilah kami dari kebingungan dan kurniakan kami dengan cahaya ilmu dan kefahaman"...Ameen...

Wednesday, November 11, 2009

Cinta Antara Dua : Penawar atau Racun Berbisa...

Buku "Clinical Toxicology" dibuka. Pensyarah pula sudah bersemangat untuk memulakan kuliah.

"What is poison?" tertera ayat ini di slide show yang di bentangkan oleh pensyarah.

"It is the substance that affect health or causes death"

"All substances known to man are poison and only the dose determines the effect. EVEN LOVE"


LoVE!!! Bulat mata dibuatnya dan riuh dewan kuliah sebaik sahaja doktor memulakan general toxicology pada hari itu. Daku mengangguk sambil turut menggeleng sebarang dua. Senyum sendiri. Tak sangka LoVE pun ada dalam silibus. =) Bagus juga. Bijak Prof menarik fokus anak muda remaja ini. EVEN LOVE ! Mungkin ada benarnya. Toksidkah cinta? Jom kita berbincang sambil mem'buka mata'. Mohon ditambah pendapat dan pencerahannya. =)

Merenung kalimah cinta

Alhamdulillah, setelah melalui hari yang silih berganti, subjek Forensik dan Toxicology menjadi saksi bahawa cinta itu punya kuasa tersendiri, punya kekuatan terampuh bahkan keterikatan yang erat di antara hati yang dipanah cinta mampu merealitikan fantasi, hati yang dulunya hidup boleh terpatah mati. Bermacam kes jenayah boleh terjadi kerana cinta. Itulah penangan cinta. Bila tidak dipandu manusia hilang arah. Bila putus cinta, bangunan tinggi jadi pilihan untuk jadi saksi. Na'uzubillah.


Adakah seperti ini kita mendefinasikan cinta?

Memetik erti cinta hasil tulisan dan nukilan Murabbi tersayang Ustazah Khairol Badriah ;

"Erti cinta mempunyai kaitan yang sangat rapat dengan emosi, mempunyai perasaan yang sangat halus serta dilingkungi oleh kecemburuan yang tiada batas. Kesemuanya melahirkan pengorbanan yang kadang kala tidak terjangkau dek pemikiran manusia"


"Cinta itu melahirkan kedamaian dan ketenteraman. Selain itu cinta melahirkan kerelaan dan kepasrahan untuk menanggung pelbagai ujian, bahkan cinta melahirkan kesiapan untuk berkorban. Dengan cinta semua cubaan terasa ringan. Namun kerana cinta juga kecemasan dan rasa takut ditinggalkan pun mengharu-birukan perasaan"

Begitulah ertinya cinta. Susah bukan untuk mendefinasikan cinta. Bukan satu atau dua perasaan yang timbul tapi 'multiple' , pelbagai!

Cinta, Pengubat lara

Di sini cinta akan penjadi penawar. Cinta yang mana ketika kita asyik dengannya, hati kita akan bertambah kusyuk. Khayal dengannya membenih rasa bahagia. Cinta yang benar adalah apabila cinta itu menjadi wasilah atau jalan untuk meraih cinta Allah. Cinta pada ibu bapa, cinta pada sahabat, cinta pada sanak saudara hatta cinta pada suami dan isteri akan menjadi mulia bila mana digariskan dengan neraca Allah. Maka akan hilanglah rasa benci, hilanglah rasa dengki bahkan hati akan sentiasa ceria dan hidup dengan harmoni. Erti cinta seperti mana erti hidup lebih mengutamakan konsep memberi dan memenuhi komitmen, bukanlah menuntut hak peribadi.

Justeru cinta yang menjadi penawar resah dan gelisah ini hanyalah cinta pada Allah. Dialah cinta hakiki buat pejuang di jalan Allah. Jika kita merasai cinta pada Allah, kita akan ingin berkongsi. Lalu cinta pada Allah adalah milik umum. Maka terjadilah penyebaran kebenaran dan mencegah kemungkaran. Islam untuk semua.

Hijab cinta



Batasnya cinta sukar didefinasikan dengan kata-kata. Mampu melangkau garisan pancaindera bahkan apa saja. Lihat sahaja kekuatan cinta antara lelaki dan wanita. Di sini cinta teruji. Cinta tika ini perlu dihijab dengan iman dan rasa takut pada Allah. Kalimah cinta antara dua insan hanya termeterai apabilah lafaz "aku terima nikahnya" di lafazkan. Hubungan yang tidak syarie adalah kejahatan dan fitnah besar kepada kesucian cinta. Bersabarlah dalam meniti onak duri. Jangan diikut resmi nafsu, di sini cinta bertukar menjadi racun yang membinasakan. Bukan salah cinta tapi salah orang yang mengaplikasikan konsep cinta. Ingatlah cinta itu fitrah, suci dan murni. Tapi hari ni manusialah yang mengotorinya.


"Sesungguhnya Allah mencintai orang-orang yang bertaubat dan mencintai orang yang menyucikan dirinya"

(Al-Baqarah : 222)

Hijabkan nafsumu dengan mengutamakan cinta dan takwa pada Allah. Hargailah cinta kepada manusia dengan pandangan dan cinta pada Allah. Moga fitrah yang tercipta dipandu ke mahligai abadi di akhirat sana.
Allah itu Maha Menyintai dan mencintai orang-orang yang saling mencintai kerana-Nya

Cinta menjadi racun yang tersisa

Apabila nafsu didahulukan, Allah diketepikan saat inilah, cinta akan menjadi racun yang membinasa. Toksid berbisa yang memakan diri manusia secara beransur-ansur. Tanpa cinta akan hilanglah perikemanusian, hilanglah rasa kehambaan dan hilanglah rasa saling mengasihi sesama insan.

Bahkan cinta berlebihan beralaskan nafsu syaitan akan mengemudi ke jalan kesukaran dan menempah kemurkaan. Maka lahirlah gejala sosial yang sukar dibilang dengan jari. Moga Allah lindungi cinta kita. Biar apapun, cinta Allah itu utama dan semua cinta dan perasaan yang hadir disandarkan pada Allah Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyanyang. Moga Allah pelihara rasa cinta kita pada manusia di sekeliling kita.

Sunday, November 08, 2009

Jadilah Pemuda Kahfi

Buku adalah sebaik-baik teman di kala kita kesunyian. Kita mungkin tertawa, terdiam dan bahkan air mata mampu mengalir. Justeru Sinar tidak melepaskan peluang untuk membeli beberapa buah buku pada cuti yang lepas sebagai teman dan bekalan sepanjang perjalanan kehidupan. Keterujaan melihat pelbagai jenis buku menyebabkan Sinar rambang mata. "Berbaloi!" kata anak muda. Biar wang yang ada dioptimumkan ke arah mencari redha-Nya. Membeli bukanlah sekadar menjadi hiasan di rak buku tapi menjadi santapan ruhani di kala hati gersang dengan siraman tarbawi. Maka pada kali ini, Sinar ingin berkongsi sebuah buku yang harus dimiliki oleh pemuda-pemudi yang masih teraba-raba mencari identiti dan tidak lupa buat rijal dan srikandi yang ingin perkasa diri. Jujurnya Sinar cukup tersentuh dengan kalam-kalam yang ditulis oleh Dr Aidh Abdullah Al-Qarni di dalam buku ini. Maklumlah buku La Tahzan terlebih dahulu menambat hati kepada tulisan-tulisan beliau. Memang ini yang Sinar perlukan saat itu. 'Booster dose' untuk menyuntik kembali diri dalam keadaan sedar agar tidak beramal hanya kerana semangat.

Inilah ekspresi cinta seorang ulama kepada pemuda

Kitakah pemuda itu...?



"Ke mari, ke marilah!

Kita akan mengukir cinta,

sebuah janji setia dengan derasnya air mata

yang akan membersihkan segala penyakit dan dosa.

Ke mari, ke marilah!

Kita perbaharui janji setia itu di dalam hati.

Kami mendatangimu dengan penuh sukarela

dan kami akan membalasimu dengan cinta"


Menitik air mata saat membaca...Mengubat jiwa...Betapa ulama sebegini cukup menyayangi kita sebagai pemuda. Walaupun diusia ini, kita banyak menimbulkan isu dan memberatkan golongan tua tambahan pula kita sering lupa dan tidak ambil peduli nasihat yang diberikan, mereka tidak pernah lupakan kita, tidak pernah mengabaikan kita. Kita juga tahu masa muda hanya sekali. Istilah 'Enjoy dulu' sudah terbiasa meniti di bibir remaja masa kini. Tapi penyesalan di hari tua, jika dibayangkan cukup memedihkan hati sendiri. Sungguh ingin ber'enjoy' seperti remaja masa kini adalah persepsi yang salah. Sangat bertentangan dengan generasi awal ketika menikmati kemuncak manisnya usia bergelar remaja. Mereka bukanlah menjadikan rokok itu teman,tetapi perjuangan itulah teman sehidup dan semati. Lihat saja Khubaib Bin Adi dalam mempertahankn agama. Ikrarnya agar biar dirinya sahaja disakiti dan Nabi Muhammad sekalipun tidak dibiarkan kena duri itu cukup mengerunkan musuh yang mendengar. Adakah kita digeruni oleh musuh atau kita menjadi pengikut mereka? Dayuskah kita?

Sheikh Hafizh Al-Hakami rahimahullah seorang ulama Saudi pernah mengatakan," Bersabarlah terhadap larangan-larangan Allah, dan mintalah pertolongan dan bersyukurlah kepada-Nya"

Menyekat diri daripada melakukan maksiat dan larangan Allah itu memerlukan mujahadah. Maka bersabarlah untuk terus berjuang kerana di situ Allah janjikan kemanisan di pengakhiran.

Merungkai persoalan & permasalahan pemuda

Sesungguhnya permasalahan generasi muda dewasa ini sangat banyak. Tidak terbilang dek jari sebenarnya. Namun semua ini tidak dapat diselesaikan melainkan melalui proses tarbiyah ataupun proses mendidik hati dan nurani. Sembilan permasalahan yang harus kita renung-renungkan dan kita perlu cipta perubahan adalah :

  1. Lemahnya iman
  2. Kurang bersungguh-sungguh
  3. Waktu tidak dimanfaatkan dan suka buang masa
  4. Tergesa-gesa dalam tindakan
  5. Tutur kata yang kasar
  6. Dosa sebagai penghalang
  7. mengasingkan diri daripada masyarakat
  8. Muslimah enggan berdakwah
  9. Cetek ilmu pengetahuan

Mendedahkan permasalahan tanpa usaha penyelesaian adalah sia-sia. Ayuh analisis diri. Kita jadi aset untuk membangunkan ummah. Buat muslimah, peranan wanita amat besar dalam institusi dakwah. Masakan lahirnya peribadi seperti Khansa', Asma Bin Abu Bakar, Nusaibah dan para sahibah yang lain dalam rentetan perjuangan andai kita tidak diperlukan. Maka tiada lampu merah buat kaum Adam mahupun Hawa dalam perjuangan mencari redha Allah. Risalah Islam harus disebarkan.

Pemuda Islam, Bercita-citalah


Pemuda itu seharusnya sentiasa berwaspada dan membina keyakinan diri. Persoalkan diri dengan peranan pada ummah. Layakkah generasi Islam diperolok-olokkan. Risalah Islam dihina-hinakan. Sosok Junjungan Nabi Muhammad yang kita cintakan dipermain-mainkan. Sungguh tidak adil andai kita berdiam diri.Bila mana sensitiviti kita hilang maka persoalkan kembali ditahap manakah status iman?

Umar bin Khattab berkata, " Sesungguhnya aku melihat seorang lelaki yang tidak melakukan aktiviti duniawai dan tidak juga beramal untuk akhirat, maka orang seperti ini akan jatuh dari pandanganku (tidak berharga bagiku).

Dunia, ladang pemuda


Dunia, di sinilah kita membenih cinta, kita membaja impian agar tercapai cita-cita yang ingin dilakarkan. Cukup meninggalkan kesan ajakan Dr Aidh kepada generasi harapan Islam bagi diri ini.

" Wahai generasi harapan Islam! Sesungguhnya kebahagiaan itu letaknya dalam istiqamah dan beramal soleh"

Amal itu untuk membantu kita di akhirat kelak. Dunia menjadi ladang agar hasil tuaian boleh dinikmati di negeri abadi. Inilah masanya meningkatkan keimanan dan ketakwaan. Sesungguhnya Allah tidak akan mensia-siakan insan yang menjaga ketakwaan pada-Nya. Rasulullah pernah berwasiat kepada salah seorang sahabat, Abdullah Bin Abbas namanya,

"Peliharalah Allah, nescaya Allah akan memeliharamu"

InsyaAllah, cukup sekadar ini yang dapat Sinar kongsikan. Moga ada kebaikan untuk kita bersama. Bangkitlah ! Bangkitlah, wahai pemuda-pemudi harapan Islam! Sama-sama muhasabah dan teruskan melangkah. Wallahu'alam.

NB

  • Doakan agar dipermudahkan exam Forensic pada minggu ini.
  • Moga berita gembira yang diketahui pada hari ini akan diberkati Allah hingga ke akhirat nanti.