BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS »

Thursday, July 29, 2010

Perjalanan mengenal-Mu, saifi yang terisi

Kepulangan Sinar ke Malaysia sebenarnya punya hajat yang tinggi. Agenda terbesar diri adalah ingin melihat raut wajah mereka yang pernah mendidik diri dan mereka yang secara tidak langsung menjadi khudwah pada diri ini. Justeru dalam meningkatkan kualiti iman juga, program tarbawi harus Sinar ikuti. Inilah peluang yang Sinar nantikan. Walaupun Mesir itu lubuk ilmu dan pelbagai program ilmiah, namun suasana tetap berbeza. Punya daya tarikan dan sentuhan tersendiri.

Bermanfaat atau tidak cuti kita ditentukan oleh tangan kita. Seeloknya biarlah kita merancang sebaiknya. Tapi jangan kita lupa, Allah itu sebaik-baik perancang. Mungkin sahaja inilah peluang terakhir kita bersama keluarga dan kenalan di Malaysia. Jadi janganlah kita sia-siakan masa yang ada. Tidak dinafikan banyak program yang bertindih apatah lagi kenduri-kendara. Maklumlah masing-masing ingin mengejar sya'ban yang berbaki, apabila Ramadhan tiba makan minum sudah pasti jauh sekali. Maka di sini Sinar seawalnya ingin meminta maaf kerana tidak dapat hadir ke beberapa kenduri. Sungguh dari jauh kumendoakan kebahagiaan kalian.

Forum Lifeline4Gaza : Have We Ended The Seige?


Pada 26 Julai sekali lagi kuprogram diriku. Kali ini ke UIA Gombak. Di sinilah berpeluang melihat sendiri 2 insan yang terlibat dalam misi bantuan kemanusiaan LL4G. Sememangnya ini merupakan salah satu hajat apabila pulang ke Malaysia. Dan akhirnya sempat mendengar pengisian dari mereka. Alhamdulillah. Melihat kesungguhan mereka menyebabkan aku malu sendiri. Walaupun kurasakan mereka penat namun sangkaanku salah. Bahkan semasa mereka berucap mereka cukup semangat sekali. Mereka cukup bertenaga untuk menyampaikan kalimah yang Hak. Perkongsian yang hidup. Sesungguhnya mereka telah meletakkan badge mark yang tinggi untuk anak-anak muda menyumbang tenaga pada Islam.


Bohonglah kiranya kita tidak terasa jika saudara kita diapa-apakan. Justeru perasaan inilah yang Tuan Haji Noorazman dan Dr Syed ingin kita rasai. Apabila menjiwai kalimah "Tiada Illah melainkan Allah" wajib kita merasai setiap Muslim itu saudara, Hendaklah kita mencintai mereka seperti mana kita menyintai diri sendiri. Isu Palestine bukan isu ahli Gaza sahaja tapi isu kita. Isu buat mereka yang hidup hatinya.


Jalan-jalan tambah iman

Ke mana agaknya boleh kutambah iman?

31 Julai - Kenduri Naimah dan Abang Israq (Maaf tidak dapat hadir)
1 Ogos - Kenduri Balqis & Fitri (Maaf tidak dapat hadir)
1 Ogos - Menuju ke utara Malaysia
7 Ogos - Program Perantau 2010
8 Ogos - Back to Selangor
9 Ogos - Lapor diri di Hospital Ampang. Latihan elektif selama 3 minggu.
Sept - Perlis (Raya 1) - Terengganu (Raya 2) - Kenduri - The Zaad -

akan disambung... (^_^) Aih la jadi suri rumah sementara ni... Makan makan makan

Tuesday, July 27, 2010

Ukhwah Itu Indah, Gen 11 di hati

Manusia takkan pernah mampu hidup sendiri. Paling tidak dia memerlukan Yang Maha Pemurah dan Penyayang untuk memerhatinya dan memenuhi hajatnya. Paling kurang dia memerlukan teman dalam mengemudi hidupnya. Sendirinya dia di dalam kubur pun masih bertemankan cacing dan serangga tanah. Hidup di dunia pastinya memerlukan teman untuk diajak mengenal Allah dan membangkitkan iman bersama. (^_^)

Hidup ini tidak lengkap tanpa teman-teman di sisi. Saban hari ada sahaja, kenalan baru yang kita miliki. Apatah lagi, sahabat seperjuangan dari kita kecil cili padi. Justeru pada entri kali ini, ingin sekali berkongsi kenangan terbaru bersama teman-teman seperjuangan Sinar di MATRI. Sahabat yang dahulu menongkah onak duri. Sahabat yang dahulunya beralaskan lengan tidur jamaie. Indah rasanya kalau dikenang-kenangkan. Akhirnya pada 24 dan 25 Julai, ukhwah ini dimekarkan kembali. Walaupun sedikit bilangan yang dapat hadir. Tapi, kegembiraan dan kebahagiaan bermusafir dengan mereka hanya Allah yang tahu. Tidak mampu digambarkan dengan kata-kata.

Ukhwah itu indah, yang lama bertaut kembali

Meningkat dewasa, yang dulunya belajar degree sekarang sudah master. Yang dulu belajar universiti kini sudah bekerja. yang dulu bujang, anak dara kini sudah berumahtangga, bergelar isteri buat suami tercinta. Senyum tak lekang bila memerhati sorang sorang teman. Rindu melihat mereka. Bahgia melihat mereka gembira.




Walaupun sudah 5 tahun meninggalkan bumi wakafan tercinta, memori di sana masih segar dalam ingatan. Allah izin kini jasad kami bertemu semula. Walaupun dulu pernah sahaja kami 'bergusti' kini kami mampu berdakap mesra, bertepuk tampar bersama. INDAH...

Berukhwah = Berkongsi rasa hati

"Tiada suatu kebaikan pun yang dianugerahkan kepada seorang hamba sesudah Islam, selain dari saudara yang soleh. Apabila seseorang di antara kamu merasakan sentuhan kasih sayang dari saudaranya, maka hendahlah ia berpegang kepadanya."

(Umar Al-Khattab)

Itulah antara kata-kata yang perlu kami hafal sebagai tugasan dalam permusafiran ini. Ada hikmah yang perlu kami ungkai dan cerna. Kerana sayanglah, kami bertemu. Di sinilah kami berkongsi rasa hati. Kami saling lengkap melengkapi. Sungguh diri dilanda rindu. Rindu akan saat kami bertemu. Mahu sahaja diputar masa bersama kalian tempoh hari.


Miss photogs' berdedikasi

Antara 3 laman untuk menyuburkan ukhwah adalah dengan bermusafir, makan bersama dan tidur bersama. Alhamdulillah, kombinasi 3 laman ini terdapat dalam reunion kami. Malah kami sempat main masak-masak. Program ini juga sedikit survival memandangkan kami terpaksa bergerak dengan beg yang berat dari satu destinasi ke satu destinasi dan pelbagai kisah lucu di sepanjang perjalanan. Ada yang terjatuh mengejar lrt, ada yang tersalah stesen. Macam-macam hal, tapi mengundang senyum di bibir kami. Bukan selalu boleh berjalan sebegini.


Hasil main masak-masak

Bahkan, dari perjalanan inilah, Sinar rasakan peri pentingnya kita 'bergerak' dalam mencari nilai hidup yang Allah kehendaki. Hidup tidak boleh statik. Kita hanya akan berjaya dan merasai manisnya kehidupan bila kita berusaha untuk memenuhi kehendak Allah dalam menyuburkan iman.

Perubahan yang perlu diarahkan.

Sudah pasti pertemuan ini tidak kami sia-siakan. Inilah salah satu proses tarbiyah. Tarbiyah bukan hanya di dalam usrah, bukan hanya dalam halaqah dan tamrin. Sepanjang hidup kita adalah tarbiyah. Sembang-sembang kita juga adalah tarbiyah. Tarbiyah itu membentuk diri kita yang sekarang dan masa hadapan.


Bulatan ini segar dalam ingatan

Hari terakhir kami ceriakan pagi dengan sedikit perkongsian bersama. Diberi amanah untuk memberi pengisian membuatkan hati terharu sebenarnya. Diri Sinar penuh kelemahan yang Allah sembunyikan. Namun Alhamdulillah Dialah yang mengerakkan lidah ini untuk berkata-kata. Tajuk Perubahan menjadi pilihan.

Hidup ini akan sentiasa mengalami perubahan. Bila sudah lama tidak bertemu, pelbagai perubahan dapat kita lihat. Samada yang zahir mahupun yang tersembunyi.

Suka Sinar mengingatkan diri dengan kata-kata Imam Ghazali

"Lemahnya hati tanda lemahnya Iman"

Itulah yang perlu kita cakna dan ambil berat. Kondisi hati kita. Sihatkah hati kita? Hatilah tempat letaknya perubahan diri. Kuatnya hati kita menjadi raja pada perlakuan kita, perkataan kita. Untuk mengarahkan diri terhadap perubahan 3 aspek yang perlu kita hadapi.

  1. Pengorbanan
  2. Kesediaan berubah
  3. Ujian

Bila mana kita ingin berubah. Perlu ada pengorbanan. Pengorbanan yang bagaimana? Pengorbanan untuk menolak kehendak nafus, menangkis bisikan syaitan yang membantutkan perubahan diri untuk mencari redha Illah. Bahkan diri perlulah bersedia untuk berubah serta punya motivasi yang tinggi. Namun dalam perjalanan menjadi hambanya yang soleh dan solehah, kita takkan lepas dari ujiaan. Berapa ramai Allah uji dengan ajakan'bercouple', dan ajakan ke tempat-tempat maksiat, namun kerana hati yang disuntik dengan iman mampu menangkis semua itu. Justeru dalam meniti hidup ini, jika ingin perubahan yang terarah pada Allah, pilihlah teman, berukhwahlah dengan insan soleh. Itulah guna teman ataupun sahabat. Mereka tidak menginginkan kita terjunam di lubang neraka. Jangan menjauh walaupun diri terasa kekurangan. Sedarlah bahawa setiap manusia punya kelemahan. Justeru di situlah kita berukhwah untuk saling menguatkan.

Janganlah kita menjadi seperti firman Allah:

"Pada hari itu sahabat-sahabat karib: setengahnya akan menjadi musuh kepada setengahnya yang lain, kecuali orang-orang yang persahabatannya berdasarkan taqwa (iman dan amal soleh"

(Az-Zukhruf: 67)

Kita tidak mahu, apabila di akhirat nanti, sahabat kita menuntut haknya kerana kita tidak menjalankan amanah sebagai sahabat untuk saling lengkap melengkapi. Mengenangkan ayat inilah, hati terusik untuk benar-benar menghangatkan ukhwah ini dijalan yang Allah redha lagi diredhai.

Melihat pewaris generasi ke-11

Tidak cukup berharap dengan ukhwah sesama kami, hati ini rasa cukup tenang saat melihat, batch kami juga sudah ada pewaris seterusnya. Moga lahirnya permata ini mampu meneruskan kerja Islam yang ibu dan ayahnya lakukan. Bahkan meneruskan ukhwah sesama anak kami di masa hadapan =) Geram sungguh melihat anak-anak yang comel ini.


Jauh sudah perjalanan. Moga pertemuan dan ziarah kita ini mendekatkan diri dengan Allah. Sama-sama bergandingan dalam saf perjuangan mencari redha Yang Maha Pengasih dan Penyayang.


Srikandi 11 akan teguh berdiri, jika Allah tujuan abadi
Uhibbukumfillah (^_^)
Moga bertemu lagi...

Monday, July 26, 2010

Sabar & Syukur



Hidup ibarat roda. Adakala kita di atas, ada kala di bawa.

Hidup ibarat cerita. Ada berita gembira, ada berita duka.

Sabarlah kita bila diuji biarpun pahit tidak terperi,

Syukurlah kita bila dianugerahkan biarpun tidak sampai apa yang dihajati.

Biar apapun yang Dia beri. Anggap itu hadiah keimanan daripada Yang Maha Tinggi.

Justeru wahai teman-temanku sekalian, kalimah sabar dan syukur itu seharusnya diabadikan dalam kamus hidup seorang muslim yang mempraktikalkan imannya. Manusia tidak lepas dari menginginkan yang terbaik dalam hidupnya. Mahu akademik cemerlang, kerja besar, rumah besar, gaji besar bahkan apa sahaja yang pasti terbaik untuknya.Namun akan ada ujian demi ujian buat sang hamba.

Ajaibnya sang hamba bila dia beriman. Tanpa iman masakan akan lahir sabar dan syukur. Itulah tanda manusia hebat.

"Sungguh ajaib perihal orang mukmin, sesungguhnya semua urusan mereka adalah kebaikan. Dan keadaan ini tidak ada melainkan kepada orang yang beriman sahaja. Sekiranya beroleh kurniaan dia akan bersyukur, maka jadilah kurniaan itu baik untuknya. Manakala apabila ditimpa musibah, dia bersabar. Maka jadilah musibah itu kebaikan untuknya."

( Riwayat Muslim)

Sabar itu buah iman

Ya, sabar itu adalah buah iman. Indahnya peribadi si muslim bila dia bersabar. Itu tanda dia benar-benar beriman pada Allah,beriman pada qada dan qadar Allah. Sabar tidak mungkin hanya bergantung kepada azam dan semangat semata-mata. Firman Allah:

"Dan bersabarlah kamu, bahawasanya kesabaran kamu itu tidak mungkin melainkan dengan Allah."

(An-Nahl : 127)

Mukmin yang sabar dengan kehilangan dan kegagalan, dijanjikan Allah dengan gantian yang lebih baik bahkan terbaik. Firman Allah,

"Sebenarnya apa yang ada pada kamu akan habis dan hilang lenyap, dan apa yang ada di sisi Allah akan kekal dan Kami pasti memberikan ganjaran kepada mereka yang bersabar, dengan ganjaran yang terbaik di atas apa yang mereka lakukan"

(An-Nahl : 96)

Syukur, tanda kerendahan hati hamba pada Tuhan

Kita sentiasa meminta dan berharap dikurniakan Allah kejayaan, kesihatan dan kekayaan. Namun bukan segenap sudut Allah kurniakan pada kita. Kadangkala tidak mencapai target yang kita inginkan. Namun dibandingkan dengan orang lain, sebenarnya kita jauh lebih baik. Bak kata orang tua, mahu bersyukur lihat orang yang jauh lebih teruk Allah uji. Mahu buang rasa sombong lihat orang yang jauh lebih baik dari kita. Syukur berarti tidak hanya dalam hati mengakui tapi juga dalam perwatakan kita.

Sudahkah kita bersyukur hari ini?

Syukur pada-Mu

Bip..bip.. Sms masuk

" Tahniah sha dapat naik tahun 5"

Wah, terkejut dibuatnya. Itu tanda keputusan sudah keluar. Alhamdulillah getus hati kecil. Namun, diri penat untuk membuka laptop dan melihat e-result di laman web. Hati sangat bersyukur dengan sms tersebut walaupun berdebar untuk melihat sendiri keputusannya.


Alhamdulillah pagi ini dapat melihat keputusan peperiksaan. Syukur tidak terhingga. Entah kenapa, hati ini cukup lapang menerima keputusan peperiksaan kali ini walaupun bukanlah yang paling cemerlang. (^_^)

Mungkin baru pulang dari program agaknya. Hati redha. Namun tak cukup sekadar puas hati begitu. Harus lagi menembak doa dan usaha di tahun 5. Alhamdulillah, mara setapak ke hadapan.

Tuesday, July 20, 2010

Wo Ai Ni Allah

Sudah lama kita tidak membedah buku di laman ini kan? Nah, hari ini terasa ingin berkongsi. Sampai sahaja Malaysia, Ummi Sinar terus menunjukkan deretan buku yang pernah Sinar pesan. Kira-kira 10 buah buku menanti untuk dibedah. Tepuk dahi dibuatnya. Baru-baru ini sempat ke KL, dan menambah lagi koleksi buku dengan 2 buah novel sejarah Islam. Nanti kita kongsi ya. InsyaAllah untuk membuka tirai di cuti ini ingin Sinar mengajak teman-teman membaca buku Wo Ai Ni Allah.


Alhamdulillah, Sinar sudah pun selesai membacanya. Buku ini memaparkan kehidupan sebuah keluarga yang hidup dalam kehampaan jiwa, rohani dan sosial. Ketika jiwa sedang mencari Tuhan, pada saat itu juga mereka diuji dengan merasai bahawa Tuhan meninggalkan mereka sendirian. Tambahan pula, hidup dalam masyarakat yang memandang sepi usaha mereka. Bahkan mereka digelar gila. Gila! Kalimah itulah yang telah memporak perandakan keluarga Cina ini.

Sungguh bukan sekali dua air mata menitis membaca buku ini. Jiwa sendiri turut kacau apabila cuba menjiwai konflik yang penulis cuba bawa. Kisah Amei, seorang gadis cina ateis yang tidak tahu hala tuju hidupnya, namun beliau tabah menyambung misi ayahnya untuk mengenal Tuhan.

Hidupnya sangat tertekan gara-gara ayahnya dibunuh dalam misi mencari Tuhan. Amei lah yang selama ini meneman bapanya berjumpa, ustaz, sami dan paderi untuk bertanya tentang tuhan. Dia juga turut terkesan dengan usaha ayahnya itu dan rasa ingin tahunya kian mendalam. Kenangan bersama ayahnya sangat berbekas di dalam hati. Semenjak kematian ayah, hidup Amei kian tertekan kerana dia dipersalahkan oleh ibunya lalu Amei ditinggalkan di stesen kereta api sendirian. Ibunya membuang Amei kerana tidak tahan dengan dugaan dan keperitan.

Dari jalanan itulah sebuah pencarian bermula. Akhirnya misinya mencari Tuhan, membuahkan keimanan kepada Allah. Tuhan yang dia cari selama ini. Tuhan yang ayahnya cuba dekati disaat ramai orang mengatakan dia gila.

Katakan padaku tentang siapa Tuhan itu?
Katakanlah, kenapa Tuhan itu mencabut nyawanya?
Katakanlah, apa maksud sebuah takdir?
Katakanlah padaku, apakah memang Tuhan itu ada?

Itulah persoalan yang membelenggu diri Amei, gadis berusia empat tahun.

Akhirnya,

Wo Ai Ni Allah...Aku cinta Allah...tutur gadis itu pada saat dia mengerti siapa Tuhannya.

Allah, Allah... Sungguh mulia, mereka yang Dia beri hidayah.

Moga Allah terus suburkan rasa cinta dan kefahaman kita pada-Nya. Ameen

Pertunangan : Kemudinya hanya IMAN



Cuti-cuti Malaysia kali ini pelbagai undangan yang diterima. Baik dari majlis perkahwinan, pertunangan, kenduri doa selamat hinggalah kenduri arwah. Semuanya silih berganti tak putus undangan yang diterima. Justeru apabila melihat setiap benda dirai dan diingati, pastinya setiap peristiwa punya kenangan dan perjalanannya tersendiri. Bezanya pada kita untuk mengambil pengajaran.

Alfu mabruk kepada teman-teman yang bakal melangsungkan perkahwinan tidak lama lagi. Hargai dan jagalah detik-detik cemas sebelum melangkah ke alam perkahwinan. Saat itu dilihat indah, tambahan pula makin bertambah photoblog perkahwinan yang merakam gambar di hari bahagia. Namun kisah seterusnya siapa tahu? Suka duka perkahwinan sudah banyak menghiasi dada akhbar. Sinar sendiri cukup terharu melihat pasangan tua, walaupun miskin tapi masih bersama. Namun orang muda, sudah kaya sahaja mahu membuka cawangan kedua. Maklumlah dunia hari ini penuh dengan wanita cantik dan bergaya. Kita ni, muslimah litup segala.


Mengupas isu perkahwinan dalam beberapa entri, tergerak pula kali ini mencuit isu pertunangan lebih jauh. Mana tidaknya sebelum mengecapi nikmatnya perkahwinan, ramai juga memilih pertunangan sebagai persediaan ataupun platform sementara. Itupun pelbagai cerita dan karenah muda mudi yang kita dengar. Kita juga pastinya, sudah, sedang atau akan menghadapinya.

Ada yang bijak mengemudinya dan ada juga yang tertipu dengan status ‘tunang’ yang dibawa. Maklumlah, dunia ini punya tarikan yang pelbagai untuk menyesatkan ummat manusia. Kita bagaimana? Jika belum mari kita tambah persediaan. Jika sedang mari kita lihat rencah dan ragam manusia. Jika sudah menghadapi fatrah tunang, Alhamdulillah kelegaan buat mereka namun muhasabah itu perlu. Perkahwinan bukanlah satu kenikmatan total tapi permulaan sebuah perjuangan dan pengorbanan. Apapun setiap marhalah, toleransi dan persefahaman diperlukan. Jika lompong komunikasi maka terkuburlah cinta sesama manusia walhal kita bercinta kerana Allah. Mudah dituturkan tapi sukar dipraktikkan. Namun mengapa dikuburkan cinta sedangkan cinta itu boleh dibawa ke syurga. Ayuh pilih jalan kita. Jalan yang Allah redha. Kita layak terima yang terbaik sekiranya kita berusaha.

Pertunangan : Melabuhkan percaya

Dan segala sesuatu Kami ciptakan berpasang-pasangan supaya kamu mengingat kebesaran Allah.

(Surah Az-Zariyat : 49)

Berdasarkan kalam Allah ini, Allah menciptakan setiap sesuatu ada pasangannya. Malam bertemankan siang. Di sebalik penciptaan lelaki ada wanita yang menyokongnya. Itulah yang kita yakini dan percaya daripada kalam Allah ini.

Pertemuan pertama kali mungkin sahaja membuatkan hati berkenan pada si dia. Atau mungkin sahaja ada orang tengah yang menemukan dua insan berlainan jiwa. Menguruskan rasa itu yang wajar kita perhatikan. Sebagai muslim beriman, biarlah kena gaya agar Allah tidak murka. Sebaik sahaja risikan berjaya dan pinangan diterima oleh si gadis, maka tempoh pertunangan pun bermula samada diadakan majlis ataupun tidak. Janji dua hati bersetuju untuk diijabkabulkan.

Membelek buku Murabbi Cinta telah menemukan diri dengan kalimah ‘percaya’. Hasil tulisan Abu Saif ini mengukuhkan lagi pemerhatian terhadap manusia.

“Allah mencipta manusia sebagai makhluk percaya. Dia akan bertindak mengikut apa yang dia percaya. Kepercayaan itu pula letaknya di dalam jiwa. Percaya di dalam, amal dan kerja di luar. Kerja luar adalah terjemahan kerja dalam. Betulkan dalam eloklah luar. Justeru betulkan hati tempat letak percaya diri."

Justeru, Sinar meyakini bahawa penerimaan seorang wanita terhadap pinangan si lelaki kerana kalimah percaya. Tanpa kata kunci ini, lamaran itu tidak akan diterima dan jauh sekali cincin disarungkan. Cincin bukan sekadar hiasan di jari manis, bukan hanya tanda tapi lebih dari itu. Punya ibrah yang perlu direnungi selalu. Mungkin sahaja bukan kalimah cinta seperti muda mudi lain yang menyatukan mereka, tapi keyakinan dan kepercayaan dalam mencari cinta Allah kemudian dengan izin Allah, Allah suburkan cinta di hati mereka. Maka dengan titik tolak yang baik, InsyaAllah Dia akan memudahkan urusan seterusnya. Kedua pasangan bertunang mampu menjaga akhlak masing-masing. Bila mana kita yakin dan percaya dengan janji Allah, Allah pasti menambahkan rasa percaya pada si dia.

Pertunangan : Memendam cinta

Dalam pertunangan, buat ikhwah dan akhwat yang faham, dan kemudinya iman, sedikitpun kalimah ini tidak dituturkan, walhal perbuatan mereka lebih melambangkan kasih dan cinta pada tunangnya. Keduanya menjaga batas hubungan, berjumpa hanya bila bertemankan mahram, tidak keluar berdua-duaan dan berhubung bila hanya ada keperluan. Setiap bicara dan perbuatan dilakukan atas dasar hormat bagi menghormati maruah seorang muslimah dan muslim. Semuanya kerana takutkan Allah. Itulah lambang cinta berpaksikan Pemilik segala cinta.


~Yang memagari hanya iman~


Hanya sebaik sahaja diijabkabulkan, barulah selamat kalimah ini dituturkan. Kerana, "I love you", " Wo ai ni" dan "Aku cinta kamu " itu kalimah berbisa yang boleh sahaja mengugat iman di dada. Tak perlu bersayang-sayang dalam fatrah tunang. Nanti lain pula ceritanya. Bersabarlah, masanya akan tiba. Syabas buat kalian yang berjaya mengharungi liku-liku memendam rasa. Kalian orang yang hebat. Mendahulukan cinta Allah itu pastinya lebih manis dari hanya mengejar cinta manusia yang tiada kesudahan.

Pertunangan : Satu persediaan

Fatrah bertunang adalah peluang keemasan buat si gadis dan si teruna idaman. Sekejap atau lama bukanlah soal utama. Apa yang penting bagaimana kita mengisi tempoh itu. 2 tahun, 3 tahun atau 4 tahun lebih bermakna andai diisi dengan amal islami dari sebulan, 2 bulan tapi berpacaran. Yang lama terasa sekejap bila mana, masing-masing sibuk dengan urusan dakwah dan meningkatkan kualiti diri sebelum diijabkabulkan.

Allah berfirman dalam Surah Ar-Rum ayat ke-21.

Maksudnya: “dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaannya dan rahmatNya, bahawa ia menciptakan untuk kamu (wahai kaum lelaki), isteri-isteri dari jenis kamu sendiri, supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya, dan dijadikannya di antara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang dan belas kasihan. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan (yang menimbulkan kesedaran) bagi orang-orang yang berfikir.”

Ayat inilah yang kerap menghiasi mukaddimah emel semenjak dua menjak ini. Sudah pasti cabaran untuk menjejaki hari bahagia itu sungguh besar. Namun meneliti ayat ini, seharusnya mengingatkan kita akan persiapan untuk menghadapinya. Hanya dengan rahmat dan kuasa Allah, kita akan bahagia dan bersenang hati. Dan apakah kita lupa, Allah akan menguji untuk tahu siapa yang lebih baik imannya?

Berapa ramai berkata sayang pada isteri, tup tup 5 tahun, 10 tahun kemudian sudah meminta ‘cawangan’ sedangkan isteri masih mampu mengurus rumahtangga. Ada yang didera dan ada yang ditinggal sendirian. Silapnya di mana? Bukan silap sesiapa, silap diri sendiri tidak memberi peluang dan menerima kekurangan. Sikap kita yang bermasalah kerana mengikut nafsu dari mencari rahmat Illahi.

Justeru fatrah ini adalah persediaan untuk kita menghadapi hari perkahwinan. Belajar dari pengalaman orang lain setidaknya membuka mata akan realiti yang bakal dihadapi. Fatrah ini juga adalah tempoh untuk kita mencerna matlamat perkahwinan ke tahapan yang lebih tinggi. Coretan seorang murabbi benar-benar mengetuk pintu hari. Katanya,

”Di dalam persoalan perkahwinan dan pembentukkan rumahtangga muslim, Islam tidak menyempitkan tujuannya hanya untuk menyediakan suasana yang subur bagi mendapatkan anak-anak yang soleh, meskipun ini adalah satu tujuan utama. Islam juga tidak membataskan tujuannya sekadar untuk mengekang pandangan atau menjaga kehormatan, meskipun ini juga matlamat perkahwinan. Islam juga tidak menghadkan tujuannya sekadar untuk menyalurkan nafsu secara syar’i. Bahkan, Islam telah menentukan matlamatnya dengan yang lebih tinggi, yang lebih mulia dan yang lebih jauh jangkauannya. Matlamatnya berkait rapat dengan matlamat kemasyarakatan, jihad dan perlaksanaan amal Islami yang luas.”

Maka, sudah bersediakan kita menghadapi semua itu. Mampukah mengapai matlamat pembinaan perkahwinan yang lebih tinggi. Ada yang kata mustahil. Namun hasil pemerhatianku, ramai pasangan yang kukenal berjaya mengekalkan rumahtangga dengan mawaddah dan rahmah. Formulanya mudah sahaja, Allah tempat pulang mencari jalan keluar terhadap segala dugaan.

Moga Allah redha dengan usaha kita mencari cinta-Nya.

Wallahu3alam. Maaf sekiranya ada salah bicara. Sinar juga insan biasa, meluahkan apa yang dirasa. Moga kita hidup penuh dengan zikir dan fikir. Bukan memilih hidup sekadar menunggu mati sahaja. Biarlah hidup diisi dengan sempurna.

Thursday, July 15, 2010

Bergurulah dengan si bintang kecil

Kanak-kanak merupakan peringkat awal usia manusia untuk mengenal dunia. Pada usia ini mereka lebih banyak menerima dan dididik oleh orang dewasa. Mereka terlalu rapuh. Bak kata orang tua, masih hijau dalam alam yang serba mencabar ini. Tetapi bukanlah alasan kita menggunakan kuasa veto orang dewasa untuk terus mendidik mereka mengikut cara kita tanpa memahami kehendak mereka.

Sebenarnya banyak perkara boleh kita pelajari dari insan kecil ini. Tidak percaya? Cuba lihat diri mereka, banyak kebaikan daripada kita yang hina ini. Kita bersalut dosa bahkan mungkin bergunung dosa kita dari amal kebaikan. Mereka suci dan bersih, Bahkan syurga untuk mereka. Untuk mendidik mereka titik lemah dan keperluan mereka mesti kita ketahui. Perkara ini Sinar sendiri masih kurang pengalaman. Tidak layak untuk mengupasnya sekarang. Cuma hari ini ada beberapa sifat mereka yang Sinar ingin highlightkan.

Mereka selalu bercakap benar

Mereka ini selalu menyatakan apa yang mereka rasa. Tidak selindung dan menipu untuk mengambil hati manusia.

"Along gemuk!" Kata Salwa satu ketika dahulu.

"Along tak lawa, Salwa lagi lawa" kata adikku. Ayat syok sendiri walaupun itu benar. Huhu... Sampai hati kata Along tak lawa.

"Salwa tak suka la Along pergi jauh." Makin berat hati Sinar ingin meninggalkan Malaysia.

"Ezra suka Along tak makeup. Lagi cantik." kata sepupuku ikhlas di majlis keluargaku.

"Dah azanlah, tutup tv." Kata Fatin menegur kami yang leka.

Sikit pun Sinar tak marah bila mereka menyuarakan pendapat mereka. Bagi Sinar, teguran mereka, pengamatan mereka terhadap kita adalah pandangan dan teguran daripada Allah. Allah nak buktikan mereka sentiasa memerhati kita.

Mereka penyayang

Anak-anak kecil sentiasa ingin kasih sayang dan secara tidak langsung ingin memberi juga. Mereka lebih tahu erti hidup pada memberi. Hatta mereka lebih sanggup mengorbankan harta untuk kita jika mereka sangat menyayangi kita. Walaupun mereka hanya mampu menghadiahkan sebatang pen dan buku tulis. Tapi pemberian yang ikhlas daripada insan kecil lebih Sinar hargai.



Sungguh Sinar sayang mereka. Mereka suci dan memang sesuai untuk disakat selalu dan menjadi bahan cubitan. (^_^)

Mereka ingat janji

Kalau anda tidak pandai menunai janji. Jangan sesekali berjanji dengan golongan kecil ini. Daya ingatan mereka tinggi bahkan kemahuan mereka juga bak gunung melangit tinggi.

"Along dah carikan kembar fatin ke." Tanya fatin ketika ym denganku.

"Along jangan lupa tau nak basikal." Tepuk dahi apabila diingatkan semula. =)

Mereka juga pelajar setia

Insan ini jugalah sentiasa mencari role model untuk dijadikan contoh dalam hidupnya. Maka tidak dapat tidak golongan dewasa seharusnya memelihara akhlak untuk menjadi ikutan si bintang kecil. Mereka kuat bertanya mengapa, bagaimana dan bila. Maka di sinilah kretiviti kita untuk menjadi matahari di mata mereka. Si matahari yang menyinari si bintang kecil.

Sungguh Sinar sayang mereka. Ingin sekali menjadi si bintang kecil yang suci dari dosa.

Sunday, July 11, 2010

Anakanda pulang...

Alhamdulillah, selesai sudah mengemas beg dan mengemas rumah. Kira-kira sejam setengah lagi akan bertolak ke Lapangan Terbang Kaherah. InsyaAllah kapal terbang akan berlepas pada pukul 10 malam dan transit di Jordan selama tiga jam. Kemudian akan tiba di Malaysia pada 12hb Julai pada waktu petang.

Tiada apa yang mahu dicelotehkan. Sekadar memohon doa kalian. Moga perjalanan Sinar selamat semuanya. Selagi tidak menjejakkan kaki di KLIA, selagi itu Sinar berdebar. Moga Allah mudahkan...

Moga Allah izinkan Sinar berjumpa mereka yang Sinar sayang (^_^). Sungguh hati ini rindu...

Sinar~ Islami
El-Fahmy Ellay,
Mouniera, Cairo

Thursday, July 08, 2010

Dunia Baru, Hidup Baru, Orang Baru?

Tajuk entri kali ini sahaja sudah mirip mirip tajuk drama di tv. Namun bukanlah itu yang Sinar mahu kupaskan. Tak pandai pun jadi pengkritik filem tanah air ni (tapi kuat juga mengomen). Untuk permulaan entri ini, mari kita lakukan senaman muka terlebih dahulu. Cuba kita senyum dahulu. Wah, cantik dan kacaknya pembaca hari ini. (^_^) Kan bagus senyum begitu.


Mari mulakan hari ini dengan senyuman...
Senyumlah dalam apa jua keadaan...
(^_^) Onigiri ini pun mampu tersenyum...


Yang baru itu sentiasa muncul

Nak tak nak, jika Allah izinkan esok masih ada untuk kita dan hari ini kita melaluinya, sudah pasti akan ada benda baru yang akan kita lalui. Mahu tak mahu, suka atau tidak. Kita terpaksa melalui. Di situlah kita akan teruji. Allah nilai segala-galanya.

Lulus atau tidak kita melaluinya?
Redha atau tidak kita melaluinya?
Syukur atau tidak kita melaluinya?

Tidak kiralah yang baru itu adalah mendapat durian runtuh atau menerima khabar mendung dari kutub utara. Bibir senang menuturkan "Aku redha, aku redha" Hati siapa tahu. Lihat sahaja realiti apabila peperiksaan selesai, macam-macam gelagatnya.

"Aku tak puas hati doktor tadi tolak markah aku"
"Syukur doktor tadi bagi markah full"
"Susah giler doktor tadi"

Senyum sendiri melihat telatah kawan-kawan. Sungguh debaran berhadapan dengan doktor dalam ujian lisan, ibarat mahu terkeluar jantung dibuatnya. Tapi sehebat itukah ketakutan kita dengan nilaian Allah terhadap apa yang kita rasa, terhadap perasaan kita, terhadap rungutan kita? Ya, sungguh ramai yang mahu menjadi yang teratas dalam segala hal kebaikan tapi apakah benar niat kita? Kerana apa kita bersungguh-sungguh? Perkara ini harus kita muhasabah sentiasa.

Berakhir dan bermulanya kisah

Yang berakhir akan ada pula yang menyusulnya. Siap kita melewati satu ujian. akan ada ujian seterusnya. Siap kita menghadapi peperiksaan, akan ada peperiksaan seterusnya.

Alhamdulillah, Sinar sendiri sudah pun selesai peperiksaan akhir tahun semalam. Berakhirnya sebuah peperiksaan dan hibernasi panjang tapi bukan pengakhiran untuk kita terus menembak doa. Moga Allah berikan yang terbaik untuk diri ini.

Sebaik sahaja kaki melangkah keluar dari universiti, bersusun program yang mahu dilakukan. Semalam juga telah bertungkus lumus berpindah randah. (^_^) Berentakan satu rumah dibuatnya. Dan rasminya hari ini juga Sinar sudah pun memulakan hidup baru di bilik baru bersama orang baru. Agak janggal juga kerana sudah lama single di bilik sendiri. Sudah masanya mendidik diri untuk lebih berkongsi. Kini Sinar berdua di bilik baru dan kami masih berlima di rumah lama. Yang buat diri ini teruja, Kami berlima masih kekal dalam rekod gen6 akhwat yang mengekal status 'rumah kekal'. Inilah yang menambahkan kecintaan pada housemates Sinar. Rumah yang cukup happening orang kata..hehe hai pening juga la..Gurau je ya kawan-kawan.

Hati ini juga tidak sabar mahu pulang ke Malaysia. Menghitung hari orang kata. Tidak sabar berjumpa dengan keluarga. Sudah pasti balik ini Sinar mahu meluaskan jaringan ukhwah. Sudah pasti ramai orang baru akan hadir dalan hidup Sinar. Kita merancang dan Dia juga merancang.

Fleksibel dan positifkan dirimu!

Pada Sinar, untuk menerima perubahan, hidup kena fleksibel dan positif agar kita tidak melatah berhadapan suasana baru. Cerianya suasana berbalik pada respon kita juga. Muramnya suasana bila kita murung orangya. Maka, anjakan paradigma kena ada. Apabila kita ceria, mereka di sekeliling pun ceria. Tidak dinafikan, bila entri Sinar berbaur sedih, habis semua sedih. (^_^) Prihatin pembaca blog ini. Terima kasih sudi membaca. Moga Allah berkati kalian.

Moga akan ada keceriaan dan kegembiraan di sebalik semua kejadian.

NK

  1. Alhamdulillah peperiksaan sudah tamat, keputusan pula satu debaran.
  2. Menghitung hari mahu berjumpa rakyat Malaysia yang berbilang bangsa... (^_^)
  3. Dunia baru, hidup baru dan orang baru yang mampu membuatkan senyuman terukir.
  4. Jangan lupa senyum apabila sudah membaca entri ini.
  5. Uhibbukumfillah...Doakan Sinar ya.