BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS »

Friday, October 30, 2009

~:: Gaya hidup mukmin ::~



"Gaya Hidup Mukmin"
"Gaya Hidup Bahagia"

Begitulah antara slogan kata oleh Dr Aidh Abdullah Al-Qarni dalam bukunya “Menabjub potret insan beriman”

Orang beriman dia bahagia dengan harta yang dimiliki kerana harta dinafkahkan untuk mencari redha Allah. Dia bahagia dengan kefakirannya,kerana baginya kefakiran adalah masa-masa untuk meraih sikap tawadhuk dan ketenangan. Dia tidak merungut tapi berusaha menjadi insan yang lebih baik.


Orang yang bahagia adalah orang yang apabila memperoleh nikmat dia bersyukur, apabila memperoleh musibah dia bersabar dan apabila dia berbuat dosa dia beristighfar. Inilah antara akhlak mukmin dan kelebihan peribadi muslim yang menyerah sepenuhnya jiwa raganya pada Allah, Pencipta dirinya. Subhanallah…

Pasti kalian pernah mendengar mahupun terbaca kata-kata “ You loose the battle but you win the war”. Mendalam sungguh sebenarnya kata-kata ini. Mari kita ambil contoh dalam konsep menahan marah. Apabila dicemuh dicaci dengan pelbagai kata-kata yang pastinya tidak enak didengar, kita ada dua pilihan. Samada membalas dengan niat yang sama atau beralah biar timbul masa yang rasional untuk diajak berbincang. Anda memang marah tapi anda lebih memilih menahan. Justeru bukan bermakna anda kalah. Anda menang dalam peperangan ini sebenarnya. Itulah kelebihan akhlak mukmin, rasional tanpa mengira waktu dan tempat.


Alhamdulillah, hari ini hati ini kian terisi….Maka tidak dapat tidak Sinar akan berkongsi…

Mari kita berakhlak mulia

Senang untuk berakhlak mulia dan senang juga berakhlak dengan akhlak yang buruk. Diri kita berhak menentukan. Memilih untuk berakhlak mulia bererti menginginkan kehidupan yang baik dan diredhai Allah. Maka sumbernya utama dalam pembentukan akhlak adalah Al-Quran dan As-Sunnah. Memilih untuk berakhlak buruk maka dia memilih syaitan sebagai pengemudi hidupnya.

Tahukah anda asas-asas yang mendorong berakhlak mulia? Iman, Islam, Taqwa dan Ihsan adalah 4 asas yang digariskan oleh Al-Quran dan As-Sunnah dalam membentuk peribadi mukmin.

Keimanan pada Allah

Keimanan memainkan peranan penting dalam pembentukan akhlak. Iman di dada akan menghasilkan buah-buah amal yang ranum, enak dan segar. Inilah pencetus untuk beramal di jalan Allah, hidup dalam melakukan perintah Allah dan menjauhi larangan Allah.


“ Sesungguhnya orang-orang yang beriman itu adalah mereka yang apabila disebut nama Allah gementarlah hati mereka dan apabila dibacakan kepada mereka ayat-ayatnya bertambahlah keimanan mereka (kerananya) dan kepada Tuhanlah mereka bertawakal”

(Surah Al-Anfal: 2)

Islam itu syumul

Islam itu menyeluruh. Jika menolak islam kita adalah kaum yang rugi. Islam itu bererti kita tunduk dan patuh pada suruhan dan larangan Allah. Kita mengakui bahawasanya tiada Tuhan yang disembah melainkan Allah dan Muhammad itu pesuruh Allah. Tiada bangkangan tiada keluhan. Iman dan Islam itu sentiasa beriringan untuk menghasilkan akhlak mulia dalam individu mukmin dan muslim. Sudah pasti apa yang Allah gariskan itu adalah yang terbaik buat makhluk ciptaan. Sudah banyak nikmat yang Allah berikan, Oksigen, makanan, kesihatan, kekayaan. Maka nikmat Tuhanmu, yang mana kamu dustakan. Firman Allah dalam Surah Al-Baqarah ayat 277 :

“Sesungguhnya orang-orang yang beriman,mengerjakan amal soleh, mendirikan solat, dan menunaikan zakat, mereka mendapat pahala di sisi Tuhannya.Tidak ada kekhuatiran terhadap mereka dan tidak pula mereka bersedih hati”

Taqwa penggerak amal soleh

Perasaan takut pada Allah akan membimbing hati-hati yang menerima Islam dan mengaku beriman pada Allah untuk terus berdiri di jalan kebenaran. Inilah pemicu dan pemandu untuk terus istiqamah dalam amal kebaikan. Firman Allah dalam Surah Al-Hasyr ayat 18 :

“Hai orang-orang yang bertakwa kepada Allah dan hendaklah tiap-tiap diri memperhatikan apa yang diperbuatnya untuk hari esok (akhirat) dan bertakwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengerahui apa yang kamu kerjakan.”

Besar pesanan pencipta buat hamba yang ciptakan. Benarlah, hatta barang sesaat pun Allah tidak pernah lupa daripada mengingatkan hamba-Nya. Tanda Allah itu kasih akan hamba-Nya. Tapi hamba itu ego dalam mengingati Allah. Sentiasa lupa dan leka. Ayuh pulang kepangkuan pencipta.

Ihsan

Tahukah kalian maksud ihsan? Ihsan itu adalah “ Bahawasanya apabila kamu beribadat kepada Allah seolah-olah kamu melihat-Nya. Jika kamu tidak melihat-Nya, sesungguhnya Allah melihat kamu.”Begitulah sabda Rasulullah ketika ditanya oleh Jibril.

Seputar keimanan, islam dan takwa maka kesinambungan ihsan mencantikkan kombinasi ini. Ihsan takkan lahir tanpa keimanan dan ketakwaan yang tulen. Mana mungkin kita akan berbuat maksiat jika takutkan Allah. Mana mungkin kita mempersekutukan Allah andai kita berikrar Allah sebagai Ilah. Jika masih ada…sama-sama tanya pada diri, hidupkah imanku sihatkah imanku.

Bahagiakan diri anda dengan berakhlak mulia

Apakah akhlak Islamiyah yang kita bawa? Yang cantik dan indah itulah Islam. Kita bersungguh dalam sesuatu. Kita tekun dan tidak bermalasan. Kita menghulurkan bantuan tanpa mengharap balasan. Kita bersedekah kepada yang memerlukan. Kita amanah dalam pekerjaan. Kita menutup aurat seperti yang Allah sarankan. Kita kota janji yang dilafazkan. Pendek kata kita bersegera dalam segala kebaikan dan kita benar dalam setiap perbuatan dan percakapan sepertimana yang Allah mahu bukan mengikut hawa nafsu.





Akhir kalam. Bawalah Akhlak Islamiyah ke mana sahaja kita pergi dan di mana sahaja bumi yang kita pijak kerana kita adalah duta-duta kecil di dunia yang membawa risalah agung Rabb Yang Maha Besar lagi Maha Agung. Moga inilah saham untuk kita di akhirat sana.

Sinar~islami
El-Fahmy Allay, Mouniera

Lubang-lubang itu...

Lubang itu, kelemahan diriku...

Dulunya aku diselimuti keliru,

antara tahu dan mahu,

menjadikan aku lesu,

tenggelam dalam nikmat dunia yang palsu.

Namun masa mengubati sanubariku.

Kalam Illahi pengubat rindu,
Sahabat sejati anugerah daripada-Mu,

Menutupi lubang-lubang kekosongan itu

agar hati terisi dengan cinta pada-Mu

Kuhiburkan diri ini

dengan berbagai harapan yang kunanti.

Alangkah sempitnya hidup ini,

bila jauh dari pegangan Rabbul Izzati.

Biarlah kalimah tauhid itu,

mekar di bibirku, berbunga dalam kalbuku,

hatta sekembaliku ke destinasi yang SATU

kuharapan jiwaku masih kekal di sisi-Mu...

Ya Rahim, peliharalah daku dalam naungan cinta-Mu...

Ya Illahi, ampunilah dosa-dosaku...

Tuesday, October 27, 2009

Pesanan bermakna daripada sahabat...

Alhamdulillah di saat sidang editor sibuk menyiapkan tugasan, hujan malam ini sedikit mendamaikan. Bukan senang melihat Mesir ini hujan. Walaupun tidak selebat dan selama di Malaysia, melihat titik-titik kecil pun cukup bersyukur. Saat keriuhan masing-masing bertungkus-lumus menyiapkan tugasan ada juga juadah yang bakal menanti kami larut malam nanti. Terima kasih buat ahli beit (housemates) yang cukup 'sporting' dan 'happy' belaka. Sempat pula beberapa pesanan ringkas memenuhi peti inbox sambil menelefon sana sini mengurus kerja persatuan yang berbaki. Terubat juga diri pada sms berbaur nasihat begini. Mana tidaknya, hampir penuh peti inbox dengan sms kerja dan persatuan =) tenggelam sms tarbawi. Rindu sungguh...



Apabila dikatakan manusia. Semestinya hidup itu akan dihitung ke mana dimanfaatkan atau ke mana kita bazirkan. Manusia mudah leka. Kadangkala lemah tak terkata. Semestinya nasihat dan renungan mampu menjadi stimulus mahupun pemangkin agar mengorak langkah lebih jauh kehadapan. Pasang surutnya iman itu menjadikan manusia dahagakan sentuhan kalam-kalam tarbawi. InsyaAllah dua pesanan yang ingin dikongsi. Cukupla dua ya =) Pesanan pertama yang di terima daripada ukhtie kecil dari Iskandariah.


"Inginkan mutiara selamilah lautan,


inginkan bahagia tempuhilah penderitaan,


inginkan kejayaan hadapilah pengorbanan.


ketahuilah setiap kepahitan itu terkandung seribu kemanisan"


Ya benar, bukan mudah untuk mengecapi nikmat bahagia. Bahkan dalam Al-Quran termaktub sudah. " Selepas kesulitan akan ada kemudahan". Itu janji Allah bukan. Maka dituruti pula pesanan ringkas yang kedua yang ingin Sinar kongsikan. Mungkin biasa tapi malam ini Sinar cukup terasa...



"Semoga berjaya menjadi insan penuh bercahaya dalam rahmatnya...Yang tetap tersenyum dalam duka, yang tetap mara dalam bahaya, tidak kalah pada amarah, tidak melatah walau disergah...kuat dalam menongkah arus, tabah mencari jalan yang lurus..kejayaan menanti kegembiraan pasti untukmu nanti"


Ameen...Jazakillah atas doanya. Moga Allah kuatkan diriku, dirimu dan kalian jua. Jom ikhlaskan hati dalam beramal dan sama-sama bersegera dalam kebaikan. Senyumlah tak kira apa yang bermain di hati. Itu antara pengubat hati sendiri. Moga Allah pimpin kerja-kerja kami dan redha atas usaha-usaha kami. Dan dalam hadith at-Tabarani diriwayatkan “Allah mengasihi si hamba yang apabila ia melakukan sesuatu pekerjaan ia melaksanakan dengan cermat dan sempurna (an-yutqinahu, atau yuhsinahu)”.

Buat teman-teman di mana sahaja khususnya di Malaysia dan Indonesia yang sedang menempuh peperiksaan, salam perjuangan dan salam imtihan. Rabbuna Yusahil. Moga Allah permudahkan kalian.




"Dan berjihadlah (berjuanglah) kamu di jalan Allah dengan jihad yang sebenar-benarnya, Dia telah memilih kamu dan Dia sesekali tidak menjadikan untuk kamu kesempitan dalam beragama"


(Surah al-Hajj: Ayat 78);


NB::

  • Buat teman-teman seangkatan, jangan lupa study. Exam end round pun tak lama lagi =). Kalau buku Forensik & Toxicology tu bersih lagi, jom sama-sama comotkan...
  • Sama-sama mendoakan keadaan pelajar perubatan Iskandariah yang sedang dirawat di Malaysia, saudari Nur Syahirah Binti Yusoff yang sedang koma akibat komplikasi pneumonia.
  • Mari jadi hamba yang bertaubat !!!

Sunday, October 25, 2009

Tatkala hati terluka...

"Anti ada masalah ya?" berbunga rasa hati bila diberi perhatiaan.

"Anti dah makan belum? Ana belanja yuk." Sejuk hati mendengar ajakan seorang teman.

Bersyukur saat-saat kita dirundum masalah bahkan hati tidak tenteram, muncul sahabat yang memberi sentuhan persahabatan. Ibarat dapat membaca galau di hati ini. Masalah itu pelbagai, akan tetapi apabila sebuah persahabatan diganggu gugat itu lebih menyakitkan. Entah di mana silapnya. Termenung panjang...



Hati manusia biasa mudah terluka bila putus cinta, tapi hati manusia luar biasa, pejuang di jalan Allah, sarat dengan cinta pada Allah, sahabat itu juga permata dan kekasih hatinya...Sahabat antara puzzle yang melengkapkan kehidupan manusia. Setiap sesuatu ada ujiannya. Tatkala hati terluka kerana sahabat, jangan dibiarkan syaitan membisikkan keretakan. Kita harus bijak mendidik emosi. Beri masa pada diri. Beri masa pada sahabatmu.

"Kenapa anti buat ana macam ni ?" ketidakpuasan hati seorang sahabat selepas salah menilai niat baik sahabatnya sendiri. Mereka sedang diuji.

"Ala anti apa kurang," kata-kata bisa ketika ajakan kebaikan dibalas acuh tidak acuh.

"Semua orang ada masalah, settlekan dulu sebelum sibuk nak tau masalah orang lain,"

Kita mungkin sesekali terluka. Bahkan mungkin berkali-kali. Terluka dalam ajakan dakwah, Terluka dalam meneruskan agenda tarbiyah bahkan terluka dalam menjaga sebuah ukhwah. Ukhwah yang selama ini digambarkan ceria tiba-tiba beransur mendung, sepi seketika. Ini baru satu dua ujian buatmu wahai pembawa agama. Bukan semuanya berita sedih dan duka.


Ketahuilah diri kita dan sahabat kita tidak sama. Ada ruang, dia perlu bersendiri. Ada ketika, individu lain dijadikan luahan hati. Ada ketika, dia datang minta dinasihati. Pelbagai ragam sungguh sebuah persahabatan ini.

Lukanya hatimu saat ini adalah kerana cintamu padanya kerana Allah. Sama-sama ingin ke syurga sama-sama ingin menjauhi panasnya luka api neraka. Bagi dirimu yang terluka, rawatilah...Luka itu akan sembuh semula...Kepada Allah kita mengadu cerita. Coretan untuk Sinar dan semua. Moga ketenangan buat diriku, sahabatku dan kalian yang membaca. Jangan pernah serik mengajak manusia pada kebaikan. Apatah lagi dengan teman, sahabat dan keluarga kita semua. Salam mahabbah buat semua.
Doa kalian Sinar harapkan
Moga Allah sayang Sinar.
Moga Allah sayang kalian.

Saturday, October 24, 2009

Apa pilihanmu?

Manusia bebas menentukan apa-apa sahaja jalan yang ingin dituruti, bidang apa yang ingin diceburi, wanita mana yang ingin dinikahi, lelaki mana yang ingin dijadikan suami hatta jalan hidup mana yang ingin ditempuhi. Bebas tanpa konkongan. Ya! terasa benar pilihan itu banyak bukan? Namun dalam menentukan hala tuju kehidupan mari sama-sama kita renungi kalam Allah ini :



فَأَلْهَمَهَا فُجُورَهَا وَتَقْوَاهَا
Maka Allah mengilhamkan kepada jiwa itu (jalan) kefasikan dan ketaqwaan,
قَدْ أَفْلَحَ مَنْ زَكَّاهَا
Sesungguhnya beruntunglah orang yang mensucikan jiwa itu,
وَقَدْ خَابَ مَنْ دَسَّاهَا
Dan sesungguhnya merugilah orang yang mengotorinya.
(Surah As-syams : 8-10)


Justeru, dalam hidup ini hanya ada dua pilihan atau hanya dua jalan.Hanya dua dan antara dua sahaja. Jalan kefasikan atau jalan ketakwaan. Manusia diberi akal untuk membuat pilihan. Bebas memilih satu antara dua jalan yang disediakan. Natijah daripada pemilihan itu akan menentukan hakikat kehidupan di akhirat kelak. Maka di sinilah titik tolak yang memerlukan kita berfikir panjang. Ayuh tepuk dadamu, tanyalah diri dan imanmu.

Antara Dua Pilihan.

Mereka yang memilih Islam bererti memilih pengakhiran yang menjamin kebahagian. Memilih Islam bererti menegakkan Islam dalam diri, tingkah laku, peribadi, percakapan dan hatta seluruh kehidupan ini. Setiap satu dihubungkan dengan Allah. Perintah dan larangan dituruti tanpa banyak karenah. Sudahkah kita menyerah hati sepenuhnya? Takrif Islam sepertimana yang dijelaskan oleh Dr Abdullah Karim Zaidan, bermaksud patuh dan menyerah kepada perintah Allah Taala semata-mata. Justeru sikap ini hanya akan hadir apabila kita benar-benar sedar akan pilihan yang kita ambil. Sedarkah kita atas selama ini bergelar pewaris?

Jika pilihan kita sebaliknya, hasilnya pembalasan dan penderitaan yang akan diperolehi. Terpulanglah kepada kita untuk memilih satu daripada dua jalan itu. Firman Allah,

"Adapun orang-orang yang beriman dan mengerjakan amalan soleh, maka bagi mereka syurga tempat kediaman sebagai pahala terhadap apa yang mereka kerjakan. Dan adapun orang-orang fasiq maka tempat mereka adalah neraka. Setiap kali mereka hendak keluar daripadanya mereka dikembalikan lagi ke dalamnya dan dikatakan kepada mereka: Rasakan siksaan neraka yang dahulu kamu dustakan."

(Surah As-sajadah : 19-20)

Menghayati pemilihan.

Sudah selesai membuat pilihan? Tidak cukup hanya memilih tanpa penghayatan yang SEDAR. Betapa ramai ustaz dan ustazah yang dilahirkan tapi turut sama menyumbang kepada kemaksiatan. Bukan ingin menyalahkan. Cuma teori tanpa amal itu benar-benar tidak memilih profesion apa pun. Sungguh ilmu tanpa amal juga sia-sia. Tahu tanpa mahu juga sia-sia. Apalagi memilih jalan yang benar tanpa penjagaan itu juga akan sia-sia.




Apabila sudah memilih Islam sebagai deen maka praktik hidupnya juga harus mengiklankan, memperjelaskan, mengambarkan Islam yang dikehendaki walau di mana sahaja dia berada. Tidak kira di universiti, di pejabat, di hospital, di kedai kopi hatta di dalam rumah. Tidak kira kaya mahupun miskin tidak kira pangkat atau darjat. Seorang muslim harus setia dalam peribadi seorang yang tunduk patuh pada neraca Allah.

Maka benarlah, pemilihan yang tepat adalah dengan penyerahan seluruh jiwa dan aggota kepada Allah. Kita benar-benar lemah, tapi pada-Nya kita memohon kekuatan. InsyaAllah moga Allah mantapkan kita di atas jalan ini. Cukuplah Islam sebagai pilihan kita. Ya Rabb peliharalah kami dan lindungilah kami dari azab seksaan-Mu.

sinar~islami
Madinah An-Nasr
Layar dalam perteguhkan keimanan pada-Mu

Tuesday, October 20, 2009

Seputar Dinner Bersama Tuanku

Kaherah, 19 October- Ketibaan Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah dan rombongan disambut dengan penuh meriah oleh anak-anak perlis di Perlembahan Nil pada pagi ini.

Majlis makan malam yang diadakan pada malam harinya turut diserikan dengan kehadiran dua orang puteri baginda dan Dato' Dr Md Isa Sabu selaku Menteri Besar Perlis beserta rombongan dari Majlis Agama Negeri Perlis. Majlis ini secara tidak langsung telah merapatkan hubungan antara pemerintah dengan rakyatnya.

Karakter Tuanku dan isteri baginda yang cukup ramah dan mudah didampingi secara tidak langsung memudahkan interaksi dua hala diwujudkan. Kemaslahatan rakyat dapat dijaga sebaik mungkin. Silaturrahim dan jurang juga di rapatkan.

Majlis turut diserikan dengan persembahan nasyid oleh Al-Irfan iaitu kumpulan nasyid Anak-Anak Perlis yang bakal mengegarkan Malaysia suatu hari nanti. Semua Pelajar-pelajar turut terharu di atas pemberian 'duit raya' daripada Tuanku dan pihak istana serta daripada wakil Baitul Mal. Ingatan ini secara tidak langsung mengubat kerinduan anak-anak perlis di perantauan kepada kampung halaman.


sementara menunggu, pukul gambar kejap

sempat adik kita ni study


Ketibaan...Ahlan Wa Sahlan

Semeja dengan Tuanku Raja Puan Muda Perlis

Sangat la banyak makanan VIP~table 2


Mabruk, persembahan yang baik!!

NB::

  • Maaf, lama tak buat karangan berita =) Kekok rasanya.
  • Bercampur baur sebenarnya perasaan hadir majlis makan malam. Dinnerphobic (^_^)
  • Alhamdulillah dapat duit raya. Ampun Tuanku, Syukran kami ucapkan.

Monday, October 19, 2009

Perubatan Oh Perubatan..


Macam-macam perubatan

“Mencabar rupanya study medic ni,” kata junior tahun 1.

"Fuh ngeri sungguh tengok gambar-gambar tadi"

"Habis mood dah tengok these forensic pictures, lama juga kita belajar hari ini"

"Hampir separuh buku dah Prof ajar, revision sendiri tak juga abes"

“Rasa makin susah la pula medicine ni. Tahun 4 tahun honeymoon cam tak je”

“Macam tak sabar nak bergelar doctor!”


Begitulah kalam daripada pelajar-pelajar perubatan. Kadangkala berbaur semangat kadangkala berbaur keluhan. Bukan semudah yang disangka dan bukanlah sesukar yang diduga. Asam garam dalam menuntut ilmu hatta dalam bidang apapun, macam-macam bakal kita hadapi. Macam-macam ada. Masing-masing ada ujian tersendiri.

Kalau dulu sebelum memilih bidang perubatan, bidang ini merupakan fardhu kifayah bagi umat Islam. Namun sejurus sahaja memilih bidang ini, sudah menjadi fardhu ain bagi penuntutnya. Justeru ketekunan dalam bidang ini perlu ditekankan bukan diambil sambil lewa.

"Keseimbangan antara dakwah, tarbiyah, akademik, ilmu agama dan lain-lain tu perlu"

Tergiang-giang lagi kata-kata ini. Keseimbangan itu bukanlah bermaksud ilmu ini 50% ilmu itu 50%. Tapi lebih memegang kepada konsep mengali ilmu selagi termampu. Memberi hak semaksima yang mampu. Namun sebagai pelajar dalam bidang perubatan sudah menjadi kewajipan untuk menuntutnya setekun yang mungkin. Jika tidak anda mungkin akan menzalimi insan lain dengan ketidaksungguhan di jalan ini. Jauhkan sikap tidak peduli. Ingat anda sedang diperhati !!


Disiplin ilmu kedoktoran


Sinar gemar dengan 3 perkataan di atas kerana bidang yang diceburi tika ini benar-benar menuntut diri untuk mendisiplin diri. Bahkan ilmu kedoktoran itu juga punya perbezaan di antara ilmu-ilmu lain atau senang kata punya disiplinnya tersendiri. Anda akan lebih merasai 3 kalimah ini bila terjun ke bidang ini, hatta kata-kata tak mungkin dapat sinar nukilkan disini. Jerih perih suka duka semuanya sudah sebati. Anda mungkin berjaya dan mungkin gagal mengurus diri. Itu BIASA tapi usaha dan titik tolak yang luar biasa akan menjadikan anda ‘extraordinary person’. Sama-sama mencari…


Apakah antara disiplin bidang ini? Anda perlu kenal dan memahami. Tak kenal maka tak cinta. Tak cinta maka takkan menuruti. Pastinya bidang ini punya susunan ilmunya tersendiri. Maka muncullah pelbagai subjek seperti Anatomy, Physiology, Pathology, Pharmacology, Surgery, dan sebagainya. Tiap-tiap satunya tidak dapat dipisahkan. Bahkan menjadi pelajar perubatan tidak dapat tidak anda harus berguru dan menggunakan semua pancaindera yang Allah berikan untuk benar-benar menghadam ilmu ini.

Disiplin ilmu kedoktoran ini menuntut kita menjadi pendengar yang baik agar kita setia untuk mendengar aduan dan luahan pesakit. Kita juga perlu menjadi pemerhati yang baik agar kita setia untuk melihat dan merawati pesakit. Kita juga perlu menjadi pembantu yang baik agar kita setia memberi tanpa sekelumit rasa berkira. Yang paling penting ilmu ini jika dipelajari kombinasi pancaindera yang Allah kurniakan dan dengan kerendahan hati, kita akan terus tunduk patuh pada Allah Yang Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana. Bila kita berdisiplin anda akan terpimpin dan memimpin.

Doctor is a Da'ie

Menjadi seorang muslim tidak lepas daripada memikul tanggunjawab dakwah, mengajak kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran. Profesion adalah nilai tambah pada individu muslim. Berada di saat awal kelahiran dan di saat akhir kehidupan manusia adalah peluang buat pengamal perubatan. Di sinilah kita bakal berpeluang menyaksikan kekuasaan Allah. Sepanjang merawati pesakit, kalam-kalam daripada doktor bisa membuatkan yang sakit kembali sihat apabila ruhani turut dirawat.

Usaha untuk mengajak kepada makruf dan mencegah kemungkaran tidak akan dapat dilaksanakan dengan sempurna tanpa ilmu. Justeru seseorang pemimpin Muslim wajib menguasai ilmu apatah lagi ilmu agama. Menjadi Doktor Muslim pastinya ada perbezaan. Ada tamaiyuz. Sama-sama persiapkan diri untuk menghadapi realiti.

“Umat Islam adalah umat yang banyak memberi, melahirkan, berbakti dan menghasilkan. Mereka mempersembahkan keagungan dalam sejarah”


Disiplinkan diri ! Masa tidak rugi.

Masa begitu mahal dan tidak layak disiakan. Sesungguhnya kerugian yang dasyat akan menimpa kita. Kita sentiasa mengeluh saat perlu membaca ribuan halaman buku pelajaran sedangkan bagi mereka non muslim di Amerika membaca lebih daripada dua belas jam sehari. Sudah pasti ilmu itu mengangkat mereka dari aspek pembangunan. Sunnatullah begitu. Yang berusaha akan kehadapan dengan izin Allah. Moga Allah permudahkan…

Cukup terkesan kata-kata Dr Aid Abdullah Al-Qarni

“Umat ini ditimpa kebosanan. Mungkin di antara kita pernah membaca satu jam, kemudian dia mengatakan “ Sesungguhnya mataku mempunyai hak atas diriku, jiwaku juga mempunyai hak atas diriku dan keluargaku mempunyai hak atas diri”

Terkena ! Termenung sejenak sinar dibuatnya..Kita adalah umat yang dihitung dengan waktu… Setiap detik akan ditanya, “Bagaimana kita habiskan?”

Masihkah ada harapan?

Jika kita sudah benar-benar memasang niat dan pasakkan keyakinan untuk bergelar seorang pengamal perubatan. Disiplinkan method study dan sentiasa mencipta suasana pembelajaran yang membantu study. Kita berusaha dan natijahnya serahkan pada Yang Maha berkuasa. Masih ada harapan untuk kita berubah andai dulu kita bermalas-malasan.

Sinergi itu ramuan istimewa.

“Studying medicine is like going to the war. You cannot do in single-handedly. Teamword is important. Nobody is your competitor and everybody is a collaborator. Everyone has to share their ammunition to won the war and get a common victory. There is no quota of how many should get A in medical schools. The fact that a friend gets A does not deprive your chance of getting A. The more you give, the more you will get. In other words, the more you give your knowledge to your friends and share your note, the more they will share whatever they have with you. So, two plus two equal to five, which we call “synergy”. ( Prof. Dr. Muhaya Mohamad)



Akhirul kalam, tuntutlah ilmu dengan kaca mata keimanan, nescaya akan terbit keinsafan. Maaf andai salah bicara dan perbetullah andai ada kesilapan. Perjalanan Sinar juga masih jauh di hadapan. Sama-sama mendoakan.

Saturday, October 17, 2009

Jangan Bertangguh !! Jangan Buang Masa !!

Sudah meningkat usia ini, terasa banyak sungguh perkara yang perlu diatur. Banyak juga kerja-kerja yang hadir seawal kelopak mata terbuka di awal pagi.






ada perkara penting dan segera
ada perkara penting tapi tidak segera
ada perkara tak penting tapi segera
ada perkara tak penting dan tidak segera

Setiap kerja yang muncul harus dianalisis secara peribadi dahulu untuk memastikan jadual harian yang bakal dilalui benar-benar terisi. Susah bukan tapi itu memudahkan pengakhiran.


Jika dilihat pada mafhum hadith ini kalau datangnya petang janganlah disangka dapat hidup hingga ke pagi keesokannya dan begitulah sebaliknya. Ini menunjukkan, Allah itu Maha berkuasa dan betapa kerdil seorang hamba. Justeru betapa tidak layaknya sikap bertangguh-tangguh dalam pekerjaan. Anda yakin anda akan bersama kawan-kawan di kuliah, atau enak bersarapan bersama keluarga? Kalau keyakinan palsu ini sudah tertanam, seolah-olah kita yakin kita punya waktu sedangkan ajal itu tidak mengenal masa dan usia. Alangkah ruginya jika amal kebaikan kita sanggup tangguhkan. Malah bertambah rugi pula bila sesuatu kebaikan kita tangguh tapi kemaksiatan kita dahulukan. Andai kata dijemput pulang ke negeri abadi, air mata darah pun tidak dapat mengambarkan penyesalan yang tiada penghujungnya itu.

Sekadar ingin mengingatkan diri agar benar-benar meng'organize' diri. Apatah lagi kehidupan seorang pelajar perubatan itu menuntut kesabaran dan ketekunan. Bahkan kehidupan seorang mukmin itukan luar biasa. Salam mujahadah. Bijaklah mengurusi hidupmu. Jangan bertangguh dalam mengulangkaji, jangan bertangguh dalam apa jua amal kebaikan. Ya Illahi permudahkan langkah hamba-Mu ini.

Sunday, October 11, 2009

Fikir dalam diam


Adakalanya diam dalam sesuatu pertanyaan bukanlah pengabaian berterusan. Kata-kata bukanlah satu lontaran mudah, semudah memulangkan pukulan bola tangkis di utara dengan pemukulnya. Hatta sebaris kata-kata akan meninggalkan kesan yang cukup mendalam buat si pendengar setia.

Adakalanya diam dalam sesuatu perdebatan adalah lebih baik daripada menambah rasa dan bicara kerana perdebatan yang tiada penghujungnya hanya mengundang amarah dan komplikasi yang jauh lebih sulit untuk diubati dan mengundang murka.

Imam Hasan Al-Banna menyatakan dalam wasiatnya:

"Janganlah kalian berbanyak debat dalam soal apa pun dan bagaimanapun, sebab perdebatan tidak membuahkan kebaikan"

Adakalanya perbualan itu hanya sia-sia. Langsung tidak membuahkan keimanan dan membenihkan takwa malah menambah dosa di akhirat sana. Tika ini diam dan berjauhan itu adalah lebih baik daripada sibuk menganyam 'ketupat' saudara sendiri.

Adakalanya menyendiri itu lebih baik daripada kesibukan bersama manusia. Inilah peluang dan ketika anda berfikir dan bermuhasabah. Namun sebenarnya anda tidak sendiri. Anda bersama Allah mengoreksi diri. Ke manakah perginya kata-kata dan tenagamu? Ke jalan syurgakah amalan-amalan mu?. Namun bukanlah ini tandanya anda harus bersara daripada amal kebajikan di dunia.

Sungguh bermacam-macam perbualan, pertanyaan dan perdebatan yang kadang-kadang bukanlah mudah dibawa dan dijaga keharmoniaannya. Perhatikanlah amalan yang dibawa oleh mulut kita. Boleh jadi kerana mulut badan binasa. Diam itu bukan bermakna kita berhenti daripada berfikir akan tetapi terus dan terus berfikir dan lebih kepada membetulkan bicara, sikap dan memantau "kesihatan iman & takwa".

Justeru adakah rawatan sempurna...melainkan kembali kepada Allah Yang Maha Mencipta? Maafkan Sinar andai ada salah bicara.

Wednesday, October 07, 2009

Mencari Pelangi


Alhamdulillah Alhamdulillah masih di beri peluang menghirup udara ardul kinanah..jauh disudut hati teringat keluarga di benua Asia..harapan mereka..sokongan mereka..walaupun secara rasminya pengajian sudah bermula, namun pagi ini kelas dibatalkan. Kosong jadual hari ini dalam disiplin ilmu kedoktoran. Sungguh daku rindu mencipta semangat belajar dengan segera. Tahun 4 jangan dianggap 'honeymoon year' seperti yang dikhabarkan. Padamkan padamkan istilah itu dari kamus hidup ini. Pejuang di jalan Allah tidak kenal erti rehat. Dia berusaha meningkat dirinya setiap detik dan ketika. Ya Allah jauhkan kami dari masa lapang yang disalahgunakan.

Entah kenapa pagi ini hajat benar ingin melihat pelangi. Pelangi mampu membuatkan kita tenang jika melihat menggunakan mata hati. Pelangi yang pelbagai warna, indah dipandang mata. Membuatkan kita diam terfikir hakikat penciptaan diri. Itu keagungan Sang Pencipta dalam mentadbir dunia dan seisinya. Namun kita sering lupa dalam mencari pelangi dalam bidang yang kita ceburi, kekadang kita leka, kita lalai dalam mengurus hati dan perasaan dalam mencari redhaNya. Adakah hati kita akan kuat dan benar-benar tunduk pada-Nya jika kejayaan demi kejayaan kita perolehi, kebahagian demi kebahagian kita rasai, kedamaian demi kedamaian kita kecapi. Ketahuilah setiap detik itu akan diuji.

Pelangi juga mengajar kita hidup ini penuh dengan kombinasi warna yang bakal mencorakkan sebuah kanvas kehidupan. Maka hadirnya sisi gembira, sisi sedih, sisi jatuh dan bangunnya seorang manusia. Bahkan dalam pengajian kita mungkin pernah terjatuh. Itu ujian.Dalam bekerja kita gagal. Itu juga ujian. Namun kekuatan sebenar adalah dengan cara kita mengatasi perasaan dan kelemahan. Bukankah selama ini, kekuatan yang kita dambakan.

Maka pelangi yang daku kejar, biar apapun warna pelangi, warna warni hidupku...yang daku kejar adalah ketaatan di sisinya..Kerana itu bisa menjamin pengakiran kita sebagai manusia. Kejayaan itu tidak semestinya yang terbaik untuk kita, kesihatan itu kadangkala bukan yang terbaik untuk jiwa seorang yang taat. Allah lebih mengetahui..

Abu Nu'aim dalam kitabnya Hilyah Al-auliya' meriwayatkan hadith marfu dari Anas, "Allah berfirman," Sesungguhnya diantara hamba-hamba-Ku terdapat orang yang imannya tidak baik kecuali jika ia dalam keadaan kaya. seandainya Aku menjadikannya miskin, maka imannya akan rosak. Di antara hamba-hamba-Ku juga terdapat orang yang imannya tidak baik kecuali jika ia dalam keadaan sihat. Seandainya Aku menjadikannya sakit, maka imannya akan rosak. Demikian juga diantara hamba-hamba-Ku terdapat orang yang kondisinya tidak baik kecuali jika dalam keadaan sakit. Seandainya Aku menjadikannya sihat, maka imannya rosak, Dan di antara hamba-hambaKu terdapat insan yang memohon agar dapat beribadah, kemudian Aku menghalanginya agar sifat sombong tidak masuk kepadanya. Aku mengatur urusan hamba-hamba-Ku dengan pengetahuan-Ku terhadap apa yang ada di hati mereka, kerana sesungguhnya Aku adalah Maha Mengetahui lagi Maha Memahami."

Berbaik sangkalah pada Allah..Allah sangat menyayangi kita...

Kisah ini benar-benar mengingatkan diri. Ada seorang pemuda bertanya kepada Sufyan Ats-Tsauri," Apa maksudnya aku memohon sesuatu kepada Allah kemudian Dia menghalangiku untuk mendapatknnya?"
Ats-Tsayri menjawab, "Allah telah menghalangimu dari suatu anugerah bukan bererti Dia kikir,tidak ada, miskin,melainkan kerana rasa sayang-Nya kepadamu."

Subhanallah...Allah itu Maha Penyayang...kerdil rasanya terhadap belas ihsan yang Allah berikan..Sahabat-sahabat yang dikasihi..walauapapun ujian, sama-sama kita ukur dengan kayu keimanan. Redha dan rawatlah hati..Kisah dan kalam-kalam ini untukku dan untukmu jua. Sama-sama kita mencari pelangi dalam ketaatan pada-Nya.

"Ku akui kelemahan diri...ku insafi kekurangan ini... ku kesali kejahilan ini... Terimalah...terimalah...terimalah taubatku ini"

Monday, October 05, 2009

PSMB 2009/10

Setiap tahun ardul kinanah pasti diceriakan dengan kehadiran ramai pelajar baru. Bagi warga perubatan Malaysia di Mesir, sudah pasti keahlian semakin bertambah. Kalau dahulu senior hanya sedikit bilangannya, sekarang lain pula ceritanya. Sudah menganjak puluhan malahan ribuan. Satu komuniti yang cukup besar daku kira. Moga kuantiti yang ada sejajar dengan kualiti yang diharapkan. Moga bilangan ini dapat menyumbang tenaga untuk ummah keseluruhannya.

Selamat Datang Kami Ucapkan...Ahlan Wasahlan

Melihat riak wajah adik-adik ini teringat kali pertama menjejak kaki. Kesian sungguh senior-senior berhempas pulas menguruskan kami. Seperti mana mereka menginginkan kami selesa dan tenang berada di sini, maka begitulah jua kami. Kita ibarat keluarga walau berlainan ibu bapa. Tahun ini adalah tahun kedua daku terlibat dalam psmb. Wajah yang hadir silih berganti. Pelengkap pada kehidupan yang ada ini. Ibarat puzzle yang melengkap gambaran hidup ini.



Pesanan demi pesanan ditaburkan. Tanda sayang abang dan kakak buat adik-adik tercinta. Belajarlah di mana-mana sahaja. Pasakkan niat dan kuatkan semangat. Golongan pemuda masa kini merupakan pewaris kepimpinan di masa hadapan dan harapan ummah bagi mempertahankan kedaulatan Islam dan negara. Pengetahuan dan kemahiran yang kita ada adalah jalan menuju kejayaan. Biarpun adik-adik ini adalah pelajar tajaan MARA, ukhwah yang terbina pasti terselit kemanisan yang tiada tara. Kami warga Kota Kaherah berbesar hati menyambut mereka di sini. Pastinya saat ini daku sudah pun merindui telatah mereka ini.



Slot Jujurlah padaku....




Jujurkah kamu? Mari kita lihat...sejauh mana kejujuranmu



Ajk dan Fasilitator yang berkaliber


Bersama BKAN Perlis

Sesi Taaruf


Akhirnya mereka pulang...Iskandariah menanti...

Salam perjuangan daripada kami..